Pada tahun 2024, negara kita menyambut ulang tahun ke-67 kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia, dan ulang tahun ke-61 penubuhan Persekutuan Malaysia.
Tema rasmi untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2024 ialah “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”. Menurut penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai tema ini, “‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya”, sementara “Jiwa Merdeka adalah penzahiran kepada kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai cara meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif”.
Namun, di sebalik retorik ayat yang berbunga-bunga dan sedap bunyinya mengenai “Jiwa Merdeka” ini, persoalan yang perlu kita tanya: Adakah negara kita dan jiwa rakyat kita benar-benar merdeka, sekiranya masih wujud pelbagai halangan untuk negara serta rakyat kita mencapai kemerdekaan sejati dari segi ekonomi, politik, sosial dan minda?
Merdeka ekonomi
Negara kita pernah dijajah oleh kuasa imperialis Barat (khususnya Britain) apabila sistem ekonomi kapitalis di negara-negara perindustrian maju di Eropah memperluaskan cengkamannya ke benua Asia untuk mendapatkan bahan mentah dan tenaga kerja yang murah, demi menjana keuntungan bagi golongan kapitalis dan memenuhi logik pengumpulan modal di bawah sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisme ialah sejenis sistem ekonomi yang perlu sentiasa berkembang dan memperluaskan kekuasaannya kerana logik pengumpulan modal (di mana modal yang dilaburkan perlu menjana keuntungan yang dapat dilaburkan semula sebagai modal), dan perluasan ekonomi kapitalis dilakukan melalui imperialisme. Imperialisme kapitalis yang bermula sejak abad ke-16 dan memuncak pada abad ke-19 melibatkan penjajahan kuasa besar terhadap wilayah-wilayah yang masih belum melangkah masuk ke dalam sistem ekonomi kapitalis.
Di bawah penjajahan British, ekonomi di Semenanjung Tanah Melayu dan bahagian utara Pulau Borneo telah disedut ke dalam kapitalisme, untuk menjadi pembekal bahan-bahan mentah (seperti getah dan timah) melalui eksploitasi buruh migran di tanah jajahan yang menjadi penggerak penting kepada ekonomi perindustrian Empayar British. Britain boleh menjadi sebuah negara maju dan muncul sebagai kuasa besar dunia pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, bukan kerana ia diberkati atau bernasib baik, tetapi berasaskan penggondolan kekayaan sumber alam di tanah jajahannya (termasuk apa yang dikenali sebagai Malaysia hari ini) dan eksploitasi tenaga buruh daripada masyarakat berbilang kaum, di samping penindasan terhadap sebarang penentangan dengan menggunakan keganasan. Penjajahan kuasa besar membawa kepada penindasan, kemiskinan, ketidakadilan sosial dan kesengsaraan penduduk di tanah jajahan.
Walaupun Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963, ekonomi di negara kita masih dikuasai oleh golongan kapitalis British selama hampir tiga dekad selepasnya. Walaupun negara kita telah melaksanakan program perindustrian sejak tahun 1970-an dan kerajaan Malaysia berjaya mengambil alih pegangan saham syarikat perladangan besar yang merupakan peninggalan kolonialisme di negara kita daripada kapitalis British pada tahun 1981, struktur asas ekonomi negara kita masih terikat pada susunan ekonomi ala-kolonial yang melibatkan pembahagian kerja dalam sistem ekonomi global.
Walaupun mengalami pembangunan yang pesat, sektor perindustrian pembuatan di negara kita masih sangat bergantung pada pelaburan asing (FDI) daripada syarikat-syarikat korporat multinasional yang besar untuk mengeluarkan barangan pengguna dengan kos yang rendah (baca: gaji pekerja yang rendah). Barangan pengguna yang dihasilkan oleh pekerja-pekerja bergaji rendah di Malaysia dieksport ke negara-negara maju dan dijual dengan harga tinggi yang tidak setara dengan sumbangan tenaga buruh daripada pekerja-pekerja di sini tetapi perbezaan harga yang menjadi keuntungan itu hanya mengalir masuk ke dalam poket golongan pemodal besar.
Adakah ekonomi negara kita itu merdeka apabila ia masih berorientasikan eksport dan bergantung pada pelaburan asing? Pelabur-pelabur asing yang merupakan syarikat-syarikat korporat multinasional gergasi datang melabur di negara kita, bukannya kerana mereka bermurah hati untuk menjana pekerjaan supaya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat kita, tetapi semata-mata untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin. Jika seseorang pelabur itu sangat bermurah hati pun, dia perlu juga terus mengaut keuntungan melalui apa jua cara pun (termasuk eksploitasi buruh) kerana logik pengumpulan modal dalam sistem ekonomi kapitalis itu tidak dipengaruhi oleh kehendak mana-mana individu.
Kebergantungan pada pelaburan asing yang hanya mengutamakan pemaksimuman keuntungan dan pengeluaran (bahan mentah dan barangan pengguna) yang berorientasi eksport telah menjadi penghalang kepada negara kita mengecapi kemerdekaan ekonomi yang sebenar. Untuk terus menarik masuk dan mengekalkan pelaburan asing, sama ada secara sedar atau tidak sedar, kerajaan negara kita cuba memikat hati pelabur-pelabur asing dengan pengurangan kadar cukai korporat dan pelbagai insentif yang melibatkan perbelanjaan fiskal kerajaan. Kerajaan negara kita terlibat dalam satu perlumbaan ke bawah (race to the bottom) dengan negara-negara jiran serantau untuk menarik pelabur dengan pelbagai dasar “mesra pelabur”. Ini telah melemahkan keupayaan kerajaan kita untuk melaksanakan pelbagai dasar dan program yang menjamin kesejahteraan rakyat biasa, di samping membangunkan kapasiti pengeluaran untuk sebuah ekonomi yang berdikari.
Pengurangan kadar cukai korporat bermakna kerajaan kita kekurangan dana daripada hasil kutipan cukai untuk melaksanakan pelbagai program perlindungan sosial seperti pencen warga emas, perumahan sosial yang mampu diduduki rakyat, pemerkasaan perkhidmatan kesihatan awam, pengangkutan awam yang sempurna dan sebagainya. Dasar mesra pelabur juga bermakna kerajaan mungkin akan berkompromi lebih lanjut lagi dalam perlindungan hak pekerja dan alam sekitar demi memikat hati pelabur asing.
Lebih-lebih lagi, sejak penghujung tahun 1970-an, dasar ekonomi neoliberal yang menular dan mendominasi seluruh dunia, termasuk negara kita, telah memperkukuhkan lagi amalan kerajaan untuk membenarkan liberalisasi perdagangan, penswastaan sektor awam dan penyahkawalseliaan terhadap modal antarabangsa, sehingga melebarkan jurang kekayaan dalam masyarakat dan mengundang krisis ekonomi demi krisis ekonomi.
Jadi, adalah tidak masuk akal bagi sesetengah ahli politik yang sering berasa bangga dengan “pencapaian” mereka dalam menarik masuk pelaburan asing. Kerajaan negara kita juga sering beria-ia untuk menandatangani perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menggadaikan kedaulatan ekonomi negara kepada syarikat-syarikat korporat multinasional dan menyekat lebih lanjut lagi keupayaan kerajaan untuk melaksanakan dasar pro-rakyat.
Tambahan pula, kewujudan struktur ekonomi yang melibatkan pembawaan masuk pekerja-pekerja migran yang bergaji rendah dan mudah dibuli untuk bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi di negara kita pada hari ini, tidak begitu berbeza dengan modus operandi ekonomi zaman penjajahan British.
Penumpuan perhatian kepada perladangan besar untuk mengeluarkan tanaman komoditi (seperti getah dan kelapa sawit), malah sekarang ada pula “ladang hutan” untuk pembalakan, yang menjurus kepada pengeksportan, turut merampas ruang tanah untuk aktiviti pertanian yang mengeluarkan makanan pada ketika dunia sedang menghadapi ancaman krisis makanan. Sebaliknya, petani-petani kecil yang sedang mengusahakan pertanian pengeluaran makanan pula diusir atas nama “pembangunan” yang menguntungkan segelintir kecil pemodal tetapi menggadaikan keterjaminan makanan seluruh masyarakat. Kemerdekaan ekonomi tidak akan tercapai sekiranya negara kita masih belum mencapai tahap sara diri dalam pembekalan makanan.
Sudah tentunya kejayaan dan kemajuan sesebuah negara bukan ditentukan oleh berapa banyak pelaburan asing yang dibawa masuk dan semata-mata angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Persoalan yang paling asas adalah, adakah rakyat biasa yang mendapat manfaat daripada apa yang dikatakan sebagai “pembangunan ekonomi” ini? Adalah tidak bermakna bagi rakyat biasa untuk melihat pertumbuhan angka KDNK yang pesat tetapi tidak dapat menjalani kehidupan yang bermaruah kerana bergaji rendah, dibebani hutang dan tidak mampu membayar keperluan asas.
Kemerdekaan ekonomi bermakna negara kita berputus sepenuhnya daripada kerangka ekonomi kolonial dan logik susunan ekonomi kapitalis global yang neoliberal. Sekiranya ekonomi kita benar-benar merdeka, negara kita tidak lagi perlu bergantung pada pelaburan asing dalam menjana pekerjaan dan kelangsungan ekonomi untuk rakyat kita. Sesebuah kerajaan yang hendak berusaha untuk mencapai kemerdekaan ekonomi, haruslah mempunyai strategi untuk beralih keluar daripada ekonomi yang berorientasikan eksport dan membina kapasiti pengeluaran untuk menghasilkan barangan yang diperlukan oleh rakyat kita. Malangnya golongan elit pemerintah di negara kita hari ini tidak mempunyai pandangan jauh sebegini.
Kemerdekaan ekonomi tidak bermakna negara kita mengasingkan diri dan menutup pintu daripada dunia luar. Negara kita masih perlukan perdagangan dengan negara-negara lain tetapi harus berdagang mengikut terma kita sendiri yang berasaskan prinsip solidariti antarabangsa dan melindungi kesejahteraan rakyat serta keadilan sosial, bukannya semata-mata untuk keuntungan korporat.
Merdeka politik
Naratif arus perdana yang sering dibawa oleh golongan pemerintah mengenai kemerdekaan negara kita adalah kemerdekaan dicapai melalui rundingan dengan pihak penjajah British tanpa pertumpahan darah. Namun, kenyataan yang dibuat oleh golongan pemerintah pasca-kemerdekaan yang rapat dengan kepentingan bekas penjajah ini boleh disangkal dengan mudahnya. Apabila Tunku Abdul Rahman berteriak “Merdeka!” pada 31 Ogos 1957, seluruh Persekutuan Tanah Melayu masih berada dalam Darurat yang diisytihar oleh pihak penjajah British. Darurat Tanah Melayu itu diisytihar kerana pihak penjajah British melancarkan perang terhadap golongan anti-penjajah yang radikal pada masa itu. Darurat yang diisytihar pada tahun 1948 itu hanya tamat pada tahun 1960, iaitu 3 tahun selepas Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Malaya, tetapi ia digantikan serta-merta dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Negeri (ISA), sebuah undang-undang zalim yang digunakan untuk menahan tanpa bicara sesiapa sahaja yang mengancam golongan berkuasa (dan hanya dimansuhkan pada tahun 2012 tetapi digantikan pula dengan satu lagi akta yang kontroversi).
Sebelum Darurat 1948-1960, pihak penjajah British sudah pun menggunakan pelbagai cara yang keras dan ganas untuk mematahkan gerakan perjuangan kemerdekaan yang radikal di Tanah Melayu. Gerakan perjuangan kemerdekaan yang radikal dan berhaluan kiri pasca Perang Dunia II di Tanah Melayu diterajui oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA), yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Gabungan PUTERA-AMCJA mengemukakan “Perlembagaan Rakyat” sebagai alternatif kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dirangka oleh pihak penjajah British dengan sokongan daripada golongan bangsawan tempatan yang reaksioner. PUTERA-AMCJA melancarkan aksi Hartal Se-Malaya pada 20 Oktober 1947 untuk memperjuangkan kemerdekaan sebenar dengan Perlembagaan Rakyat sebagai asasnya. Namun, gerakan perjuangan kemerdekaan yang radikal ini telah ditindas secara zalimnya oleh pihak penjajah British, dengan ramai pejuang kemerdekaan ditahan, malah adanya yang dibunuh dengan kejam. Pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya yang bertujuan untuk menentang penjajahan British telah diburuk-burukkan namanya oleh pihak penjajah British dengan tuduhan sebagai pengganas dalam kempen propaganda dan suasana Perang Dingin yang ketara pada masa itu. Sehingga hari ini, peranan dan sumbangan golongan kiri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di negara kita masih dipinggirkan malah cuba dipadamkan oleh golongan elit pemerintah. Negara sudah merdeka, tetapi pejuang-pejuang kemerdekaan yang paling radikal pada satu ketika dahulu sengaja dipadamkan… Merdeka jenis apa ini?
Golongan elit pemerintah tempatan pasca-kemerdekaan telah mewarisi sebuah negara polis daripada pihak penjajah British yang dilengkapi dengan pelbagai alat politik yang menindas rakyat. Antara alat politik penjajah yang digunakan untuk mematahkan gerakan perjuangan kemerdekaan dan masih kekal sehingga hari ini ialah Akta Hasutan 1948. Walaupun digubal semasa pentadbiran kuasa penjajah British untuk menindas pejuang-pejuang kemerdekaan, Akta Hasutan 1948 masih sering digunakan oleh pihak berkuasa sehingga kini untuk menahan dan mendakwa mereka yang berani mengkritik kerajaan. Peninggalan politik penjajahan British seperti Akta Hasutan 1948 mengingatkan kita bahawa negara kita masih belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik kolonial.
Satu lagi aspek peninggalan politik kolonial yang ketara ialah politik perkauman yang diwujudkan untuk memecah-belahkan masyarakat majmuk di negara kita. Politik perkauman digunakan oleh pihak penjajah British untuk melaksanakan dasar pecah dan perintah supaya penduduk-penduduk berbilang kaum di sini tidak dapat bersatu untuk mencabar kekuasaan kolonial. Politik perkauman terus digunakan oleh golongan elit politik pasca-kemerdekaan untuk melaga-lagakan rakyat berbilang kaum supaya mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu asas yang ditimbulkan oleh kelas pemerintah dan sistem sosio-ekonomi yang sedia ada. Politik perkauman hanya menguntungkan golongan elit politik yang hendak melindungi kepentingan sendiri tanpa mempedulikan hubungan harmoni dan kewujudan bersama masyarakat berbilang kaum. Rakyat biasa pula sentiasa hidup dalam kegusaran, ketidakpastian dan ketakutan di bawah bayangan hantu politik perkauman yang penuh toksik.
Kemerdekaan politik bermakna kita berputus sepenuhnya daripada kerangka politik kolonial. Negara kita belum lagi merdeka sepenuhnya jika masih mengamalkan undang-undang zalim yang ditinggalkan oleh pihak penjajah. Masyarakat kita tidak mungkin merdeka sepenuhnya jika rakyat kita masih dibelenggu oleh fahaman perkauman yang sempit dan dilaga-lagakan oleh golongan elit dengan politik perkauman.
Sebuah negara yang mempunyai kemerdekaan politik harus berpegang teguh pada prinsip demokrasi yang sejati, di mana setiap rakyat dapat bebas mengambil bahagian dalam proses politik untuk menentukan nasib sendiri tanpa sebarang ancaman dan ketakutan. Demokrasi bukannya sekadar mengundi setiap lima tahun sekali dan membiarkan wakil rakyat yang dipilih itu membuat keputusan bagi pihak rakyat, tetapi melibatkan penyertaan rakyat yang aktif secara berterusan dalam seluruh proses membuat keputusan, termasuk proses perundingan dengan rakyat berkenaan segala dasar dan peruntukan dana kerajaan.
Merdeka sosial
Apabila negara masih terikat dengan kerangka ekonomi kolonial yang didominasi oleh golongan korporat multinasional dan kerangka politik kolonial yang memecah-belahkan rakyat berbilang kaum, adalah mustahil untuk kita membina sebuah masyarakat sejahtera yang benar-benar merdeka.
Kemerdekaan sosial bermakna seluruh rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses membina sebuah masyarakat yang sejahtera secara bersama dan hidup dengan selesa dalamnya. Ini hanya dapat dilakukan dengan wujudnya kemerdekaan ekonomi di mana kita dapat menentukan bagaimana kekayaan negara diagihkan secara adil dan kemerdekaan politik di mana kita dapat menyuarakan pandangan secara bebas untuk perbincangan yang membina.
Kriteria asas bagi sebuah masyarakat sejahtera yang merdeka ialah kita mempunyai kemudahan awam yang mudah diakses, sistem perlindungan sosial yang menyeluruh dan kehidupan komuniti yang harmoni.
Semua rakyat tanpa mengira latar belakang berhak untuk menikmati kemudahan asas seperti kesihatan, pendidikan, air, elektrik, telekomunikasi, sanitasi, pengangkutan awam dan sebagainya tanpa dibebani dengan bayaran yang akhirnya masuk ke dalam kocek golongan kapitalis. Dalam erti kata lain, demi kesejahteraan masyarakat, perkhidmatan kemudahan asas tidak harus diswastakan!
Kita sering terdengar adanya golongan elit politik yang merungut tentang beban kewangan kerajaan yang besar kerana kos perkhidmatan asas yang meningkat, misalnya perkhidmatan kesihatan. Adalah tidak menghairankan bahawa solusi yang dikemukakan oleh golongan elit politik tersebut untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan itu adalah penswastaan. Tindakan sebegini bersamaan dengan menggadaikan hak rakyat dan menjual kemerdekaan sosial kita kepada golongan korporat yang hanya mengutamakan keuntungan. Kesannya sudah pasti rakyat yang menanggung lebih banyak beban kewangan. Kerajaan yang tidak sanggup menyediakan perkhidmatan asas terbaik kepada rakyat, malah mengalihkan beban kewangan ke atas bahu rakyat, ialah sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Sebuah kerajaan yang menganggap kos untuk membekalkan perkhidmatan asas kepada rakyat itu sesuatu yang “membebankan”, sendiri merupakan beban kepada rakyat!
Kita juga tidak akan mencapai sebuah masyarakat sejahtera yang merdeka, sekiranya masih wujud diskriminasi dan ketidaksaksamaan dalam mengakses keperluan masyarakat. Selain politik perkauman yang ketara, antara faktor utama yang mewujudkan diskriminasi dan ketidaksaksamaan ialah sistem patriarki yang menindas golongan wanita. Seperti politik perkauman, patriarki turut memecah-belahkan masyarakat kita mengikut gender dan mewujudkan penindasan terhadap wanita. Patriarki merupakan sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur kolonial yang menghalang kemerdekaan dan kemajuan masyarakat. Pembebasan wanita dan pemberdayaan wanita harus diperjuangkan untuk memecahkan penjajahan patriarki dalam masyarakat kita dan merealisasikan kesamarataan gender. Kesamarataan gender juga merupakan sesuatu yang penting dalam memastikan kenikmatan hak yang sama rata tanpa mengira gender dan orientasi seksual.
Sebuah negara yang mempunyai kemerdekaan sosial seharusnya meraikan kepelbagaian budaya, semangat kekitaan, saling hormat-menghormati sesama anggota masyarakat, dan solidariti merentasi batasan kaum dan agama.
Merdeka minda
“Idea-idea kelas pemerintah merupakan idea-idea yang memerintah pada setiap zaman. Ini bermakna bahawa kelas yang merupakan kuasa kebendaan yang memerintah masyarakat, pada masa yang sama juga merupakan kuasa intelek yang memerintah. Kelas yang menguasai sumber-sumber pengeluaran kebendaan, pada masa yang sama juga menguasai sumber-sumber pengeluaran mental. Dengan itu, secara umumnya, idea-idea mereka yang tidak memiliki sumber-sumber pengeluaran mental adalah tertakluk di bawah idea-idea kelas pemerintah,” tulisan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dalam buku “The German Ideology” (1846) menjelaskan bahawa idea-idea arus perdana yang mendominasi dalam sesebuah masyarakat dan disampaikan kepada kita melalui pelbagai bentuk perantara (seperti pengajaran di dalam bilik darjah, sebaran media massa, algoritma media sosial dan sebagainya) merupakan idea-idea yang hendak ditanam dalam minda kita oleh kelas pemerintah. Idea-idea yang mendominasi inilah membentuk kesedaran (atau ketidaksedaran) dan perspektif kita dalam menanggapi realiti masyarakat, maka menentukan tindakan (dan kegagalan bertindak) yang akan kita ambil.
Dengan susunan ekonomi, politik dan sosial yang masih tidak berbeza secara ketara berbanding zaman penjajahan, sudah pastinya ideologi yang mendominasi itu merupakan ideologi yang masih bersifat kolonial. Minda kolonial ialah pemikiran yang masih mengagung-agungkan “kehebatan” kuasa besar yang pernah menjajah kita dan tidak dapat berpandangan melangkaui sistem sedia ada yang dibentuk melalui kolonialisme. Minda kolonial menyekat imaginasi rakyat untuk sebuah masyarakat yang benar-benar merdeka dengan rakyat yang berjiwa merdeka.
Fahaman-fahaman pelampau yang eksklusif seperti rasisme, xenofobia, seksisme, patriarki, fundamentalisme agama dan nasionalisme sempit merupakan sebahagian daripada minda kolonial yang tidak dapat dipisahkan. Fahaman-fahaman ini telah digunakan semasa zaman penjajahan untuk melemahkan penentangan rakyat terhadap pihak penjajah, dan sekarang ini terus digunakan oleh golongan elit pemerintah untuk menyekat kebangkitan rakyat yang boleh membawa pembebasan sebenar.
Perjuangan untuk kemerdekaan tidak akan sempurna tanpa kemerdekaan minda rakyat kita. Kemerdekaan minda bermakna kita bebas daripada cengkaman minda kolonial. Pembebasan daripada minda kolonial memerlukan kita membebaskan diri daripada fahaman rasisme, xenofobia, seksisme, patriarki dan nasionalisme sempit.
Kemerdekaan minda akan membolehkan rakyat kita memiliki keberanian, keterbukaan minda dan pemikiran kritis untuk memahami dunia, menganalisis masalah secara mendalam, membuat keputusan secara bijak dan mengambil tindakan sewajar secara bersama demi memajukan masyarakat kita.
Demi mewujudkan kemerdekaan minda, adalah perlu untuk kita memahami sejarah perjuangan masyarakat, mempelajari idea-idea baharu yang bersifat pembebasan, berinteraksi dengan masyarakat merentasi batasan budaya dan bersedia melibatkan diri dalam perjuangan pembebasan masyarakat yang menentang sebarang bentuk penindasan.
Menuju Malaysia Madani dengan jiwa merdeka
Keempat-empat jenis kemerdekaan yang disebut di atas (kemerdekaan ekonomi, kemerdekaan politik, kemerdekaan sosial dan kemerdekaan minda) merupakan asas penting untuk kita mencapai kemerdekaan sejati dengan rakyat yang berjiwa merdeka.
Kita tidak akan mungkin dapat membina sebuah negara Malaysia Madani dengan rakyat yang berjiwa merdeka tanpa wujudnya kemerdekaan ekonomi, politik, sosial dan minda. Kemerdekaan dalam empat aspek ini adalah saling berkaitan dan tidak dapat dipisahkan. Kita harus memperjuangkan semuanya sekali jika benar-benar hendak berjiwa merdeka. Perjuangan ini hanya dapat disempurnakan dengan membina kuasa rakyat marhaen dari bawah. Tiada jalan pintas menuju ke arah kemerdekaan sejati.
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.