oleh Pemuda Sosialis PSM

Pemuda Sosialis mengalu-alukan inisiatif kerajaan membenarkan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi tanpa mengira kaum.

Namun, langkah ini tidak mencukupi bagi mengatasi kegusaran masyarakat kaum bukan Bumiputera mahupun Bumiputera dengan sistem pendidikan negara, khasnya berkaitan persoalan akses sama rata dalam program pengajian tinggi.

Kita masih perlu menyelesaikan isu-isu utama yang menyebabkan kegusaran ini dalam isu pendidikan:

1. Pelajar Malaysia masih tidak mempunyai hak pendidikan sama rata

Matrikulasi masih memperuntukkan 90 peratus tempatnya kepada pelajar Bumiputera dan baki 10 peratus lagi untuk bukan Bumiputera.

Walhal kuota ini tidak seimbang disebabkan ia tidak mencerminkan demografi Malaysia, di mana 57.9% (17.7 juta) penduduk ialah orang Melayu, 22.6% orang Cina, 6.6% India, dan 12.2% Bumiputera lain. Menerusi statistik ini, 70.1% merupakan Bumiputera, manakala baki 29.9% ialah bukan Bumiputera.

Tambahan pula, golongan Bumiputera Sabah dan Sarawak sering dipinggirkan. Mereka sering mendapat kemudahan pelajaran rendah dan menengah yang lebih daif jika dibandingkan dengan seluruh negara.

Oleh itu, walaupun pelajar bukan Bumiputera berprestasi tinggi layak untuk melanjutkan pelajaran dalam program matrikulasi, masih terdapat kekangan kuota 10 peratus yang menidakkan peluang ramai pelajar bukan Bumiputera lain untuk membuat perkara yang sama.

2. Berapa ramai pelajar yang mengambil 10 subjek?

Keputusan ini hanya akan memanfaatkan sebilangan kecil pelajar sahaja, kerana tidak ramai yang mengambil sepuluh mata pelajaran dan ke atas.

Kebanyakan aliran di sekolah mempunyai kurang daripada sepuluh subjek. Untuk mendapat 10A, pelajar perlu memilih mata pelajaran tambahan (elektif). Rata-rata sekolah meletakkan 8A atau 9A sebagai pencapaian maksimum bagi seorang pelajar.

Pada masa yang sama, pelajar juga bimbang untuk mengambil banyak mata pelajaran lagi-lagi ada antara mereka yang masih tidak menguasai mata pelajaran teras. Ia juga tidak digalakkan oleh sebilangan ibu bapa dan guru. Oleh itu, tidak semua pelajar berkemampuan mengambil mata pelajaran elektif seperti bahasa asing dan sains pertanian untuk mendaftar sepuluh subjek. Jadi persoalannya, bagaimana pelajar boleh memperolehi lebih daripada 10A?

3. Kelemahan sistem pendidikan yang masih berdasarkan meritokrasi

Peperiksaan SPM pada zaman kita hanya menilai pelajar berdasarkan pencapaian akademik semata-mata dan keputusan yang diperolehi mereka amat mempengaruhi laluan pendidikan masa depan mereka. Walaupun ini dilihat sebagai sistem meritokrasi, tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, ia mengaburi ketidaksamaan dalam kalangan pelajar Malaysia.

Pelajar yang mempunyai latar belakang ekonomi yang lebih baik mampu untuk belajar tanpa dibebani dengan masalah kewangan, dapat menghadiri tuisyen swasta dan mengupah pengajar tambahan untuk membantu mereka mencapai kejayaan akademik. Secara ringkas, mereka mampu mengisi masa mereka dengan pembelajaran dalam keadaan yang kondusif dan selesa.

Hal yang sebaliknya pula berlaku dengan pelajar yang mempunyai latar belakang ekonomi kurang baik di mana mereka perlu membahagikan masa mereka untuk memikirkan dan mengatasi masalah hidup dari segi cara mendapat rezeki dan memastikan keperluan asas keluarga mereka dipenuhi. Disebabkan masalah-masalah ini, adalah tidak realistik untuk kita jangkakan daripada mereka keputusan cemerlang seperti 10A dalam peringkat SPM.

4. Kekurangan kolej matrikulasi

Kerajaan perlulah menangani masalah ini bukan hanya dari segi “kenapa pelajar bukan Bumiputera yang mempunyai pencapaian cemerlang tidak boleh masuk ke matrikulasi?”, tetapi lebih kepada “kenapa pelajar berkewarganegaraan Malaysia tidak diberikan peluang yang adil dan sama untuk masuk ke matrikulasi tanpa mengira kaum dan agama?”.

Justeru, kami juga menyeru kerajaan untuk meneliti cadangan di mana perlunya pembukaan lebih banyak kolej matrikulasi disebabkan sistem pendidikan kita kini tidak mampu menampung jumlah pelajar yang semakin ramai, hinggakan terdapat pelajar Bumiputera cemerlang yang tidak dapat masuk ke program tersebut walaupun dengan adanya kuota 90 peratus.

Kekangan pelajar mendapatkan peluang untuk menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi bukanlah isu kaum, namun ia disebabkan kekurangan kolej. Kolej matrikulasi yang terbaru ialah Kolej Matrikulasi Kelantan, yang mula beroperasi pada tahun 2013.

Para pelajar tidak seharusnya dilaga-lagakan antara kaum demi mendapatkan peluang untuk belajar.

Kerajaan haruslah komited untuk mencapai ekuiti dalam sistem pendidikan, dan meningkatkan kesejahteraan warga pendidik demi masa depan negara. Tidak dinafikan, objektif-objektif ini mengambil masa untuk dilaksanakan, tetapi jika kerajaan benar-benar ingin memperkasakan dunia pendidikan di negara kita dari segi infrastruktur, golongan pendidik, dan golongan pelajar, hal yang membawa banyak manfaat ini boleh direalisasikan.

Akses sama rata kepada pendidikan adalah hak asas untuk semua!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *