KUALA LUMPUR – 9 OKTOBER 2023: Parti Sosialis Malaysia(PSM) menggesa kerajaan India untuk membebaskan dua orang pengamal media progresif di India dan menghentikan serangan terhadap kebebasan media di negara itu. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia pada hari ini.

Mereka yang hadir berprotes di hadapan Suruhanjaya Tinggi India pada hari ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM).

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Suruhanjaya Tinggi India, PSM menyatakan kebimbangannya terhadap serangan pihak berkuasa India ke atas organisasi-organisasi media dan wartawan-wartan di negara itu baru-baru ini, dengan media progresif NewsClick telah dijadikan sasaran utama.

Pihak berkuasa India telah menyerbu rumah puluhan orang pada 3 Oktober 2023, dan menyoal siasat sebilangan orang, termasuk wartawan dan pengulas. Dua orang pengamal media, Prabir Purkayastha yang merupakan Ketua Pengarang NewsClick dan Amit Chakravarty yang merupakan pentadbir Newsclick, telah ditahan di bawah Akta Aktiviti-aktiviti Haram (Pencegahan) (UAPA), sebuah undang-undang anti-keganasan yang sering digunakan untuk menyekat kebebasan demokratik di India.  

“Kami terkejut bahawa kerajaan India telah memutuskan untuk menangkap Prabir dan Amit di bawah UAPA,” kata Dr. Jeyakumar yang bersolidariti dengan dua orang pengamal media yang ditahan itu. “Kami pernah bertemu dengan kedua-dua orang individu ini dalam mesyuarat dan persidangan. Mereka tidak pernah mendukung idea keganasan dan lebih-lebih lagi sebarang tindakan keganasan. Kedua-dua orang Prabir dan Amit berkomitmen kepada demokrasi dan keadilan sosial, melalui kewartawanan bebas. Kerja mereka dalam Newsclick adalah mengetengahkan suara rakyat biasa dan bercakap kebenaran kepada kekuasaan. Kami tidak melihat adanya apa-apa sebab untuk kerajaan India menahan mereka di bawah UAPA, kecuali untuk mengintimidasi dan menyekat suara progressif di dalam negara itu.”

“Pandangan orang seperti Prabir dan Amit menambah nilai kepada perdebatan politik dalam masyarakat,” ulas Dr. Jeyakumar. “Orang seperti mereka ini patut dipanggil untuk berdebat, bukannya ditangkap. Pandangan mereka patut dibalas dengan hujahan yang rasional sekiranya kerajaan atau mana-mana pihak tidak bersetuju dengan mereka. Menggunakan intimidasi dan penangkapan sewenang-wenangnya bukanlah sesuatu yang patut berlaku di India yang begitu bangga menggelarkan dirinya sebagai ‘demokrasi terbesar di dunia’.”

PSM menyeru kepada kerajaan India untuk:

  • Membebaskan Prabir Purkayastha dan Amit Chakravarty dengan segera dan tanpa syarat;
  • Menghentikan penganiayaan terhadap media progresif seperti Newsclick;
  • Menghentikan serangan terhadap kebebasan akhbar di India.

Sekali lagi, perwakilan sebuah kerajaan yang bangga menggelarkan dirinya sebagai “demokrasi terbesar di dunia” enggan menghantar seorang wakil manusia pun untuk keluar menerima memorandum bagi pihak Suruhanjaya Tinggi India, sebaliknya hanya menyediakan sebuah peti untuk dimasukkan memorandum yang dihantar.

“Mungkin kerajaan India hanya mahu diwakili oleh peti ini,” kata Soh Sook Hwa yang turut hadir semasa penyerahan memorandum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *