oleh Gandipan Nantha Gopalan

PTPTN kembali menjadi satu isu untuk dimainkan oleh PMX. Kalau rakyat hendak menilai betapa tidak konsisten PMX dalam mengotakan janji untuk melaksanakan polisi pro-rakyat, maka bolehlah bermula daripada polisi PTPTN. Daripada mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menangguhkan skim potongan gaji oleh PTPTN pada 2018 kepada mengalu-alukan cadangan  Jawatankuasa Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) untuk mengikuti Income Contingent Loan baru-baru ini, beginilah perjalanan dan permainan PMX dalam isu PTPTN.

Pada 4 Ogos 2023, Menteri Ekonomi sendiri bimbang dengan gaji permulaan untuk lepasan ijazah sekitar gaji minimum, RM1500. Dengan paras gaji graduan yang amat rendah bersama dengan faktor-faktor seperti kenaikan harga barang, kadar sewa rumah yang tinggi dan sistem pengangkutan awam yang masih lemah sehingga menyebabkan anak muda terpaksa menggunakan kenderaan/motosikal sendiri, adakah ia wajar untuk melaksanakan mekanisme bayaran Income Contingent Loan? Adakah skim ini sama seperti yang dibawa oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belajawan 2019 di mana kerajaan pada masa itu hendak melaksanakan potongan gaji antara 2 hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam PTPTN yang memperoleh lebih daripada RM1,000 sebulan?

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil posisi bahawa pendidikan percuma harus bermula dari pendidikan awal sehingga pendidikan tertiari, termasuk menghapuskan PTPTN. Pendidikan bukan satu komoditi dan tidak harus “diniagakan”. Pelupusan hutang PTPTN akan membantu ramai daripada golongan B40 dan juga M40 dengan menambahkan pendapatan boleh guna. Secara keseluruhan, apabila pendapatan yang boleh digunakan meningkat, isi rumah dan anak muda akan mempunyai lebih banyak wang untuk disimpan atau dibelanjakan dalam ekonomi lokal dan keperluan asas yang lain.

Pada masa yang sama, PSM juga mengambil maklum tentang jumlah pinjaman institusi kewangan dan pinjaman sukuk berjaminan yang ditanggung oleh PTPTN adalah satu angka yang sangat tinggi untuk kerajaan melupuskannya sekali gus.

PSM ingin mencadangkan bahawa:

1. Satu komitmen dan pelan tindakan jangka masa pendek dan sederhana harus dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan pendidikan percuma di semua peringkat untuk rakyat Malaysia.

2. Sebagai langkah permulaan, kerajaan harus membiayai hutang PTPTN bagi golongan berikut:

  • Golongan B40;
  • Graduan generasi pertama yang belum ada ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi
  • Golongan yang mengambil hutang untuk kursus bidang yang mempunyai kurang pasaran untuk kerja di Malaysia.

3. Kerajaan harus bermula untuk membiayai yuran pendidikan golongan B40 sepenuhnya di semua IPTA.

4. Kerajaan harus mengambil alih IPTS yang dimiliki oleh GLC dan menjadikannya sebagai IPTA. Kerajaan harus menyatakan berapa banyak universiti awam dan kampus baharu yang akan dibina oleh mereka selaras dengan peningkatan populasi.

5. Satu institusi pendidikan yang bergantung kepada pinjaman daripada pasaran untuk memberi pinjaman kepada anak muda negara kita adalah tidak mampan. Berapa banyak pinjaman lagi yang PTPTN hendak ambil untuk menampung kos operasi dan memberi pinjaman? Hanya “bailout” dan pelupusan sepenuhnya merupakan solusi untuk PTPTN. Ia boleh dijadikan sebagai pelan tindakan jangka masa sederhana.

6. Menjalankan audit dan menilai semula kualiti, program dan kredibiliti IPTS yang
sedia ada setiap tahun sehingga pendidikan percuma dilaksanakan.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Penyelaras PSM Cawangan Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *