(foto: Aleksandr Slobodianyk / Pexels)

oleh Sivarajan Arumugam

Dengan pengumuman baru-baru ini oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bahawa tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan akan dinaikkan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024, adakah semua isi rumah B40 akan dilindungi oleh subsidi-subsidi kerajaan negeri masing-masing atau ada yang akan terus diabaikan?

Parti Sosialis Malaysia (PSM) risau bahawa pihak berkuasa tidak memberikan jaminan bahawa semua isi rumah miskin tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif air. Di Selangor, kerajaan negeri memberikan air percuma kepada isi rumah miskin di bawah inisiatif Skim Air Darul Ehsan (SADE). Namun yang mengejutkan, hanya 44% daripada mereka yang layak sebenarnya menikmati faedah ini. Pada tahun 2019, satu kajian oleh Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan bahawa walaupun sebanyak 650,000 buah isi rumah layak untuk mendapatkan air percuma, hanya 287,181 buah isi rumah mendapat manfaat daripada SADE? Kenapa ini boleh berlaku? Bukankah semua yang layak patut menerima air percuma secara automatik?

Baru-baru ini, sebagai respon kepada kenaikan tarif air, Menteri Besar Selangor mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan menyerap dan menanggung kos kenaikan tarif untuk 285,673 buah isi rumah di bawah program SADE. Adakah ini bermakna bahawa lebih 300,000 buah isi rumah miskin akan tercicir daripada skim ini dan mungkin akan menyaksikan kenaikan bayaran dalam bil air mereka mulai 1 Februari 2024?

Walaupun air percuma untuk isi rumah miskin dimulakan oleh pentadbiran Pakatan yang pertama di Selangor pada tahun 2008, selepas 16 tahun, masih adanya isi-isi rumah B40 di rumah pangsa kos rendah tidak dapat menikmati faedah ini kerana proses penukaran daripada meter pukal ke meter individu yang lambat. Kebanyakan rumah pangsa kos rendah bergelut dalam menguruskan kemudahan mereka kerana kadar pengutipan yuran penyelenggaraan dan bil utiliti yang rendah, maka mereka gagal memohon penukaran meter air. Isi-isi rumah sebegini tidak dapat menikmati program air percuma, malah mungkin menyaksikan peningkatan dalam bil air mereka sekiranya kerajaan tidak memastikan pelaksanaannya secara berkesan.

Oleh itu, PSM menggesa SPAN dan kerajaan-kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengambil langkah-langkah tambahan dalam memastikan semua isi rumah miskin adalah dilindungi daripada kenaikan tarif air. Dengan kenaikan gaji yang tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup, adalah penting untuk kerajaan tidak menghakis kebajikan dan jaring keselamatan, supaya rakyat tidak terjerumus lebih lanjut lagi ke dalam kemiskinan.

==========

 Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *