KUALA LUMPUR – 18 SEPTEMBER 2023: Sekretariat #DakwaZahid yang terdiri daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyerahkan memorandum di Parlimen pada hari ini mengenai kes Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Jabatan Peguam Negara.

Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, telah diberi DNAA daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram pada 4 September 2023 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan di bawah Jabatan Peguam Negara membuat permohonan untuk DNAA. Permohonan DNAA tersebut dibuat selepas hakim Mahkamah Tinggi telah mendapati terdapat kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dan memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, 8 pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan penggubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. Sebelum permohonan DNAA dibuat pun, 99 orang saksi pendakwaan telah memberi kenyataan dalam mahkamah, dan 15 orang saksi pembelaan pun telah dipanggil.

Perkara-perkara yang berkisar pada kes Ahmad Zahid Hamidi yang diberi DNAA ini telah menimbulkan keraguan dalam kalangan orang awam berkaitan ketelusan pengendalian kes ini yang perlu dijawab oleh pihak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara.

Sekretariat #DakwaZahid menggesa supaya semua persoalan berkaitan kes Ahmad Zahid Hamidi yang diberi DNAA ini dijawab oleh pihak Jabatan Peguam Negara di dalam Parlimen, agar ia juga boleh dibahaskan, dan bukannya sekadar memberi jawapan ringkas secara bertulis sahaja. Akan tetapi Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri telah mendahului Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh dibahaskan di dalam Parlimen. Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah menolak usul pembangkang yang dibawa oleh Ahli Parlimen Machang untuk membahaskan isu ini tanpa memberi sebarang alasan.

Sekretariat #DakwaZahid berpandangan bahawa pengumuman yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk memanggil Peguam Negara bagi  menjelaskan isu ini adalah dianggap baik, namun ia masih tidak mencukupi, kerana ia akan memakan masa yang lama, selain jawapan-jawapan yang diberikan tidak boleh didengari terus oleh orang awam kerana ia berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Johari Abdul selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Ahli-ahli Parlimen, Sekretariat #DakwaZahid menggesa supaya:

  • Membenarkan isu DNAA ke atas Ahmad Zahid Hamidi itu dibentangkan dan dibahaskan di dalam Parlimen seberapa segera yang mungkin. Pihak Peguam Negara harus memberi penjelasan penuh di Parlimen terhadap keputusannya yang menghentikan prosiding ke atas Ahmad Zahid Hamidi.
  • Satu pelan dan garis masa jelas harus diberikan dan dibentangkan untuk memastikan pemisahan kuasa antara Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meminimumkan sebarang percanggahan kepentingan pada masa hadapan.  Pendakwa Raya perlu diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.
  • Ahmad Zahid Hamidi harus didakwa semula oleh pihak Pendakwa Raya dan kes ini perlu dijalankan sampai satu penjelasan konkrit daripada pihak mahkamah dicapai.

Sekretariat #DakwaZahid juga mendesak supaya Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga kes yang melibatkannya ini selesai supaya sebarang percanggahan kepentingan dapat dielakkan.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum di Parlimen pada hari ini ialah Amir Abdul Hadi selaku Setiausaha Agung MUDA, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Arveent Kathirtchelvan selaku Ketua Pemuda Sosialis PSM dan aktivis-aktivis daripada PSM serta MUDA. Memorandum daripada Sekretariat #DakwaZahid telah diterima sendiri oleh Ahli-ahli Parlimen dari Muar, Machang dan Pasir Mas, sementera wakil-wakil Ahli Parlimen dari Hang Tuah Jaya, Sungai Petani dan Bentong turut hadir menerima memorandum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *