IPOH, PERAK: Kes petani-petani Chepor Impian, Daerah Kinta, Perak, untuk mendapatkan pampasan daripada pihak pemaju dan polis kerana kemusnahan kebun mereka telah mula didengar di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 18 Mac 2024.  

4 orang petani yang mengusahakan tanah pertanian di kawasan Chepor Impian telah diusir secara paksa pada 13 April 2022 oleh syarikat pemaju Eadepro Development Sdn Bhd. 4 orang petani ini dan 4 orang lagi aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap oleh polis pada hari itu untuk memberi ruang kepada pihak pemaju yang merobohkan kebun petani.

Oleh kerana polis telah membantu pihak pemaju dalam merobohkan kebun walaupun pemaju tidak memperolehi perintah mahkamah terlebih dahulu, 4 orang petani yang terlibat telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memohon pampasan daripada pemaju dan juga pihak polis.

Peguam kerajaan telah memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya kes terhadap polis digugurkan kerana pihak polis hanya hadir di situ untuk menjaga keamanan. Peguam kerajaan berhujah bahawa perobohan kebun dilakukan oleh pihak pemaju. Peguam yang mewakili pihak petani, Tetuan Sreenevasen, membantah dengan berhujah bahawa perobohan itu dapat dijalankan kerana peranan yang dimainkan oleh pihak polis. Jika pihak polis bersikap berkecuali pada hari itu, berkemungkinan besar isu tersebut dapat diselesaikan melalui perundingan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Dato’ Bhupindar Singh, telah menolak permohonan peguam kerajaan untuk mengugurkan kes terhadap pihak polis dan menetapkan 23 April 2024 sebagai tarikh pendengaran kes seterusnya.

“PSM mengambil berat terhadap kes ini kerana prinsip-prinsip asas keadilan yang terlibat, iaitu bolehkah seorang pemaju yang dilupuskan sebidang tanah pada tahun 2001, menghalau sekumpulan petani yang telah mengusahakan tanah itu sejak tahun 1980-an, tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu?” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM yang hadir bersolidariti bersama petani-petani Chepor Impian.

“Apakah tanggungjawab polis apabila diminta untuk membantu dalam pengusiran paksa yang tidak berdasarkan perintah mahkamah?” tanya Dr. Jeyakumar lagi. “Soalan-soalan ini adalah penting untuk kita menegakkan ‘kedaulatan undang-undang’. Jika peristiwa yang berlaku pada 13 April 2022, kita akan mewujudkan suasana ‘undang-undang rimba’ di mana golongan yang kaya raya boleh mempengaruhi polis untuk bermesra pada golongan kaya raya yang bertindak sesuka hati mereka dan menzalimi rakyat marhaen.”

PSM dan Gabungan Petani Perak berharap bahawa satu garis panduan yang jelas akan dapat diwujudkan daripada perbicaraan kes pengusiran petani Chepor Impian dan kepentingan kumpulan-kumpulan masyaeakat marhaen di negara kita dapat dipelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *