Syarikat Edgenta UEMS, sebuah anak syarikat kepada UEM Group (syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad) yang memegang kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital di 4 buah negeri utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia sejak tahun 2020, tidak pernah berhenti menindas kesatuan pekerja yang memperjuangkan hak pekerja. Baru-baru ini, 6 orang pekerja pembersihan hospital yang aktif dalam kesatuan sekerja telah dipecat oleh pihak syarikat tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Sejak mengambil alih perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada tahun 2020, syarikat Edgenta UEMS telah memecat 12 orang pekerja yang aktif terlibat dalam kesatuan sekerja, termasuk 6 orang yang diberhentikan kerja baru-baru ini. Syarikat Edgenta UEMS juga enggan mengiktiraf Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang telah merundingkan perjanjian bersama dengan pihak majikan sebelumnya dan kes pertikaian mengenai pengiktirafan kesatuan sekerja telah berlarutan di Mahkamah Perusahaan selama lebih 3 tahun. Walaupun rundingan awalan pernah diadakan, perjanjian bersama baharu gagal dicapai kerana pihak syarikat enggan memberi kerjasama dalam melindungi kebajikan pekerja. Sebaliknya, pihak syarikat terus menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menindas kesatuan sekerja.

Pada 24 Jun 2024, pihak syarikat Edgenta UEMS mengeluarkan notis yang memaklumkan tentang pertukaran masa kerja daripada masa kerja biasa 7 pagi hingga 3 petang kepada kerja syif mulai bulan Julai 2024. Notis tersebut dikeluarkan secara tiba-tiba tanpa adanya apa-apa perbincangan terlebih dahulu dengan kesatuan sekerja dan langsung tidak mendapat apa-apa persetujuan daripada pekerja-pekerja berkenaan. Pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, telah membantah tindakan pihak syarikat tersebut. Oleh sebab bantahan yang kuat daripada pekerja-pekerja, pihak syarikat memberitahu bahawa ia akan mengadakan satu taklimat pada pukul 7 pagi, 25 Jun 2024, di Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk semua pekerja. Dalam taklimat yang berlangsung selama 1 jam itu, pihak syarikat gagal memberikan penjelasan yang memuaskan. Pihak syarikat mengatakan bahawa akan mengadakan satu lagi perjumpaan pada 3 Julai 2024.

Namun, apa yang berlaku pada masa yang sama adalah, pihak syarikat telah menggantungkan kerja 3 orang pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 25 Jun 2024 selepas taklimat tersebut. Sehari kemudian, pada 26 Jun 2024, 3 orang lagi pekerja yang terlibat dalam kesatuan sekerja digantung kerja mereka. 6 orang pekerja yang digantungkan kerja ialah Fauziah (Ahli Jawatankuasa Nasional Kesatuan NUWHSAS), Kumar (mantan Pengerusi Nasional Kesatuan NUWHSAS), Yoga (Ahli Jawatankuasa Kesatuan NUWHSAS di Hospital Bahagia Ulu Kinta), Mustapa (Ahli Jawatankuasa Kesatuan), Krishnamal (Ahli Jawatankuasa Kesatuan) dan Kamalnazan (ahli Kesatuan).

Alasan yang digunakan oleh pihak syarikat Edgenta UEMS untuk menggantungkan kerja 6 orang pekerja tersebut ialah mereka “mengetuai satu perhimpunan mogok yang salah dari segi undang-undang” dan gagal melaporkan diri di tempat tugasan pada jam 7 pagi, 25 Jun 2024. Tuduhan yang dikemukakan oleh pihak syarikat Edgenta UEMS tersebut amat tidak masuk akal, kerana ia yang memanggil untuk taklimat bersama pekerja-pekerja pada jam 7 pagi, 25 Jun 2024, tetapi sekarang ini pula menggunakannya sebagai alasan untuk menuduh pekerja-pekerja yang hadir dalam sesi taklimat tersebut terlibat dalam satu “perhimpunan haram” dan lewat melaporkan diri di tempat kerja! Bukannya itu satu perangkap yang berniat jahat?

Pihak syarikat Edgenta UEMS bukan sahaja menggantungkan kerja 6 orang pekerja yang terlibat dalam kesatuan sekerja, malah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 100 orang pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta yang membantah pelaksanaan kerja syif oleh pihak syarikat.

Selepas tempoh sebulan, tanpa sebarang siasatan dijalankan, pihak syarikat Edgenta UEMS terus memecat 6 orang pekerja yang digantungkan kerja sebelum ini.

Adalah amat jelas bahawa tindakan pihak syarikat Edgenta UEMS merupakan satu bentuk penindasan terhadap kesatuan pekerja (union busting) untuk melemahkan kesatuan pekerja dalam usahanya mempertahankan hak pekerja. Pekerja-pekerja yang terlibat dalam kesatuan sekerja telah dimangsakan hanya kerana mereka mempersoalkan tindakan majikan yang tidak munasabah.

Penindasan terhadap kesatuan sekerja oleh syarikat Edgenta UEMS telah bermula sejak ia mengambil alih kontrak perkhidmatan pembersihan hospital pada tahun 2020. Sebelum mengambil alih kontrak lagi pun, pihak syarikat telah memberi amaran kepada pekerja-pekerja bahawa mereka tidak boleh menyertai kesatuan sekerja. Sejurus selepas ia mengambil alih kontrak pada 1 Januari 2020, 6 orang pemimpin kesatuan sekerja terus dipecat. Kesatuan NUWHSAS terpaksa mengatur pelbagai perjuangan untuk mempertahankan hak pekerja dan hak kesatuan sekerja, termasuk kempen konvoi motosikal pada tahun 2022 untuk mengetengahkan tuntutan mereka.

Dalam satu perintah persetujuan yang dicapai di Mahkamah Perusahaan pada 22 Mac 2022, antara Kesatuan NUWHSAS bersama Edgenta UEMS Sdn Bhd, UEM Edgenta Berhad dan Edgenta Mediserve Sdn Bhd, pihak majikan bersetuju bahawa ia tidak akan mengganggu aktiviti kesatuan sekerja, ia akan mengambil tindakan terhadap penyelia yang mengganggu aktiviti kesatuan sekerja dan ia akan menyediakan tempat mesyuarat untuk kesatuan sekerja. Namun, pihak syarikat Edgenta UEMS tidak menunaikan janjinya, sebaliknya terus melakukan tindakan yang menyekat hak pekerja untuk berkesatuan.

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) menyatakan pendirian tegasnya yang membantah tindakan penindasan terhadap kesatuan pekerja oleh pihak syarikat Edgenta UEMS. Kesatuan NUWHSAS menggesa pihak syarikat Edgenta UEMS untuk memulihkan kerja 6 orang pekerja yang dipecat hanya kerana mereka aktif dalam kesatuan sekerja.

Kesatuan NUWHSAS menegaskan bahawa tindakan syarikat Edgenta UEMS yang menindas kesatuan sekerja dan memangsakan pekerja-pekerja yang terlibat dalam kesatuan sekerja harus diberhentikan segera.

Kesatuan NUWHSAS juga menyeru pada Steven Sim selaku Menteri Sumber Manusia untuk mencampur tangan supaya menyelesaikan masalah ancaman penghapusan kesatuan sekerja yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di hospital kerajaan. Kesatuan NUWHSAS pernah menghantar surat kepada Kementerian Sumber Manusia untuk meminta perjumpaan dengan Menteri Sumber Manusia dan menggesa supaya semua penindasan terhadap kesatuan sekerja dihentikan, namun masih tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak Kementerian.   Steven Sim sendiri pernah mengatakan bahawa “kesatuan sekerja harus didukung dan diperkasa”, maka adalah menjadi hipokrit buat Steven Sim selaku Menteri Sumber Manusia sekiranya tidak mempedulikan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja hospital yang terlibat dalam kesatuan sekerja.

Lebih-lebih lagi, syarikat Edgenta UEMS yang sedang menindas kesatuan sekerja itu merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jika sebuah GLC dibenarkan oleh kerajaan untuk terus menindas kesatuan sekerja, apatah lagi nasib kesatuan-kesatuan sekerja yang mewakili pekerja-pekerja daripada syarikat-syarikat swasta?

One thought on “Jangan tindas kesatuan pekerja hospital – Pulihkan kerja 6 orang pekerja Hospital Bahagia Ulu Kinta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *