T. Ramalingam (1955-2023)

oleh S. Arutchelvan

T. Ramalingam ialah seorang pemimpin pekerja di Ladang Sungai Rinching dengan keupayaan yang luar biasa. Beliau merupakan pemimpin pekerja yang bertahan sehingga ke akhirnya dan membawa kemenangan kepada perjuangan pekerja Ladang Sungai Rinching. Kisah tentang perjuangan pekerja Ladang Sungai Rinching dapat dibaca dalam Bab 14 “Ladang Sungai Rinching: Tiada Kemenangan Tanpa Pergorbanan dan Perjuangan”, buku “Akar Umbi: Kisah Perjuangan Rakyat Menentang Ketamakan Kapitalis”. Tidak seperti banyak pekerja yang tidak lagi aktif selepas perjuangan ekonomi mereka mencapai kejayaan, penglibatan Ramalingam dalam perjuangan tidak berhenti di situ.

Ramalingam merupakan salah seorang daripada tiga orang aktivis pekerja yang terpilih untuk menyertai Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) kerana kepimpinannya yang unggul, dedikasinya dan komitmennya terhadap perjuangan yang melangkaui ladangnya, melangkaui komunitinya, melangkaui kumpulan etniknya dan ia berterusan. Dua orang lagi pekerja akar umbi yang menyertai kumpulan aktivis yang berdedikasi ini ialah Koyilvani daripada perjuangan pekerja kilang Guppy dan Ganesan daripada perjuangan pekerja Ladang Braemar.

Ramalingam bagaikan permata. Beliau sangat rajin, dan bekerja tanpa mengira kepenatan. Beliau melibatkan seluruh keluarganya dalam perjuangan dan menjadi teladan atau lebih tepat sekali piawaian emas untuk dicontohi aktivis lain. Beliau menjalani kehidupan yang sederhana, namun menyumbangkan begitu banyak kepada perjuangan kelas pekerja.

Ramalingam ialah pemimpin nasional untuk Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang telah menerajui banyak kempen yang berjaya, termasuk kempen gaji bulanan bagi pekerja ladang dan kempen perumahan untuk pekerja ladang. Ramalingam biasanya merupakan jurucakap untuk perjuangan pekerja ladang. Beliau juga memainkan peranan penting dalam menganjurkan pertandingan bola sepak Piala Veerasenan dan merupakan orang penting serta pendorong dalam banyak perjuangan pekerja ladang yang lain.

Pada tahun 1994, pekerja-pekerja ladang dan peneroka-peneroka bandar mengadakan satu aksi protes besar-besaran semasa Hari Pekerja. Dalam pilihan raya umum pada tahun 1995, kedua-dua komuniti akar umbi ini mengemukakan tuntutan-tuntutan pilihan raya dan mendirikan papan tanda di dalam ladang serta kampung masing-masing. Setiap ahli politik yang datang diberitahu untuk menandatangani satu aku janji jika mereka hendak mendapatkan sokongan undi. Ini merupakan pendidikan pengundi yang penting dan penampilan kuasa akar umbi. Namun, banyak ahli politik dan calon pilihan raya enggan menandatangani aku janji, mengelak diri dari kawasan-kawasan ini dan banyak antara mereka tidak mahu memberi komitmen sementara sesetengah menjauhkan diri. Semasa mesyuarat penilaian selepas pilihan raya umum pada tahun 1995, untuk membincangkan hasil kempen tuntutan masyarakat akar umbi, orang inilah, Ramalingam, berdiri dan berkata bahawa kita perlukan parti politik kita sendiri. Beliau berhujah bahawa kita tidak boleh bergantung pada parti-parti politik yang sedia ada untuk memperjuangkan hak pekerja. Pandangannya telah diterima oleh kebanyakan orang dalam mesyuarat itu. PSM boleh muncul sebagai sebuah parti politik pada hari ini, Ramalingam mempunyai banyak kaitan dengannya. (Muka surat 102 hingga 206, buku “Mengapa 10 tahun untuk daftar PSM?”)

Ramalingam kemudiannya menyertai dan membina PSM Cawangan Semenyih. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi Cawangan. Beliau juga merupakan pencadang dan penyokong pencalonan apabila saya bertanding sebagai calon pilihan raya di kawasan DUN Semenyih semasa PRU-13 dan PRU-14. Beliau merupakan seorang penggerak kempen yang tidak mengenal kepenatan, dengan bekerja dalam hujan dan panas terik untuk memasang bendera parti. Sebagai seorang ahli teras PSM, beliau juga pernah ditangkap beberapa kali bersama-sama kami.

Beliau tidak sihat sejak beberapa ketika tetapi perkara itu tidak pernah menghalangnya daripada pergi bekerja di kebunnya setiap hari untuk melakukan kerja seperti menoreh getah dan bercucuk tanam. Pada hari terakhirnya, beliau telah melakukan rutin harian yang sama, dan pada waktu malam, sebelum tidur, beliau jatuh dan meninggal dunia. “Meninggal dengan aman dan tidak mahu menyusahkan sesiapa,” begitu kata keluarganya yang masih sedih kerana pemergiannya. Isterinya, Susila, juga seorang yang unggul bersama dengannya dalam perjuangan ini. Susila sudah pasti akan merindui Ramalingam kerana hubungan mereka yang sangat erat itu. Sebenarnya, semua anaknya, Loga,  Kumarvel, Subramani dan Yamuna juga banyak terlibat dalam perjuangan kita.

Bercakap dengan anaknya semasa jenazahnya masih di Hospital Damai, Semenyih, anaknya memberitahu saya tentang bagaimana dia bertengkar dengan bapanya baru-baru ini mengenai kenapa bapanya tidak mahu mengambil wang yang diberi oleh pemaju untuk membelakangkan perjuangan di ladang mereka. Anaknya berkata, “Tengok sekarang kita masih tidak kaya, sementara orang lain yang mengambil wang itu gembira sahaja.” Ramalingam memberitahu anaknya, “Dalam kehidupan kita, prinsip adalah penting. Orang akan mengingati saya kerana prinsip saya. Awak lihat sahaja.”

Ya, kita sudah lihat. Saya dan rakan-rakan seperjuangan saya dalam CDC, JSML serta PSM tidak akan dapat membalas jasanya, kesetiaannya dan pengorbanannya kepada perjuangan dan parti. Bayangan beliau memasang bendera dalam hujan terus berputar dalam minda saya. Beliau akan sentiasa diingati. Bagi saya, Ramalingam ialah seorang pemimpin pekerja kelas A.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *