Pilihan raya Parlimen mengejut di Perancis menghasilkan satu keputusan yang mengejutkan buat Presiden Emmanuel Macron yang memanggil pilihan raya mengejut itu dan golongan pelampau kanan yang menjangkakan diri mereka akan membentuk kerajaan. Gabungan parti-parti politik berhaluan kiri dan progresif, Nouveau Front populaire (NFP) atau Barisan Rakyat Baharu, membuat kejutan dalam pilihan raya mengejut di Perancis apabila ia muncul sebagai gabungan parti yang menguasai paling banyak kerusi Parlimen, tetapi masih jauh tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Situasi politik di Perancis sedang berada di satu persimpangan sejarah yang penuh dengan ketidaktentuan.
Pilihan Raya Parlimen Perancis diadakan pada baru-baru ini, dalam tempoh hanya 2 tahun selepas pilihan raya pada tahun 2022, apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron membubarkan Perhimpunan Kebangsaan (iaitu Parlimen Perancis) berikutan gabungan parti politik berhaluan tengah yang menyokong kepresidenannya mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024. Rassemblement National (RN), sebuah parti politik pelampau kanan populis yang anti-migran di bawah kepimpinan Marine Le Pen, beria-ia untuk menjadi parti yang terbesar dalam Parlimen Perancis supaya membentuk kerajaan dengan sokongan undi kepadanya yang semakin meningkat. Namun, impian RN untuk menang dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis berjaya disekat buat sementara waktu dengan kebangkitan NFP.
Pengundian pusingan pertama bagi Pilihan Raya Parlimen Perancis telah diadakan pada 30 Jun 2024 dan pengundian pusingan kedua diadakan pada 7 Julai 2024, untuk memilih 577 orang ahli parlimen yang bersidang dalam Perhimpunan Kebangsaan. Ahli parlimen bagi setiap kawasan mengundi dipilih melalui pengundian dua pusingan. Jika seorang calon meraih undi majorti mutlak (iaitu lebih 50% undi yang sah) dan jumlah undi itu melebihi 25% jumlah pengundi yang berdaftar, maka calon itu akan terus diisytihar sebagai pemenang dalam pengudian pusingan pertama; sekiranya tiada seorang calon yang dapat melepasi ambang yang ditetapkan ini, maka dua orang calon yang mendapat undi tertinggi dalam pusingan pertama dan mana-mana calon lain yang mendapat undi melebihi 12.5% pengundi berdaftar layak untuk bertanding dalam pengundian pusingan kedua, dengan calon yang mendapat undi terbanyak dalam pusingan kedua akan menjadi pemenang. Dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis kali ini, sebanyak 76 kerusi telah diisytihar pemenang dalam pengundian pusingan pertama pada 30 Jun 2024, manakala 501 kerusi yang lain perlu melalui pengundian pusingan kedua, dengan banyak kerusi menyaksikan persaingan 3-penjuru malah 4-penjuru. Peratusan keluar mengundi agak tinggi bagi kedua-dua pusingan dalam pilihan raya yang sengit ini, dengan lebih 32 juta orang pengundi telah membuang undi mereka, mencatatkan 66.71% bagi pusingan pertama dan 66.63% bagi pusingan kedua. Keputusan pilihan raya kali ini mewujudkan keadaan parlimen tergantung dengan tiada mana-mana gabungan politik menguasai kerusi majoriti.
Nouveau Front populaire (NFP), sebuah gabungan parti-parti politik berhaluan kiri dan progresif yang baru ditubuhkan selepas Pilihan Raya Parlimen Perancis dipanggil pada bulan Jun 2024, muncul sebagai gabungan yang terbesar dalam Parlimen Perancis dengan memenangi 182 kerusi. NFP telah menghimpunkan parti-parti politik kiri dan progresif daripada pelbagai aliran, termasuk La France Insoumise (LFI) yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon, Parti Sosialis (PS) yang dipimpin oleh Olivier Faure, Les Écologistes (LE) yang dipimpin oleh Marine Tondelier, Parti Komunis Perancis (PCF) yang dipimpin oleh Fabien Roussel, Parti Kiri (PG), Génération·s yang dipimpin oleh bekas pemimpin PS Benoît Hamon, Place Publique dan banyak lagi. NFP ditubuhkan dalam masa yang amat singkat untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis terbaru ini dengan satu tujuan yang jelas, iaitu menewaskan kuasa politik pelampau kanan yang diterajui oleh RN. Nama gabungan ini mendapat ilham daripada Front populaire atau Barisan Rakyat yang ditubuhkan pada tahun 1930-an untuk menentang ancaman fasis pada masa itu.
NFP meraih lebih 9 juta undi (28.21%) dalam pusingan pertama, menduduki tempat kedua di belakang RN dan sekutunya yang memperoleh lebih 10 juta undi. NFP memenangi 32 kerusi dalam pusingan pertama. Dalam pengundian pusingan kedua, semua calon NFP yang menduduki tempat ketiga kecuali 5 orang telah menarik diri untuk membolehkan pengundian secara taktikal demi menewaskan RN. Oleh itu, jumlah undi yang diperolehi NFP adalah berkurangan berbanding pusingan pertama walaupun ia memenangi banyak kerusi.
Daripada 182 kerusi yang dimenangi oleh NFP, LFI yang berhaluan kiri menguasai 74 kerusi, PS yang berhaluan kiri-tengah mendapat 59 kerusi, LE yang merupakan parti hijau berhaluan kiri memperoleh 28 kerusi, PCF memenangi 9 kerusi, Génération·s mendapat 5 kerusi, golongan kiri lain yang pelbagai memenangi 5 kerusi dan parti-parti regionalis kiri mendapat 2 kerusi.
NFP telah mengemukakan program bersama yang progresif, termasuk membatalkan undang-undang pembaharuan pencen 2023 yang dibawa oleh Macron di samping menurunkan umur perasaraan dari 64 tahun ke 60 tahun, meningkatkan gaji pekerja-pekerja sektor awam, meningkatkan gaji minimum, menghubungkan gaji pekerja dengan inflasi, mengurangkan cukai untuk golongan berpendapatan rendah, memperkenalkan cukai kekayaan terhadap golongan kaya, membiayai 500,000 buah tempat penjagaan kanak-kanak, mengawal harga makanan asas dan sebagainya. Dari segi hal ehwal luar negara, NFP menjanjikan bahawa ia akan menuntut gencatan senjata segera di Gaza, mengiktiraf negara Palestin dan menghentikan perang pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
NFP yang ditubuhkan untuk menyekat pelampau kanan RN daripada berkuasa telah berjaya mencapai matlamatnya, dengan mengatasi kerusi yang dimenangi RN dan menjadi gabungan terbesar dalam Parlimen Perancis, tetapi jumlah kerusinya (182) masih jauh kurang berbanding 289 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti. Matlamat asal gabungan politik kiri yang terbaru di Perancis ini telah tercapai, tetapi cabaran yang sebenar baru bermula.
RN yang dijangkakan akan mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis, memang meraih undi yang terbanyak dalam kedua-dua pusingan pengundian. RN dan sekutunya telah meraih 33.21% undian dalam pusingan pertama dan 37.06% undian dalam pusingan kedua. Namun, dengan pengundi-pengundi yang mengundi secara taktikal, tambahan pula dengan NFP dan parti-parti lain melakukan penarikan diri secara taktikal di sesetengah kawasan (di mana calon yang mendapat undi ketiga tinggi menarik diri daripada pertandingan untuk menghalang calon RN daripada dipilih), RN dan sekutunya yang memenangi kerusi terbanyak dalam pusingan pertama (38 kerusi berbanding 32 yang dimenangi oleh NFP), gagal mengulangi kejayaannya dalam pengundian pusingan kedua dengan peratusan undinya yang tinggi. Pada keseluruhannya, RN dan sekutunya memenangi 143 kerusi, dan menjadi gabungan ketiga besar dalam Parlimen Perancis.
Ensemble, gabungan politik berhaluan tengah dan liberal yang menyokong kepresidenan Macron, telah mengalami kekalahan teruk, dengan hanya memenangi 168 kerusi dan menjadi gabungan kedua besar dalam Parlimen Perancis. Jika bukannya sentimen umum untuk menyekat kemaraan pelampau kanan, penarikan diri daripada calon NFP dan pengundian taktikal oleh pengundi-pengundi yang tidak semestinya menyokong Macron, Ensemble tidak mungkin dapat mengekalkan bilangan kerusi sebegitu banyak kerana ramai rakyat Perancis sudah muak dengan Presiden Macron.
Dasar yang dibawa oleh kerajaan yang mendukung kepresidenan Macron selama beberapa tahun yang lepas telah memberi kesan mendalam kepada rakyat biasa, dan ini menyediakan tapak yang subur kepada perluasan pengaruh politik pelampau kanan. Oleh itu, selagi kerajaan Perancis masih mengamalkan dasar yang diterajui oleh Macron dan penyokong neoliberalnya, kuasa pelampau kanan akan terus mempergunakan kesempatan kemarahan rakyat terhadap pemerintah untuk memperluaskan pengaruhnya. Dalam keadaan rakyat marah dengan dasar kerajaan neoliberal dan ancaman perluasan pengaruh pelampau kanan, golongan kiri di Perancis mampu mengetepikan perbalahan sesama sendiri untuk menawarkan nafas segar kepada kemurungan politik di negara itu.
Dengan NFP menguasai kerusi terbanyak dalam Parlimen Perancis, sepatutnya Presiden Macron harus terus menjemput gabungan politik ini untuk membentuk kerajaan baharu. Namun, Macron teragak-agak untuk berbuat demikian. Sebaliknya, dengan alasan “memastikan kestabilan negara”, Macron meminta Perdana Menteri Gabriel Attal untuk terus berpegang pada jawatannya buat sementara waktu apabila Attal mengemukakan perletakan jawatannya. Macron nampaknya agak jelas bahawa sekiranya sebuah kerajaan berhaluan kiri berjaya dibentuk, dasar neoliberal yang dibawanya akan dihapuskan.
Oleh itu, selepas ancaman pelampau kanan dapat disekat buat sementara waktu oleh kebangkitan gabungan berhaluan kiri, Macron dan golongan liberal pula sedang berusaha untuk menyekat gabungan kiri daripada berkuasa. Mereka mungkin akan memainkan taktik untuk memecahkan golongan kiri yang memang mempunyai banyak perbalahan sebelum ini tetapi dapat bersatu dalam berhadapan dengan ancaman pelampau kanan. Usaha daripada golongan liberal untuk melemahkan gabungan politik kiri hanya akan menguntungkan golongan pelampau kanan yang masih sedang mengembangkan pengaruhnya.
NFP dan golongan kiri di Perancis sedang berhadapan dengan cabaran yang hebat. Sekiranya pemimpin-pemimpin membuat kompromi dengan golongan liberal untuk membentuk sebuah kerajaan, ia akan dianggap sebagai pengkhianatan kepada pengundi-pengundi yang menyokong program progresifnya yang berputus dengan dasar neoliberal, maka berkemungkinan besar memperkuatkan lagi pengaruh pelampau kanan. Sejauh mana NFP dan golongan kiri Perancis dapat bertahan, akan bergantung pada kesungguhan politik gabungan ini dan kekuatan mobilisasi gerakan sosial yang progresif di negara itu untuk mempertahankan kemenangan bersejarah mereka dalam menyekat kemaraan pelampau kanan. Hanya politik kiri dengan dasar sosio-ekonomi yang mencabar kapitalisme dan melindungi rakyat biasa berasaskan solidariti rakyat mampu menangkis ancaman pelampau kanan yang mengapi-apikan sentimen nasonalis sempit.