Sejak tahun 2020, 5 orang yang terkaya di dunia (semuanya lelaki) telah melipatgandakan kekayaan mereka, tetapi pada masa yang sama, hampir 5 bilion orang atau 60% penduduk dunia yang termiskin di dunia menjadi semakin miskin. Kelaparan dan kesusahan hidup merupakan realiti harian bagi banyak orang di seluruh dunia. Kenyataan mengenai realiti dunia di bawah sistem kapitalis yang tidak mengejutkan lagi ini, telah disahkan dalam laporan terbaru yang diterbitkan oleh Oxfam pada ketika golongan mahakaya dan pemimpin-pemimpin politik yang mewakili kepentingan mereka bersidang dalam Forum Ekonomi Sedunia pada 15-19 Januari 2024 di Davos, Switzerland.

Menurut laporan Oxfam yang bertajuk “Ketidaksamarataan Inc.: Bagaimana kuasa korporat membahagikan dunia kita dan keperluan untuk satu era baharu bagi tindakan awam” (Inequality Inc.: How corporate power divides our world and the need for a new era of public action), jurang antara golongan kaya dan golongan miskin yang semakin melebar masih akan meningkat lagi, dan membawa kepada penobatan “trilionair” (orang yang memiliki kekayaan melebihi USD 1 trilion) yang pertama di dunia dalam tempoh masa satu dekad, tetapi pada masa yang sama, sekiranya trend semasa masih berterusan, kemiskinan dunia tidak akan dapat dihapuskan lagi dalam tempoh 229 tahun. Dalam erti kata lain, selagi dunia kita masih berada dalam sistem ekonomi kapitalis sekarang, kemiskinan dunia tidak akan dapat dibasmi sepenuhnya sehingga seseorang itu hidup dan mati selama sekurang-kurangnya 3 kali.

(grafik: Oxfam)

Beberapa fakta penting yang dipaparkan dalam laporan Oxfam terbaru, antaranya:

  • Kekayaan 5 orang yang terkaya di dunia (iaitu Elon Musk, Bernard Arnault, Jeff Bezos, Larry Ellison dan Mark Zuckerberg) telah meningkat sebanyak USD 464 bilion (dari USD 405 bilion ke USD 869 bilion) atau 114% sejak tahun 2020, iaitu pada kadar peningkatan kekayaan USD 14 juta setiap jam.
  • Dalam tempoh masa yang sama, jumlah kekayaan 4.77 bilion orang yang termiskin di dunia (bersamaan 60% penduduk dunia) telah merosot sebanyak 0.2% dalam kiraan sebenar.
  • Oxfam meramalkan trilionair yang pertama di dunia akan muncul dalam tempoh satu dekad lagi sementara ia mengambil masa lebih 2 abad lagi untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya.
  • 7 daripada 10 buah syarikat korporat terbesar di dunia diuruskan atau dipegang saham utamanya oleh seorang bilionair.
  • 10 buah syarikat korporat terbesar di dunia memiliki kekayaan sebanyak USD 10.2 trilion, lebih besar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tergabung bagi semua negara di benua Afrika dan Amerika Latin.
  • 148 buah syarikat korporat terbesar di dunia memperoleh keuntungan sebanyak USD 1.8 trilion, meningkat sebanyak 52% berbanding tempoh tahun 2018-2021, dengan keuntungan durian runtuh mereka melonjak hampir USD 700 bilion, dan memberikan pembayaran yang lumayan kepada pemegang-pemegang saham yang kaya raya sementara ratusan juta orang pekerja menghadapi pemotongan gaji.
  • Bagi keuntungan setiap 100 dolar yang diperolehi 96 buah syarikat korporat utama antara bulan Julai 2022 dan Jun 2023, 82 dolar dibayar kepada pemegang-pemegang saham yang kaya.
  • Golongan bilionair di dunia telah menambahkan kekayaan mereka sebanyak USD 3.3 bilion berbanding tahun 2020, dan kekayaan mereka meningkat sebanyak 3 kali ganda lebih cepat berbanding kadar inflasi.
  • Walaupun hanya mewakili 21% penduduk dunia, negara-negara kaya di Utara Global memiliki 69% kekayaan dunia dan menempatkan 74% kekayaan bilionair sedunia.
  • Pemilikan saham memberi banyak manfaat kepada golongan terkaya. 1% yang teratas memiliki 43% daripada semua aset kewangan global. Mereka menguasai 48% kekayaan kewangan di Timur Tengah, 50% di Asia dan 47% di Eropah.
  • Rakyat di seluruh dunia sedang bekerja dengan lebih keras lagi dan jam kerja yang lebih panjang, selalunya hanya untuk mendapatkan gaji kemiskinan dalam kerja-kerja yang tidak menentu dan tidak selamat. Gaji bagi hampir 800 juta orang pekerja di dunia tidak dapat mengejar inflasi dan mereka telah kehilangan sebanyak USD 1.5 trilion dalam tempoh 2 tahun yang lalu, bersamaan dengan kehilangan gaji hampir sebulan (25 hari) bagi setiap orang pekerja.
  • Ia akan mengambil masa selama 1,200 tahun bagi seorang wanita yang bekerja dalam sektor kesihatan dan sosial untuk memperoleh pendapatan yang sama dengan apa yang diperoleh dalam tempoh setahun secara puratanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat korporat terbesar Fortune 100.
(grafik: Oxfam)
(grafik: Oxfam)

“Kita sedang menyaksikan permulaan sebuah dekad perpecahan, dengan berbilion-bilion orang menanggung gelombang kejutan ekonomi akibat pandemik, inflasi dan peperangan, sementara kekayaan golongan bilionair berkembang pesat. Ketidaksamarataan ini bukannya kebetulan; kelas bilionair sedang memastikan syarikat-syarikat korporat memberikan lebih banyak kekayaan kepada mereka dengan mengorbankan orang lain,” begitu katanya Amibath Behar, Pengarah Eksekutif sementara Oxfam International. “Kuasa korporat dan monopoli yang tidak terkawal ialah mesin penjanaan ketidaksamarataan: melalui pemerahan terhadap pekerja-pekerja, pengelakan cukai, penswastaan negara dan pendorongan kerosakan iklim, syarikat-syarikat korporat sedang menyalurkan kekayaan yang tidak kehabis-habisan kepada pemilik-pemilik mereka yang sangat kaya. Tiada syarikat korporat atau individu patut mempunyai kuasa yang begitu besar terhadap ekonomi kita dan kehidupan kita — adalah harus jelas bahawa, tiada sesiapa sepatutnya mempunyai bilion dolar.”

“Monopoli merosakkan inovasi dan menghancurkan pekerja-pekerja serta perniagaan-perniagaan yang lebih kecil. Dunia masih belum melupakan bagaimana monopoli farmaseutikal menafikan vaksin COVID-19 bagi jutaan orang, mewujudkan apartheid vaksin yang rasis, sementara mencipta kelab bilionair yang baharu,” ulas Amibath Behar lebih lanjut.

(grafik: Oxfam)

Laporan Oxfam juga menunjukkan bagaimana syarikat-syarikat korporat telah mengurangkan kadar cukai korporat kira-kira satu pertiga dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, sementara syarikat-syarikat korporat terus menswastakan sektor awam dan mengasingkan perkhidmatan-perkhidmatan seperti pendidikan dan air untuk mengaut keuntungan.

“Kita ada bukti. Kita tahu sejarahnya. Kuasa awam boleh mengekang kuasa korporat yang tidak terkawal dan ketidaksamarataan — membentuk pasaran supaya menjadi lebih adil dan bebas daripada kawalan bilionair. Kerajaan harus mencampur tangan untuk memecahkan monopoli, memperkasakan pekerja-pekerja, mencukai keuntungan korporat yang besar ini, dan yang penting, melabur dalam era baharu untuk barangan dan perkhidmatan awam,” kata Amibath Behar. “Setiap syarikat korporat mempunyai tanggungjawab untuk bertindak tetapi sangat sedikit berbuat demikian. Kerajaan harus meningkatkan usaha. Terdapat tindakan yang boleh dipelajari oleh pembuat undang-undang, daripada kes penting penguatkuasa undang-undang kerajaan yang anti-monopoli di Amerika Syarikat (AS) menyaman Amazon, ke Suruhanjaya Eropah mengkehendaki Google untuk memecahkan perniagaan pengiklanan dalam taliannya, dan perjuangan bersejarah Afrika untuk membentuk semula peraturan cukai antarabangsa.”

Oxfam menyeru pada kerajaan-kerajaan di dunia untuk mengurangkan jurang antara golongan mahakaya dan seluruh masyarakat secara cepat dan radikal dengan cara-cara berikut:

  • Menghidupkan semula fungsi negara. Sebuah negara yang dinamik dan efektif merupakan benteng yang terbaik untuk menentang kuasa korporat yang melampau. Kerajaan harus memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang sejagat, di samping meneroka pilihan untuk penyampaian awam dalam sektor-sektor seperti tenaga dan pengangkutan.
  • Mengekang kuasa korporat, termasuk memecahkan monopoli dan mendemokrasikan peraturan-peraturan paten. Ini juga bermakna menggubal undang-undang untuk gaji sara hidup, mengehadkan gaji CEO, dan mengenakan cukai baharu ke atas golongan maha kaya serta syarikat-syarikat korporat, termasuk cukai kekayaan kekal dan cukai keuntungan berlebihan. Oxfam menganggarkan bahawa cukai kekayaan terhadap golongan jutaan dan bilionair di dunia boleh menjana sebanyak USD 1.8 trilion setahun.
  • Mencipta semula perniagaan. Perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan tidak perlu dibelenggu oleh ketamakan pemegang saham. Perniagaan yang dimiliki secara demokratik adalah lebih baik dalam mengimbangi hasil perniagaan. Jika hanya 10% daripada perniagaan di AS dimiliki oleh pekerja, ini boleh menggandakan bahagian kekayaan yang diperoleh separuh penduduk AS yang termiskin, termasuk menggandakan kekayaan purata isi rumah golongan berkulit hitam.

Secara ringkasnya, untuk menghapuskan ketidaksamarataan yang melampau, kerajaan harus memainkan peranan untuk mengagihkan semula kuasa yang dipegang oleh golongan bilionair dan korporat pada masa kini secara radikalnya kepada rakyat biasa. Sebuah dunia yang lebih sama rata hanya berkemungkinan sekiranya kerajaan dapat mengawal selia dan membayangkan semula sektor swasta secara berkesan. Sudah tentunya sekiranya kerajaan masih gagal berbuat demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang yang berkesedaran kelas untuk mengorganisasi dan memobilisasi dari bawah demi mendesak perubahan sedemikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *