KUALA LUMPUR – 7 SEPTEMBER 2023: Aktivis-aktivis daripada Pemuda Sosialis dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan aksi protes di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada hari ini untuk menyatakan bantahan terhadap keganasan yang semakin meningkat di Manipur. Mereka yang berprotes turut mengecam kepasifan kerajaan India dalam menangani rusuhan kaum di Manipur yang memburukkan lagi penderitaan yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di situ.

Manipur, sebuah negeri yang terletak di bahagian timur laut India, telah dilanda keganasan etnik sejak bulan Mei 2023. Konflik keganasan di Manipur tercetus antara kaum Meiti, kumpulan etnik majoriti yang tinggal di kawasan Lembah Manipur, dan kaum tribal Kuki-Zo, kumpulan etnik minoriti di Manipur yang kebanyakannya tinggal di kawasan pergunungan. Masyarakat pelbagai kaum di Manipur telah berpecah belah dengan teruknya dan keganasan semakin meningkat, tetapi kerajaan pusat India dan kerajaan negeri Manipur yang kedua-duanya diterajui oleh parti berhaluan kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) agak pasif dalam merespon terhadap situasi di Manipur, sekali gus memburukkan lagi krisis di situ.

Sebanyak 18 buah organisasi telah menyokong memorandum bantahan kepada kerajaan India yang disediakan oleh Pemuda Sosialis dan PSM, termasuklah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), ALIRAN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Citizens International, North-South Initiative (NSI), TENAGANITA, All Women’s Action Society (AWAM), Persahabatan Semparuthi, Pertubuhan SiraguGal dan sebagainya.

Organisasi-organisasi yang menandatangani memorandum bantahan kepada kerajaan India menyatakan kebimbangan mereka tentang keganasan terhadap wanita yang serius di Manipur, kegagalan insitusi undang-undang di India dalam menangani keganasan etnik, dan respon yang pasif daripada kedua-dua kerajaan pusat India serta kerajaan negeri Manipur terhadap keganasan yang semakin meningkat di situ.  

“Persenjataan keganasan terhadap wanita merupakan satu taktik yang ngeri dan perlu dicela, di mana ia telah meninggalkan parut yang tidak dapat dipadamkan kepada individu dan komuniti,” kata Kesavan Vijayan, aktivis Pemuda Sosialis yang hadir dalam protes di hadapan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada hari ini. “Tindakan sebegini bukan sahaja mencabul hak asasi manusia, tetapi juga merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang serius. Keganasan seksual yang digunakan sebagai alat peperangan atau konflik menjejaskan prinsip-prinsip maruah manusia, kesamarataan dan rasa hormat yang sepatutnya dipertahankan walaupun dalam keadaan yang paling mencabar. Kesan-kesannya menular ke dalam keluarga-keluarga dan masyarakat, mengekalkan kitaran ketakutan, stigma dan penderitaan. Penggunaan tubuh badan wanita untuk menunjukkan kebanggaan budaya, hierarki kelelakian dan rasa penghormatan yang tersalah tempat sementara menjejaskan wanita dan tidak mempedulikan identiti serta agensi wanita, adalah sesuatu yang amat keterlaluan dan tidak boleh diterima.”

“Kekurangan tindakan yang tegas (terhadap keganasan di Manipur) bukan sahaja memburukkan lagi penderitaan penduduk-penduduk yang terjejas, tetapi juga menghakis kepercayaan orang awam terhadap pentadbiran kerajaan,” kata Kesavan apabila mengulas tentang kepasifan kerajaan India dan kerajaan negeri Manipur dalam isu keganasan yang berlaku baru-baru ini. “Kami mengecam sekeras-kerasnya respon Perdana Menteri India Narendra Modi yang lambat terhadap situasi ini. Kegagalannya mengambil tindakan yang tepat pada masanya menunjukkan dengan jelas bahawa dia tidak mempunyai kesedaran mengenai keseriusan isu ini atau, lebih teruk lagi, mengabaikannya secara sengaja. Respon yang pasif terhadap keganasan membenarkan pelaku untuk terus bertindak tanpa dihukum, mengekalkan kitaran ketakutan dan ketidakselamatan. Ia juga menyampaikan mesej bahawa kerajaan tidak mahu atau tidak dapat melindungi rakyatnya. Untuk menangani keganasan di Manipur secara berkesan, kerajaan harus mengambil langkah-langkah segera untuk meredakan ketegangan, memastikan keselamatan dan memberi sokongan kepada komuniti-komuniti yang terjejas.”

Memorandum yang ditujukan kepada kerajaan India oleh organisasi-organisasi di Malaysia mengenai isu keganasan di Manipur mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut:

  • Perlucutan senjata secara meluas dalam kalangan penduduk-penduduk awam dengan segera. Untuk memulakan proses perbincangan, adalah perlu untuk membawa bersama pemimpin-pemimpin daripada komuniti-komuniti yang berpecah-belah. Kerajaan India digesa untuk memudahkan dialog dan perdamaian dalam kalangan komuniti-komuniti yang pelbagai di Manipur. Menggalakkan persefahaman dan toleransi antara Kumpulan-kumpulan yang berbeza adalah penting untuk memupuk keamanan dan keharmonian di dalam negeri Manipur. Adalah penting bahawa semua pihak terlibat dalam dialog secara aman untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati mereka, di samping memupuk suasana saling hormat-menghormati, persaudaraan dan kedamaian.  
  • Tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam menimbulkan kekacauan di Manipur. Sikap pihak berkuasa yang berdiam diri sekian lama telah memburukkan lagi keadaan, mengakibatkan orang yang melanggar undang-undang itu meneruskan tindakan mereka tanpa dihukum. Langkah-langkah perundangan harus diambil supaya rakyat daripada semua suku kaum dilayan tanpa diskriminasi. Keadilan harus diberikan kepada mangsa-mangsa keganasan dengan mempertanggungjawabkan pelaku-pelaku ke atas tindakan mereka. Kerajaan India harus memulakan penyiasatan yang menyeluruh dan tidak berat sebelah terhadap semua pelanggaran hak asasi manusia yang dilaporkan, untuk memastikan bahawa keadilan diberikan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka.
  • Kerajaan India harus membekalkan keperluaan asas seperti makanan dan ubat-ubatan; memulihkan mata pencarian rakyat; memulihkan internet, kemudahan asas dan perkhidmatan pengangkutan; dan membina semula hospital, sekolah, tempat ibadat dan kemudahan-kemudahan yang lain untuk orang yang kehilangan tempat tinggal. Bekalkan makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi untuk memastikan laluan selamat bagi logistik barangan keperluan asas.
  • Menangani masalah persenjataan keganasan seksual memerlukan pendekatan yang komprehensif. Penyiasatan yang tidak berat sebelah adalah penting untuk mendedahkan kebenaran dan mempertanggungjawabkan pelaku. Mangsa-mangsa keganasan harus diberi sokongan dan akses kepada keadilan yang diperlukan. Perundangan harus diperkukuhkan untuk memastikan keganasan seksual ditangani dengan keseriusan yang sepatutnya.
  • Kerajaan harus memastikan perlindungan kepada saksi dan hukuman terhadap pegawai dan badan penguatkuasaan yang melanggari undang-undang serta ketenteraman. Badan kepolisan harus direformasi agar selaras dengan senario masa kini dan dinaik taraf  untuk menangani jenayah secara berkesan, menegakkan hak asasi manusia dan menjaga kepentingan semua orang.
  • Pendidikan dan kempen kesedaran adalah penting untuk mencabar norma budaya yang mengekalkan tindakan yang buruh, di samping menggalakkan budaya saling hormat-menghormati dan kesamarataan. Dengan melibatkan diri dalam usaha pendidikan, masyarakat boleh menghapuskan rasisme, menghindarkan stereotaip, memupuk empati dan menggalakkan pemikiran kritis, akhirnya membawa kepada persekitaran yang lebih inklusif dan harmoni. Inisiatif sebegini memperkasakan individu-individu untuk mengiktiraf kesan-kesan buruk diskriminasi dan menyumbang secara aktif kepada anjakan budaya yang mengutamakan kesamarataan dan maruah untuk semua, tanpa mengira latar belakang atau identiti mereka.
  • Sediakan talian bantuan untuk penduduk-penduduk Manipur yang menghadapi diskriminasi. Talian bantuan ini akan berfungsi sebagai talian hayat untuk mereka yang berada dalam kesusahan, menawarkan platform yang sulit dan mudah diakses untuk melaporkan kejadian-kejadian diskriminasi, mendapatkan panduan mengenai tindakan undang-undang dan memperoleh sokongan emosi.

“Isu persenjataan keganasan seksual, keganasan etnik dan kepasifan kerajaan dalam menghadapi keganasan di Manipur adalah saling berkait rapat dan memerlukan respon yang komprehensif dan terselaras,” tegas kata Kesavan. “Adalah penting untuk menegakkan hak asasi manusia, menggalakkan dialog dan memupuk budaya kebertanggungjawaban serta keadilan untuk memastikan masa hadapan yang aman, selamat dan bermaruah bagi rakyat Manipur. Kami menyeru pada kerajaan India supaya menunaikan tanggungjawabnya dalam melindungi rakyatnya dan menyelesaikan konflik melalui cara yang aman.”

Ketidakinginan kerajaan India dalam menyelesaikan konflik di Manipur telah ditunjukkan dalam cara Suruhanjaya Tinggi India menangani organisasi-organisasi Masyarakat di Malaysia yang hendak menyerahkan memorandum untuk menyatakan keprihatinan mereka terhadap isu ini. Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur enggan menghantar mana-mana wakilnya untuk menerima memorandum yang ditujukan kepada kerajaan India pada hari ini, sementara pihak polis pula cuba menghalang aktivis-aktivis Pemuda Sosialis dan PSM daripada berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi India. Walau bagaimanapun, memorandum tersebut telah dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang disediakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi India di luar pejabatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *