oleh Lawan Lapar

(Ini ialah memorandum diserahkan kepada Ahli-ahli Parlimen pada 12 September 2023.)

Malaysia kini sedang berdepan dengan krisis keterjaminan makanan. Dengan perubahan iklim, perang dan konflik di serata dunia, serta rombakan rantaian bekalan makanan, ketergantungan Malaysia terhadap import dari luar negara bagi memenuhi keperluan makanan domestik merupakan titik lemah paling kritikal dan perlu dibaiki dengan segera. Tindakan yang lebih drastik perlu diambil untuk membela nasib petani, penternak, dan nelayan kecil sejajar dengan azam Kerajaan Madani.

Situasi keterjaminan makanan di Malaysia sangat membimbangkan. Kadar pengimportan makanan Malaysia telah melonjak 75 kali ganda sejak 1990 dan kini nilai import makanan bagi menampung rakyat Malaysia adalah sebanyak RM75.6 billion. Berdasarkan data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, stok beras di Malaysia hanya dapat bertahan selama 6 bulan jika Malaysia terputus daripada rantaian bekalan makanan antarabangsa.

Faktor-faktor seperti konflik antarabangsa dan krisis iklim telah menunjukkan betapa rapuh rantaian bekalan makanan antarabangsa. Malaysia telah mengalami impak tersebut apabila negara-negara jiran menyekat eksport barang makanan ruji seperti bawang merah, gandum, dan beras. Ketergantungan Malaysia kepada pengimportan makanan kini mengancam rakyat Malaysia dan akan terus mengancam kita.

Situasi sangatlah rapuh dan kerentanan ini berpunca daripada kekhilafan kerajaan-kerajaan sebelum ini yang telah mengabaikan keperluan sektor pertanian di Malaysia dan terlalu fokus kepada pertanian komoditi. Krisis makanan di Malaysia bukanlah sebuah risiko—ia merupakan sebuah realiti yang kini mengancam setiap rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat fakir.

Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah menyatakan hasrat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pertanian, mengembangkan pasaran eksport, dan memastikan keterjaminan makanan. Kerajaan juga telah mengeluarkan pelbagai cadangan dasar, termasuk Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025. Lawan Lapar menyokong tindakan yang sedemikian, namun perkara yang paling penting, iaitu kebajikan para petani, nelayan, penternak, dan penghasil makanan yang lain tidak dibela oleh kerajaan. Jika Kerajaaan Madani kini ingin mewujudkan keterjaminan makanan, meningkatkan kapasiti eksport, dan menambahbaikkan produktiviti pertanian dan penghasilan makanan di Malaysia, perkara ini haruslah bermula dari para petani, nelayan, dan penternak.

Apa yang menjadi masalah?

1. Sistem Temporary Occupation Licence (TOL) yang menghambat produktiviti nelayan dan petani disebabkan oleh prosedur dan birokrasi yang rumit, serta menyebabkan ketidakmampuan untuk merancang secara jangka masa panjang.

2. Penjualan tanah kerajaan yang digunakan oleh petani dan pekebun kecil kepada syarikat persendirian tanpa persetujuan petani dan pekebun secara tertutup.

3. Kekurangan sokongan oleh pihak kerajaan negeri dan persekutuan bagi kegiatan pertanian dan penternakan oleh petani dan pekebun kecil yang merupakan tunjang keterjaminan makanan di Malaysia.

Sektor pertanian di Malaysia mengalami produktiviti dan kadar mekanisasi yang rendah. Ini terutamanya untuk sektor pertanian bahan makanan yang masih dikuasai oleh pekebun dan petani kecil dan bukan pengusaha dan pemilik ladang yang besar seperti FGV atau Sime Darby.

Hakikatnya adalah bekalan sayur-mayur, herba, dan buah-buahan di Malaysia bergantung atas petani dan pekebun kecil yang terletak di seluruh Malaysia, dan kumpulan ini yang kini ditindas oleh kerajaan yang kononnya ingin meningkatkan produktiviti dan memastikan keterjaminaan makanan di Malaysia.

Apa yang seharusnya dilakukan?

Kami menyeru agar kepada pihak kerajaan mengambil tindakan-tindakan berikut bagi memastikan keterjaminan makanan dan kebajikan petani dan penternak kecil di Malaysia:

1. Lawan Lapar menyeru kerajaan persekutuan untuk mewujudkan tanah pertanian kekal yang diwartakan supaya sektor pertanian di Malaysia mempunyai tanah kekal untuk kegiatan pertanian sekaligus memastikan keterjaminan makanan di Malaysia. Ini haruslah diwujudkan melalui pengambil-alihan tanah kerajaan negeri oleh pihak kerajaan persekutuan.

2. Lawan Lapar juga menyeru agar kerajaan persekutuan merombak undang-undang tanah di Malaysia, terutamanya bagi memperpanjangkan tempoh waktu maksimum TOL dari 1 tahun ke 5 tahun.

3. Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu juga bekerjasama untuk melaksanakan mekanisma ketelusan berkenaan penjualan tanah kerajaan negeri supaya rakyat, terutamanya petani, penternak, dan nelayan, dapat mengetahui tentang status pemilikan tanah, terutamanya tanah yang digunakan bagi tujuan pertanian

4. Kerajaan persekutuan perlu mewujudkan sistem subsidi kepada kerajaan negeri bagi tujuan pengekalan tanah pertanian yang menghasilkan bahan makanan.

Penutup

Pada masa yang sama, cadangan Lawan Lapar adalah untuk memastikan bahawa inisiatif yang sedia ada, terutamanya dibawah RMK 12, dapat lebih meluas dengan adanya tindakan untuk menambah baik isu-isu sedia ada yang menimpa petani, nelayan, dan penternak di Malaysia.

Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sedang dibahas di Dewan Rakyat adalah peluang untuk menilai keberkesanan inisiatif-inisiatif kerajaan untuk memajukan ekonomi Malaysia. Namun demikian, tindakan yang lebih menyeluruh perlu diambil untuk merombak sistem pertanian dan penghasilan makanan di Malaysia, iaitu salah satu tonggak RMK12.

==========

Lawan Lapar ialah organisasi yang memperjuangkan keterjaminan makanan di Malaysia melalui pemerkasaan hak-hak penghasil makanan dan pengwujudan Masyarakat yang cakna tentang kepentingan keterjaminan makanan serta hak-hak penghasil makanan di seluruh Malaysia.

One thought on “Pertahankan hak nelayan dan petani demi keterjaminan makanan rakyat Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *