oleh PSM Petaling Jaya

Parti Sosialis Malaysia Petaling Jaya (PSM PJ) mengecam dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya PJD Link setelah penilaian semula laluan lebuhraya tersebut.

PSM PJ juga amat tidak berpuas hati dengan cara Kerajaan Negeri Selangor mengendalikan bantahan oleh kumpulan-kumpulan penduduk, terutamanya aksi protes pada 22 Februari 2024 dalam sebuah forum yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor. Menurut laporan media, Stakeholders cum Residents Against PJD Link (ScRAP) telah menghantar surat demi surat dan menyerahkan sebanyak empat memorandum kepada Pejabat Menteri Besar tetapi tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak Menteri Besar. PSM ingin mengingatkan semula bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kebebasan bersuara dan berekspresi. Maka, tindakan merampas sepanduk adalah amat keterlaluan dan tidak patut berlaku. Ini adalah satu projek berskala besar yang akan mengubah rupa bentuk dan aksesibiliti kawasan-kawasan yang terlibat. Kerajaan sepatutnya berusaha untuk berjumpa dengan rakyat selepas mereka hantar memorandum bantahan sebelum ini. 

Mengimbas kembali apa yang telah berlaku setakat ini, pada 30 Julai 2023, Menteri Besar Selangor telah mengumumkan pembatalan pembinaan lebuh raya PJD Link. Namun demikian, dua hari selepas pengumuman pembatalan, Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa projek tersebut mungkin dihidupkan semula sekiranya pemaju memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri itu. Pada 22 Februari 2024, keluarnya laporan daripada Scoop, yang telah melaporkan kenyataan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Kerajaan Negeri Selangor, Izham Hashim, bahawa PJD Link tidak dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan untuk penilaian semula. Pada 24 Februari 2024, Menteri Besar Selangor mengatakan bahawa pihak pengurusan PJD Link harus berunding dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya hendak membina lebuh raya dengan laluan baharu.

Ini adalah satu situasi yang sangat mengelirukan. Kerajaan Negeri Selangor harus menyatakan pendirian dan bersikap telus dalam isu lebuh raya PJD Link. Adakah Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan yang terlibat menyokong atau tidak menyokong pembinaan lebuh raya ini? 

Kerajaan Negeri juga harus memberi penjelasan tentang kenapa ia sangat susah untuk Kerajaan Negeri membatalkan terus projek lebuh raya ini yang tidak dipersetujui dan dibantah oleh penduduk-penduduk di sekitar kawasan cadangan pembinaan lebuh raya tersebut. Menteri Besar sendiri memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah menerima Laporan Penilaian Impak Sosial yang menyatakan penduduk, kecuali yang tinggal di Taman Medan dan Kinrara, tidak setuju dengan pembinaan lebuh raya baharu ini. Mengapa kerajaan masih perlu memberi cadangan dan tunggu untuk penilaian semula itu berlaku?

PSM bersolidariti bersama inisiatif-inisiatif kumpulan penduduk dalam menentang pembinaan PJD Link. Pembinaan lebuh raya adalah satu kontradiksi yang besar dalam usaha sesebuah negara dalam membentuk satu ekonomi dan negara yang memberi kepentingan kepada isu alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *