PUTRAJAYA – 31 MEI 2023: Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang di kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor – Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagas – mengadakan satu protes di ibu pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada hari ini, untuk membantah jawapan yang diberikan oleh Nga Kor Ming selaku Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada soalan mengenai pelaksanaan pembinaan rumah teres bagi pekerja-pekerja ladang ini yang sudah tertangguh selama 25 tahun!

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menyatakan kekecewaan pekerja-pekerja dari 5 buah ladang tersebut terhadap jawapan yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada soalan yang dikemukakan oleh Ganabatirau Veraman selaku Ahli Parlimen Klang dalam sesi persidangan Dewan Rakyat pada 23 Mei 2023.

Soalan yang ditanyakan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 23 Mei 2023 (Soalan No. 37) ialah:

YB TUAN GANABATIRAU A/L VERAMAN [KLANG] minta MENTERI PEMBANGUNAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan Kumpulan Berjaya Berhad yang telah menawarkan pembinaan rumah teres untuk keluarga pekerja dan bekas pekerja dari lima ladang iaitu Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Minyak, Ladang Nigel Gartner dan Ladang Bukit Tagar. Pihak Jabatan Perumahan Negara di bawah KPKT telah bersetuju membina rumah tersebut. Namun, dikatakan tiada bajet (peruntukan). Soalan saya, bilakah KPKT dapat memohon bajet tersebut untuk mengimplimentasikan projek tersebut?”

Jawapan daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ialah seperti berikut:

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan projek PPR Tanjung Karang 1, Bestari Jaya, Selangor kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan. Namun, permohonan ini tidak dapat dipertimbangkan disebabkan masih terdapat isu-isu berkaitan projek ini yang masih belum diselesaikan melibatkan aspek dasar, skop dan spesifikasi projek. Justeru, KPKT akan mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Selangor dan pihak-pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian dan hala tuju berhubung perkara ini.

Jawapan inilah yang menimbulkan kemarahan pekerja-pekerja dari 5 buah ladang berkenaan, kerana Menteri itu bukan sahaja tidak menjawab apa yang ditanyakan, malah berdolak-dalik dalam menyelesaikan kemelut perumahan pekerja ladang tersebut yang telah berlarutan selama 25 tahun.

“Kami berpendirian bahawa jawapan YB Menteri ialah satu jawapan yang berdolak-dalik, tidak serius, tidak terperinci dan hanya sekadar kerja malas bagaikan melepaskan batuk di tangga. Soalan kepada YB Menteri bertanya mengenai bajet, tetapi jawapan YB Menteri adalah mengenai permohonan Projek PPR Tanjung Karang 1, Bestari Jaya, yang merupakan satu cerita lapuk. Cerita ini ialah cerita tahun 2018 semasa PRU-14 dimana ia adalah satu penipuan pilihan raya. Mungkin kami perlu mendidik pihak YB Menteri dan juga ‘team’ YB kerana gagal menghayati isu sebenar,” begitu katanya Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity dalam surat bantahan yang ditujukan kepada Nga Kor Ming selaku Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Pada tahun 2018, penduduk-penduduk dari 5 buah ladang telah menghantar memorandum kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu, untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Projek PPR Tanjung Karang 1, Bestari Jaya, yang merupakan projek perumahan bercorak townhouse (rumah bandar). Pada waktu itu, N. Jayaselan, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), mengatakan bahawa pihak syarikat Berjayacity hanya memberikan tanah seluas 12.75 ekar yang tidak mencukupi untuk KPKT membina rumah teres. Jayaselan mengatakan bahawa saiz tanah harus ditingkat kepada 20 ekar supaya KPKT boleh membina rumah teres kepada 245 orang pekerja ladang yang terlibat.

Pada 19 Disember 2018, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity telah menghantar surat kepada Vincent Tan Chee Yioun, pengasas Berjaya Corporation Berhad, untuk menyatakan bahawa saiz tanah yang diberikan oleh Berjayacity, iaitu 12.75 ekar, tidak cukup untuk KPKT membina rumah dan menuntut saiz tanah seluas 20 ekar untuk membina rumah teres kepada 245 orang pekerja ladang. Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menerima surat bertarikh 11 Januari 2019 daripada syarikat Berjaya yang menyatakan bahawa Berjaya sedia memberikan 20 ekar tanah bagi pembinaan rumah kepada 245 pekerja ladang di Batang Berjuntai.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity kemudian dimaklumkan bahawa projek perumahan ini sudahpun mendapat peruntukan bajet, tetapi tergendala kerana perlu menyelesaikan isu kontraktor dalam pembinaan rumah bagi pekerja-pekerja. Pada 8 September 2019, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menulis surat kepada Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu untuk menyelesaikan masalah ini. Ini ini kemudiannya telah selesai selepas perbincangan antara pihak Berjayacity dengan pihak Kementerian.

Pada 8 September 2022, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menulis surat kepada Unit Perancang Ekonomi (UPE), Menteri Kewangan dan Menteri Perumahan untuk mendapat tahu tentang status sama ada Bajet 2023 akan adanya peruntukan bagi membina perumahan yang telah dijanjikan oleh Kerajaan sebelum ini.

Pada 27 Sepetember 2022, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menerima surat daripada KPKT yang menyatakan bahawa pihak KPKT telahpun memohon peruntukan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya pada tahun 2018 tetapi ia tidak diluluskan. Oleh itu, Kementerian sekali lagi menghantar permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi untuk Bajet 2023, tetapi masih dalam pertimbangan.

Pada bulan Disember 2022, Kerajaan Perpaduan telah dibentuk dan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah ditukar nama kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan. Apabila pekerja-pekerja dari 5 buah ladang bertanyakan soalan melalui Ahli Parlimen mengenai peruntukan dalam bajet, jawapan yang diberikan oleh Menteri yang sepatutnya bertanggungjawab dalam perkara ini pula masih tersangkut pada tahun 2017, sedangkan sudah wujudnya banyak perkembangan sepanjang 6 tahun yang lalu. Jawapan yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan terhadap soalan mengenai peruntukan bajet untuk pembinaan rumah bagi pekerja-pekerja di 5 buah ladang itu adalah tidak fokus dan tidak bertanggungjawab.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity mengingatkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan bahawa isu tanah dan isu kontraktor sudah selesai pada masa ini, sementara isu yang masih belum selesai hanyalah pembiayaan untuk membina rumah. Jawapan yang diberikan oleh Menteri dalam Parlimen itu menunjukkan pengetahuannya tentang isu ini adalah jauh ketinggalan masa.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menggesa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementeriannya supaya memfokus kembali kepada dua perkara penting, iaitu:

  • Adakah dan bilakah peruntukan belanjawan untuk membina rumah bagi 245 orang pekerja di 5 buah ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor akan diluluskan?
  • Bilakah projek perumahan ini akan mula dilaksanakan?

Turut hadir bersama Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity semasa penyerahan surat bantahan kepada KPKT pada hari ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *