20190502 - venezuela58775343_1640376092732411_142157748140769280_n
Rakyat Venezuela turun ke jalanan Caracas untuk mempertahankan Kerajaan pimpinan Maduro daripada rampasan kuasa oleh puak berhaluan kanan.

Puak berhaluan kanan di Venezuela melancarkan satu kudeta tentera pada 30 April 2019, sebagai usaha terbaru mereka untuk menjatuhkan Kerajaan Bolivar pimpinan Nicolás Maduro, tetapi nampaknya gagal mencapai matlamat pada ketika ini.

Pada 30 April 2019,  Juan Guaidó, pemimpin puak berhaluan kanan yang menggelar dirinya sebagai “Presiden Sementara” telah menyeru anggota tentera di Venezuela untuk menjatuhkan Presiden Maduro yang dipilih secara demokratik. Dalam video yang disebarkan dalam laman media sosial, Guaidó menggesa anggota tentera berkumpul di pengkalan udara La Carlota di Caracas untuk melaksanakan “fasa terakhir” usaha menjatuhkan Maduro dan menggelar cubaan rampasan kuasa terbaru ini sebagai “Operasi Kebebasan” (Operación Libertad). Guaidó telah disertai oleh segelintir kecil pegawai pasukan keselamatan yang membelot dan pemimpin pelampau kanan Leopoldo López yang baru melarikan diri daripada kurungan rumah pada awal pagi itu. Leopoldo López dipenjarakan kerana penglibatannya dalam menghasut protes bersifat keganasan pada tahun 2014 dan kemudiannya ditukar kepada penahanan di rumah.

Guaidó, selaku anggota Perhimpunan Nasional (iaitu Parlimen Venezuela) yang mewakili puak pembangkang berhaluan kanan, telah mengisytihar dirinya sebagai “Presiden Sementara” pada 23 Januari 2019, mencetuskan krisis politik terbaru dalam usaha puak berhaluan kanan yang didukung kuasa imperialis untuk merampas kuasa. Pengisytiharannya sebagai Presiden disokong oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah, di samping beberapa buah negara Amerika Latin yang dikuasai oleh golongan berhaluan kanan pada masa sekarang.

29190502 - 4guaidolopezmorning_0
Juan Guaidó (kiri) dan Leopoldo López (kanan)

Sebagai respon kepada cubaan rampasan kuasa terbaru ini, rakyat Venezuela yang menyokong Revolusi Bolivar dan kerajaan yang dipilih secara demokratik, telah memobilisasi dan berkumpul di hadapan Istana Miraflores (pejabat Presiden Venezuela). Menteri Pertahanan Vladimir Padrino López mengesahkan bahawa Angkatan Tentera Bolivar Nasional Venezuela masih setia pada kerajaan sedia ada dan akan mempertahankan perlembagaan negara tersebut serta pihak berkuasa yang sah. López berkata, “Kami menolak tindakan yang tidak demokratik ini yang bertujuan untuk mengisi negara ini dengan keganasan. Pemimpin politik pseudo yang meletakkan diri mereka di barisan hadapan gerakan subversive ini telah menggunakan tentera dan polis dengan senjata perang di jalanraya awam dalam bandar untuk mewujudkan kegusaran dan ketakutan.”

Presiden Nicolás Maduro turut menyeru mobilisasi rakyat untuk memastikan kemenangan bagi usaha mencapai kedamaian di Venezuela. Ramai penyokong Revolusi Bolivar telah berkumpul dan menyuarakan bantahan mereka terhadap ancaman puak berhaluan kanan.

Pada penghujung hari 30 April 2019, cubaan rampasan kuasa yang dihebohkan sebagai “fasa terakhir” oleh Guaidó ini berakhir dengan kegagalan sekali lagi. Leopoldo López yang menjadi simbol kepada puak pelampau kanan telah mencari perlindungan di Kedutaan Sepanyol, dan Guaidó pula cuba mengelakkan dirinya daripada ditahan.

Sejak Guaidó mengisytihar dirinya sebagai “Presiden Sementara”, dengan sokongan daripada sekutu negara luar, dia telah mengaturkan beberapa pertunjukan media untuk mewujudkan keadaan konflik yang hebat dengan harapan memaksa Maduro untuk berundur. Salah satu cubaan yang jelas adalah pada bulan Februari di kawasan sempadan dengan alasan membawa masuk bantuan kemanusiaan dari Amerika Syarikat ke dalam Venezuela. Venezuela kemudiannya dilanda gangguan bekalan elektrik yang berterusan sejak bulan Mac 2019, dipercayai terdapat unsur-unsur sabotaj untuk menimbulkan kesusahan pada rakyat Venezuela dengan niat membangkitkan kemarahan ramai terhadap kerajaan Maduro. Perhimpunan Perlembagaan telah mengundi untuk mencabut keimuman parlimen Guaidó pada awal bulan April 2019, menyebabkannya boleh didakwa di mahkamah atas tindakannya yang cuba merampas kuasa.

20190502 - cover_1_may_kk.jpeg

Pada 1 Mei 2019, sehari selepas cubaan rampasan kuasa tentera yang gagal, kedua-dua kem yang menyokong dan membantah kerajaan telah turun ke jalanan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Guaidó menjanjikan mobilisasi tersebut “perarakan terbesar dalam sejarah”, tetapi jumlah yang turun menyokong pembangkang berhaluan kanan tidak sebesar berbanding 3 bulan dahulu semasa dia mengisytihar dirinya sebagai “Presiden Sementara”. Perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan puak pembangkang berhaluan kanan selalunya diadakan di bahagian timur bandaraya Caracas, iaitu kubu kuat kelas atasan dan golongan berhaluan kanan yang tercabar oleh proses Revolusi Bolivar sejak 20 tahun dahulu.

Kegagalan cubaan kudeta tentera yang terbaru ini amat jelas menunjukkan bahawa puak berhaluan kanan yang disokong kuasa imperialis begitu terdesak dan bertindak secara melulu untuk menjatuhkan Kerajaan Maduro. Namun, rakyat Venezuela yang menyokong proses Revolusi Bolivar walaupun menghadapi cabaran yang hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masih tegas dan berani mempertahankan Kerajaan Bolivar daripada dijatuhkan oleh kuasa imperialis dan budak suruhannya.

Walaupun cubaan kudeta terbaru ini digagalkan, tetapi ia merupakan peringatan kepada rakyat Venezuela bahawa kuasa imperialis dan budak suruhannya seperti Guaidó memang bertekad untuk menjatuhkan Kerajaan Bolivar dan menghancurkan segala pencapaian sosial hasil daripada Revolusi Bolivar. Kuasa imperialis dan puak berhaluan kanan pasti akan terus menyusun tindakan untuk menimbulkan kekacauan lagi di Venezuela. Namun, rakyat Venezuela yang menyokong proses Bolivar dan inginkan keamanan juga tidak akan mengalah.

20190502 - venc7_miraflores_0
Mobilisasi rakyat di Caracas pada 30 April untuk mempertahankan Kerajaan Bolivar daripada kudeta tentera.

2 thoughts on “Venezuela: Cubaan kudeta tentera gagal, ancaman masih berterusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *