oleh Arveent Kathirtchelvan

Menjelang Hari Malaysia Ke-60, negara kita berada dalam satu keadaan yang tidak tentu akan arah tujunya. Kerajaan MADANI yang semakin memeluk politik sayap kanan untuk berlumba-lumba merampas undi yang kini jatuh kepada pembangkang Perikatan Nasional seakan-akan melupakan semangat Reformasi yang memecutkannya ke puncak kepimpinan.

Hanya dalam dua minggu lepas, kita semua dihidangi dengan permohonan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) untuk kes Zahid Hamidi serta sekatan polis terhadap aktivis PSM dan para petani yang hanya hendak berjalan ke hadapan parlimen untuk menyerahkan memorandum tentang isu keterjaminan makanan. Tidak dilupai juga, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih digunakan walaupun pindaan atau pemansuhan akta-akta sebegini memang dijanji sekian lama.

Di sebelah pembangkang pula, acap kali kedengaran retorik-retorik merendahkan status rakyat bukan Melayu dan mengetengahkan satu pandangan politik yang hanya mengapi-apikan sentiment perkauman antara rakyat Malaysia. Kita hanya perlu baca bebenang Twitter Mahathir untuk melihat semua ini dipaparkan secara jelas.

Keadaan pembangkang sebegini dipergunakan oleh kerajaan MADANI menyucikan diri daripada melaksanakan reformasi yang dinanti-nantikan serta bergelumang dengan isu-isu menindaskan hak rakyat marhaen. Sebagai contoh, di Selangor, pengusiran paksa masih berlaku seperti di Kampung Sri Makmur. Di Perak, petani-petani kecil di kawasan Parlimen Tambun, yang diwakili Perdana Menteri sendiri, masih sedang diusir. Di Melaka, seorang Exco Kerajaan MADANI ingin Putrajaya menjual beras tempatan kepada rakyat tempatan sahaja, walaupun ramai pekerja migran tidak mampu membeli beras import.

Aktivis-aktivis yang mengangkat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan terus keluar daripada terlibat dalam memperjuangkan Reformasi atas kepercayaan bahawa kerja mereka selesai kini dibuktikan salah. Tokoh pengasas Reformasi sendiri kini dilihat lebih mementingkan posisi politik dirinya daripada perjuangan lampau.

Kini, rakyat biasa Malaysia kelihatan tiada pilihan lain. Kerajaan MADANI telah dikompromi, pembangkang Perikatan Nasional menanam benih kebencian.  Melangkaui politik kepartian, kita hanya ada kita. Tiba masanya kita melibatkan diri dalam menuntut reformasi yang kian pudar menjadi impian lampau yang kini tidak dibincangkan secara serius. Rakan-rakan NGO dan NGI progresif yang kini menyampah dengan kerajaan sendiri, marilah lupakan birokrasi sendiri dan kembali aktif ke jalan raya. Tiada maknanya kerap marah tetapi tidak menjadi sebahagian daripada solusi.

Hari Malaysia ini, kita semua terpaksa mengetepikan perasaan bangga pada negara kita sendiri dan melihat kepada kerapuhan asasnya akibat anai-anai perkauman dan politik mencari kuasa sahaja. Makna Malaysia, berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, yang kini hanya kekal sebagai perkataan semata-mata harus diberikan jiwa melalui kebangkitan rakyat.

Kami daripada Pemuda Sosialis PSM kekal dengan komitmen kami dalam membina sebuah negara yang benar-benar progresif dan mengangkat perjuangan rakyat marhaen. Dengan itu, kami mengalu-alukan rakyat jelata yang ingin bersama dalam perjuangan sebegini menyertai kami untuk membina sebuah gerakan yang dapat mempekukuhkan suara rakyat biasa.

Selamat Hari Malaysia dengan merealisasikan kuasa rakyat!

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *