PUTRAJAYA – 11 SEPTEMBER 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyerahkan satu surat bantahan kepada Pejabat Peguam Negara pada hari ini untuk menyatakan bantahan terhadap keputusannya yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan rasuah yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023.

Mereka yang hadir semasa penyerahan surat bantahan kepada Pejabat Peguam Negara ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Amir Abdul Hadi selaku Setiausaha Agung MUDA, Arveent Kathirtchelvan selaku Ketua Pemuda Sosialis PSM dan ramai lagi aktivis daripada kedua-dua PSM serta MUDA.

Permohonan yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara untuk memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid Hamidi tersebut dibuat selepas representasi daripada pihak pembelaan pada bulan Disember 2022, iaitu 3 tahun selepas permulaan kes di Mahkamah Tinggi dan pihak mahkamah pun juga sudah memutuskan bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid Hamidi.   

“Kami khuatir melihat perkembangan ini atas sebab kes tersebut melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjuta-juta ringgit. Ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang ketelusan seorang individu yang berprofail tinggi dalam kerajaan, malah seorang yang kedua terpenting dalam Kabinet Malaysia,” begitu katanya surat bersama daripada PSM dan MUDA yang ditujukan kepada Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Peguam Negara yang juga merupakan Pendakwa Raya Kerajaan. “Kami juga mendapati bahawa tindakan pihak pendakwaan tidak selari dengan deretan kes ini. Dalam kes ini, prima facie telah dibuktikan wujud dan pembelaan telah dipanggil. Pada 24 Januari 2022, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), 8 pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.”

Kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi telah bermula pada 18 November 2019 dan melalui 77 hari perbicaraan. Sebanyak 99 orang saksi pendakwaan telah memberi keterangan mereka sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahmad Zahid Hamidi untuk membela diri pada 24 Januari 2022 kerana mendapati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan prima facie dalam kes ini. Apabila pihak pendakwaan memohon untuk “pelepasan tanpa pembebasan” (DNAA) terhadap Ahmad Zahid Hamidi pada 4 September 2023, kes ini telah berada di tahap pembelaan dengan saksi ke-15 daripada pihak pembelaan Ahmad Zahid memberi keterangan di mahkamah.  

Perkara yang turut menimbulkan kebimbangan PSM dan MUDA adalah, keputusan pihak Peguam Negara dibuat dengan merujuk pada surat representasi daripada pihak pembelaan yang dihantar selepas Pilihan Raya Umum ke-15, selepas perlantikan Perdana Menteri Baharu pada 24 November 2022 dan selepas senarai penuh Kabinet Malaysia diumumkan pada 2 Disember 2022. Tambahan lagi, adalah dilaporkan bahawa hanya sebulan yang lepas, iaitu pada 8 Ogos 2023, ketua pasukan pendakwaan kes ini, Datuk Raja Rozela Raja Toran, memohon untuk bersara awal sejak 3 April 2023 dan tidak lagi dapat mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes ini. Pengumuman ini amat mengejutkan. Peguam Negara selaku Pendakwa Raya sebelum ini, iaitu Tan Sri Idrus Harun pula dikhabarkan ingin memohon DNAA sebelum bersara untuk kes ini.

“Perkembangan sebegini amat mengelirukan rakyat dan menimbulkan kegusaran bahawa institusi negara yang amat penting bagi perlaksanaan demokrasi kini dipergunakan untuk tujuan politik kerajaan semasa,” ulas surat bantahan daripada PSM dan MUDA. “Disebabkan yang tertuduh adalah Timbalan Perdana Menteri dan pihak pendakwaan adalah daripada Pejabat Peguam Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri, adanya percanggahan kepentingan (conflict of interest) dalam pihak pendakwaan. Ini menimbulkan persoalan sama ada pihak pendakwaan dapat menjalankan tanggungjawab mereka secara telus. Insiden permohonan DNAA ini dilihat sebagai campur tangan kerajaan terhadap satu kes mahkamah secara halus untuk melindungi kepentingan politik mereka semata-mata.”

PSM dan MUDA menyatakan kebimbangan bahawa institusi-institusi negara yang menjadi asas kepada demokrasi di Malaysia, terutamanya Pendakwa Raya, kini telah hilang kredibiliti disebabkan

keputusan yang diambil. Langkah-langkah serius harus diambil oleh kerajaan MADANI untuk membendung persepsi negatif terhadap pengurusan negara serta membaiki kesan-kesan mudarat akibat penghentian prosiding.

Dalam semangat Reformasi yang menjadi asas kepada kerajaan MADANI, PSM dan MUDA menuntut supaya:

  • Pihak Pejabat Peguam Negara harus memberi penjelasan penuh tentang keputusan menghentikan prosiding ke atas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di dalam Parlimen;
  • Satu garis masa jelas harus diberikan untuk pemisahan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk meminimumkan sebarang percanggahan kepentingan;
  • Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi harus didakwa semula oleh pihak Pendakwa Raya dan kes ini perlu dijalankan sampai satu penjelasan konkrit daripada pihak mahkamah dicapai.

PSM dan MUDA juga mendesak supaya Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga kes mahkamah terhadapnya diselesaikan supaya sebarang percanggahan kepentingan dapat dielak.

PSM dan MUDA mengatakan bahawa sekiranya masih tiada respon sebelum 18 September 2023, mereka akan teruskan dengan aksi tunjuk perasaan dalam semangat demokrasi untuk mengangkat suara kekecewaan rakyat Malaysia.

One thought on “Dakwa semula Ahmad Zahid! – Surat bantahan PSM-MUDA kepada Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *