Venezuela dilanda krisis politik baharu apabila puak berhaluan kanan di negara itu mencuba untuk merampas kuasa sekali lagi dengan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Presiden. Puak berhaluan kanan telah menghasut orang ramai untuk berprotes membantah kerajaan pimpinan Nicolás Maduro, sementara rakyat Venezuela yang mendukung Revolusi Bolivar turut bermobilisasi untuk mempertahankan kerajaan Maduro daripada digulingkan oleh kuasa pelampau kanan.
Pilihan Raya Presiden Venezuela telah diadakan pada 28 Julai 2024. Nicolás Maduro, penyandang jawatan Presiden Venezuela daripada Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), bertanding untuk penggal ketiganya, dan dicabar oleh Edmundo González yang mewakili Platform Perpaduan Demokratik (PUD), sebuah perikatan parti-parti pembangkang utama yang berhaluan kanan. Selain Maduro dan González, terdapat 8 lagi orang daripada parti politik pembangkang yang berlainan turut bertanding untuk jawatan Presiden Venezuela bagi tempoh 6 tahun akan datang dari tahun 2025 hingga 2031.
Puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) telah menggunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela sejak zaman kepresidenan Hugo Chávez dan diteruskan selepas Maduro menjadi Presiden pada tahun 2013, kerana dasar yang dibawa oleh kerajaan yang menerajui Revolusi Bolivar di Venezuela tidak sehaluan dengan kepentingan kuasa imperialis AS dan golongan oligarki lama di negara itu. Puak berhaluan kanan yang enggan mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Presiden pada tahun 2018, pernah mengangkat pemimpin mereka Juan Guaidó sebagai “Presiden Sementara” pada tahun 2019 dalam siri cubaan perampasan kuasa yang akhirnya menemui kegagalan. Selepas 5 tahun, puak berhaluan kanan sedang melancarkan operasi “Guaidó 2.0”, iaitu cubaan kudeta yang dilancarkan untuk tidak mengiktiraf apa-apa keputusan pilihan raya yang menyatakan Maduro menang sejak awal lagi.
Proses pengundian berjalan dalam keadaan aman dan tenang walaupun tegang pada 28 Julai 2024. Namun, sejurus selepas pengundian ditutup dan keputusan pilihan raya belum diumumkan lagi, puak berhaluan kanan sudah mula mengatur serangan dan menghasut untuk protes yang mempertikaikan keputusan pilihan raya. Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE), badan awam yang bertanggungjawab untuk mengendalikan pilihan raya di Venezuela, mendakwa bahawa sistem maklumatnya telah mengalami serangan siber yang berterusan sehingga menyebabkan penangguhan dalam proses penjumlahan undi dan penerbitan keputusan pilihan raya. Laman sesawang CNE masih tidak dapat diakses sehingga kini.
CNE menerbitkan buletin pertama keputusan pilihan raya pada 29 Julai 2024 dengan 80% undian sudah diambil kira, dan mengumumkan bahawa Maduro meraih sebanyak 5,150,092 undi (bersamaan 51.20% daripada jumlah undi yang sah), sementara González menerima 4,445,978 undi (44.02) dan calon-calon lain memperoleh 462,704 undi (4.6%). Namun, CNE tidak menerbitkan keputusan pilihan raya terperinci mengikut pusat mengundi dalam laman sesawangnya (yang masih tidak berfungsi lagi). Kegagalan CNE menerbitkan keputusan terperinci mengikut pusat mengundi telah memberi peluru kepada puak pembangkang berhaluan kanan untuk mempersoal dan menyerang keabsahan keputusan pilihan raya diumumkannya.
Sementara itu, puak pembangkang berhaluan kanan yang menolak keputusan yang diumumkan oleh CNE itu telah mewujudkan laman sesawang sendiri yang mendakwa bahawa mereka memperoleh 80% rekod pengundian dari pusat-pusat pengundi yang dikumpulkan oleh pemerhati-pemerhatinya. Adalah tidak menghairankan bahawa “keputusan pilihan raya” yang diumumkan oleh puak pembangkang berhaluan sendiri dan tiadanya semakan daripada pihak ketiga yang bebas itu menunjukkan González memperoleh lebih banyak undi daripada Maduro. Puak berhaluan kanan pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan mengiktiraf apa-apa keputusan pilihan raya di mana Maduro menang seawal sebelum pilihan raya diadakan. Oleh itu, protes terhadap keputusan pilihan raya yang dianjurkan oleh puak berhaluan kanan memang sesuatu yang telah dirancang awal dengan niat menimbulkan kekecohan dan menggulingkan kerajaan Bolivar di Venezuela demi mengembalikan kekuasaan oligarki lama serta memajukan kepentingan imperialis AS.
Puak berhaluan kanan di Venezuela telah menghasut orang ramai untuk mengadakan aksi cacerolazo, iaitu protes membuat bising dengan memukul periuk, kuali dan peralatan dapur. Para demonstran yang anti-kerajaan telah mendirikan sekatan jalan dan membakar bangunan. Penyokong-penyokong puak berhaluan kanan menyerang anggota-anggota keselamatan dan orang awam yang dianggap sebagai penyokong kerajaan.
Presiden Maduro mendakwa pada 29 Julai 2024 bahawa lebih 80% daripada puluhan orang perusuh yang ditangkap pada masa itu mempunyai rekod jenayah, dan ramai antara mereka baru pulang dari luar negara. Maduro menolak dakwaan bahawa demonstrasi anti-kerajaan yang tercetus berikutan Pilihan Raya Presiden itu merupakan kebangkitan rakyat secara spontan. Dia menuduh bahawa kumpulan pelampau kanan, Vente Venezuela yang dipimpin oleh María Corina Machado, merupakan dalang di sebalik demonstrasi jalanan yang ganas. Maduro juga memberi amaran bahawa golongan pelampau kanan sedang melakukan cubaan kudeta dengan mengulangi taktik protes jalanan ganas yang pernah dilakukan oleh mereka pada tahun 2014 dan 2017. Walaupun Machado telah dilarang untuk bertanding dalam pilihan raya kerana penglibatannya dalam jenayah yang berkaitan dengan Juan Guaidó dan sokongannya kepada sekatan ekonomi terhadap Venezuela, dia telah menjadi pemimpin utama de facto puak berhaluan kanan yang memberi sokongan kepada pencalonan González dalam Pilihan Raya Presiden Venezuela 2024.
Menyahut seruan Maduro dan pemimpin-pemimpin kerajaan Venezuela untuk mempertahankan keamanan dan menentang ancaman fasisme, rakyat Venezuela yang menyokong Revolusi Bolivar telah bermobilisasi untuk beraksi dalam jumlah yang besar di jalanan sejak 30 Julai 2024.
CNE menerbitkan buletin kedua pada 2 Ogos 2024 dengan 96.87% undi telah diambil kira, mengesahkan bahawa Maduro memenangi 6,408,844 undi (51.95%), sementara González memperoleh 5,326,104 undi (48.13%). Elvis Amoroso, Presiden CNE, mengatakan kelewatan penerbitan maklumat penjumlahan undi adalah kerana serangan siber besar-besaran yang dilakukan dari tempat berlainan di seluruh dunia terhadap infrastruktur teknologi CNE. CNE masih belum menerbitkan keputusan terperinci mengikut pusat mengundi yang biasa dilakukannya.
Walaupun terdapat beberapa buah negara besar seperti China, Rusia, Iran dan Turki (di mana kebanyakan negara tersebut tidak mempunyai pilihan raya yang bebas dan demokratik) mengiktiraf keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh CNE, banyak negara lain masih teragak-agak dan mengambil pendirian tunggu dan lihat. Kerajaan negara Brazil, Colombia dan Mexico yang diterajui oleh golongan berhaluan kiri yang agak rapat dengan kerajaan Bolivar di Venezuela telah menggesa untuk penerbitan rekod pengundian yang terperinci di setiap pusat mengundi demi ketelusan dan pengauditan yang bebas. Adalah menjadi keperluan dan cabaran buat CNE dan kerajaan Venezuela pada masa ini untuk menunjukkan ketelusan dan kesahan proses pilihan raya.
Namun, adalah tidak mengejutkan bahawa kerajaan AS, yang sentiasa hendak menggulingkan kerajaan Bolivar di Venezuela sepanjang lebih dua dekad yang lalu, bukan sahaja tidak mengiktiraf kemenangan Maduro dalam Pilihan Raya Presiden Venezuela, malah terus mengisytihar González sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Venezuela, seolah-olah kerajaan AS itu pengadil yang tidak berat sebelah untuk menentukan siapa boleh menjadi Presiden Venezuela. Negara-negara yang bersekutu dengan imperialis AS telah mengekori jejak kakinya untuk tidak mengiktiraf langsung keputusan yang diumumkan oleh CNE.
Untuk mencabar dakwaan puak pembangkang berhaluan kanan tentang kepincangan pilihan raya, Maduro telah memfailkan petisyen kepada Mahkamah Agung untuk melakukan semakan kehakiman terhadap keputusan pilihan raya. Maduro berjanji bahawa pihaknya akan menyerahkan maklumat pengiraan undi yang dikumpulkan oleh PSUV dan sekutunya apabila diminta oleh mahkamah. Pada 2 Ogos 2024, Mahkamah Agung Venezuela memerintahkan kesemua 10 orang calon Presiden dan parti-parti politik yang terlibat dalam pilihan raya untuk menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan supaya dapat menyemak semula keputusan pilihan raya. Semua calon kecuali González yang disokong oleh golongan pelampau kanan telah hadir dalam sesi Mahkamah Agung di Caracas.
Puak berhaluan kanan yang hendak menghancurkan proses Revolusi Bolivar di Venezuela sememangnya tidak berhasrat untuk menghormati apa-apa proses demokrasi. Mereka hanya mahu merampas kuasa demi kepentingan golongan oligarki dan elit yang rapat dengan kuasa imperialis AS, dengan mempergunakan ketidakpuasan hati yang wujud dalam kalangan masyarakat Venezuela.
Negara Venezuela telah diserang dan disekat oleh kuasa imperialis sepanjang lebih satu dekad yang lalu sehingga ekonomi di dalam negara itu mengalami pelbagai masalah yang teruk dan memang menjejaskan kehidupan kebanyakan rakyat biasa. Walaupun ramai dihasut oleh puak berhaluan kanan dengan pelbagai berita palsu dan penipuan untuk membantah kerajaan Bolivar, memang wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat biasa kerana kehidupan ekonomi yang susah akibat daripada sekatan yang dikenakan oleh kuasa imperialis AS. Lebih-lebih lagi, Maduro menggantikan Chávez mempunyai banyak kelemahan dalam memajukan proses Revolusi Bolivar sehingga tidak menyenangkan sebahagian golongan pendukung Revolusi Bolivar yang berhaluan kiri. Kompromi yang dilakukan oleh Maduro dengan golongan kapitalis besar di negara itu telah membawa kepada pemulangan tanah kepada tuan tanah, penswastaan, penghakisan kawalan pekerja terhadap pengeluaran, dan malah pemenjaraan aktvisi pekerja yang melawan balik. Cabaran-cabaran ini harus ditangani secara bijaksana demi mempertahankan Revolusi Bolivar yang melibatkan reformasi tanah, pembentukan komun, pemerkasaan majlis komun, kawalan pekerja, pemiliknegaraan, konfrontasi dengan imperialisme dan usaha menuju sebuah masyarakat sosialis.
Dalam keadaan yang penuh mencabar, rakyat Venezuela yang hendak mempertahankan Revolusi Bolivar sudah pasti akan terus bermobilisasi di jalanan untuk menentang ancaman puak berhaluan kanan. Perjuangan kelas diteruskan…