KUALA LUMPUR – 27 FEBRUARI 2024: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendesak kerajaan untuk melaksanakan reformasi 100%. Desakan ini disuarakan dalam aksi protes yang diadakan di hadapan Bangunan Parlimen pada hari ini.
Kira-kira 100 orang menyertai aksi perarakan dari Plaza Tugu Negara ke Bangunan Parlimen dengan melaungkan slogan-slogan yang menolak korupsi dan menuntut reformasi 100%. Aksi protes yang dianjurkan oleh BERSIH ini merupakan luahan kekecewaan dan kemarahan masyarakat sivil terhadap perkembangan sejak kebelakangan ini yang menyaksikan ahli-ahli politik yang terlibat korupsi terlepas daripada pendakwaan seperti kes DNAA Ahmad Zahid Hamidi dan pengurangan hukuman terhadap Najib Razak yang telah dipenjarakan kerana disabit kesalahan rasuah.
3 agenda utama yang dibawa dalam aksi protes BERSIH pada hari ini adalah:
- Melaksanakan agenda reformasi 100% seperti yang dibawa dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH), khususnya berkaitan sistem pilihan raya dan institusi negara yang utama.
- Menolak tindakan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap ahli-ahli politik yang terlibat dalam korupsi dan salah guna kuasa, seperti yang ditunjukkan dalam kes berkaitan Ahmad Zahid Hamidi.
- Menolak undang-undang dua darjat seperti yang ditunjukkan dalam isu pengampunan Najib Razak yang dikurangkan tempoh pemenjaraannya;
BERSIH mendesak kerajaan untuk menyediakan garis masa dan pelan perancangan pelaksanaan agenda reformasi berasaskan urutan keutamaan demi kebaikan rakyat. Antara tuntutan segera yang harus dilaksanakan adalah menambah baik kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya SPR dengan melibatkan Jawatankuasa Parlimen supaya semua pihak boleh membahaskannya secara demokratik dan inklusif, mereformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan mereformasi Parlimen. Semua ini terdapat dalam janji manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
Berkaitan isu DNAA terhadap ahli-ahli politik yang sedang dibicarakan kerana kes raduah dan salah guna kuasa, BERSIH menegaskan bahawa kerajaan perlu mempertahankan dan mengangkat kedaulatan undang-undang serta jangan sesekali mencampuri proses perbicaraan mahkamah dengan menggugurkan kes. Dalam masa sama, Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu meletakkan dasar moratorium untuk pemberian DNAA ke atas kes-kes rasuah terutamanya melibatkan ahli-ahli politik.
Untuk mencapai 3 agenda utama yang dibawa oleh BERSIH ini, BERSIH mengemukakan 10 tuntutan reformasi pilihan raya dan reformasi institusi yang perlu dilaksanakan:
- Reformasi lantikan Ahli-Ahli dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pembentukan Jawatankuasa Tetap Parlimen Hal Ehwal Pilihan Raya (Standing Committee) untuk menyemak proses dan memberi maklum balas kepada Perdana Menteri dalam proses lantikan Ahli SPR;
- Reformasi menyahklasifikasi Laporan Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya;
- Reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA);
- Reformasi Pendanaan Politik;
- Reformasi Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya;
- Pemisahan Bidang Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya;
- Moratorium kepada pemberian DNAA oleh Peguam Negara dalam kes rasuah;
- Memperkasa institusi Parlimen Malaysia melalui Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dan Meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat;
- Menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) demi kelangsungan kestabilan politik;
- Penggubalan Akta Peruntukan Kawasan.
“Ini adalah aksi pertama Bersih untuk mengingatkan Kerajaan Madani, dan juga Ahli-Ahli Parlimen yang berkempen atas manifesto untuk mereformasikan negara, bahawa rakyat tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak supaya agenda reformasi pilihan raya dan reformasi institusi dilaksanakan,” kata Muhammad Faisal Abdul Aziz, Pengerusi BERSIH. “BERSIH menegaskan bahawa Parlimen adalah institusi keramat yang menjadi nadi kepada usaha reformasi khususnya dalam membawa agenda tatakelola yang baik dalam negara.”
BERSIH menggesa agar tuntutan yang dibawanya ini dipandang serius oleh Kerajaan Madani dan Ahli-Ahli Parlimen terutamanya backbencher untuk terus mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara.
“Kita perlu mencipta dan mencari ruang terbaik kepada pelaksanaan agenda Reformasi 100 Peratus ini yang perlu melibatkan semua pihak, demi mengukuhkan institusi awam dan demokrasi berparlimen dalam fasa transisi demokrasi negara,” begitu katanya kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH pada hari ini.