(Rencana khas ini diterbitkan bersempena ulang tahun ke-50 rampasan kuasa tentera yang berlaku di Chile pada 11 September 1973.)

Rampasan kuasa tentera yang dipimpin oleh Jeneral Augusto Pinochet dan disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 1973 telah menggulingkan sebuah kerajaan berhaluan kiri yang dipimpin oleh Salvador Allende yang dipilih secara demokratik, sekali gus memusnahkan harapan demokratik rakyat Chile pada masa itu untuk membangunkan usaha trasnformasi masyarakat menuju sosialisme dan membuka pintu kepada perkembangan dasar ekonomi neoliberal yang mengganas di seluruh dunia sejak itu.

Rampasan kuasa tentera di Chile pada tahun 1973 berlaku pada ketika dunia masih berada di bawah bayangan Perang Dingin abad ke-20, di mana wujudnya keinginan dalam kalangan pemimpin-pemimpin politik yang berhaluan kiri di negara-negara Dunia Ketiga untuk mengambil pendirian yang berkecuali dalam pertembungan kuasa besar dunia antara Blok Barat yang diketuai oleh AS dan Blok Timur yang diterajui oleh Kesatuan Soviet. Kerajaan AS langsung tidak membenarkan negara Chile yang terletak di Amerika Selatan, sebuah rantau yang berada dalam lingkungan kuasa imperialis AS dan dianggap sebagai halaman belakang AS di bawah Doktrin Monroe yang dibangunkan sejak abad ke-19, untuk mengambil jalan pembangunan yang bebas daripada pengaruh hegemoninya. Pemilihan Allende sebagai Presiden Chile pada tahun 1970 dan usaha yang dimulakan oleh kerajaan pimpinan Allende untuk membangunkan “Jalan Chile Menuju Sosialisme” amat tidak menyenangkan hati kuasa imperialis AS sehingga ia menyokong pemimpin tentera yang konservatif di Chile untuk melakukan rampasan kuasa dan menghancurkan demokrasi secara ganas pada tahun 1973.

Salvador Allende (foto: AFP via Getty Images)

Allende dan perjalanannya menjadi Presiden Chile

Salvador Allende (1908-1973) ialah seorang aktivis politik yang berfahaman Marxis sejak beliau belajar perubatan di Universiti Chile. Allende terlibat dalam penubuhkan Parti Sosialis Chile (PS) pada tahun 1933. Beliau dipilih sebagai wakil rakyat dalam Dewan Perwakilan (iaitu dewan rendah bagi Kongres Kebangsaan Chile) semasa pilihan raya parlimen pada tahun 1937. Pada tahun 1939 hingga 1942, Allende dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan campuran liberal-kiri yang dipimpin oleh Presiden Pedro Aguirre Cerda. Allende dipilih ke dalam Dewan Senat untuk kali pertama dalam pilihan raya parlimen pada tahun 1945, dan kemudiannya dipilih lagi sebagai Senator pada tahun 1953, 1961 dan 1969. Allende dilantik sebagai Presiden Dewan Senat Chile pada tahun 1960. Pada tahun 1950-an semasa Allende menjadi Senator, beliau telah memperkenalkan perundangan untuk mewujudkan perkhidmatan kesihatan kebangsaan yang merupakan program pertama di benua Amerika yang menjamin penjagaan kesihatan sejagat bagi rakyat jelata.

Allende bertanding untuk jawatan Presiden Chile buat kali pertama pada tahun 1952, tetapi dipecat daripada Parti Sosialis untuk seketika kerana menerima sokongan daripada Parti Komunis yang diharamkan pada masa itu. Allende menduduki tempat terakhir dalam pertandingan 4-penjuru semasa Pilihan Raya Presiden Chile pada tahun 1952, dengan hanya memperoleh 51,975 undi (bersamaan 5.45%). Allende bertanding lagi pada tahun 1958, sebagai calon yang mewakili “Fron Tindakan Popular” (FRAP). FRAP ialah sebuah gabungan politik yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis dan Parti Komunis (yang sudah dibenarkan di sisi undang-undang) pada tahun 1956, sebagai sebuah platform untuk gerakan masyarakat yang memperjuangkan dasar-dasar anti-imperialis, anti-oligarki dan anti-feudal. Allende menduduki tempat kedua dalam pertandingan 5-penjuru semasa Pilihan Raya Presiden Chile pada tahun 1958, dengan meraih sebanyak 356,493 undi (28.85%), agak dekat dengan calon Konservatif-Liberal yang mendapat 31.56% undian. Allende bertanding dalam Pilihan Raya Presiden untuk kali ketiga pada tahun 1964 di bawah gabungan politik kiri yang sama, dan meraih sebanyak 977,902 undi (38.93%) untuk menduduki tempat kedua dalam pertandingan 3-penjuru, di mana Eduardo Frei Montalva daripada Parti Demokratik Kristian memperoleh 56.09% pada masa itu.

Pekerja-pekerja yang menyokong Allende berarak di jalanan Santiago pada tahun 1964.

Pada tahun 1969, gabungan FRAP digantikan dengan “Perpaduan Popular” (Unidad Popular), sebuah perikatan politik yang terdiri daripada hampir semua golongan kiri di Chile pada masa itu, termasuk Parti Sosialis (PS), Parti Komunis (PCCh), Parti Radikal, Parti Demokrat Sosial (PSD), Tindakan Popular Indenpenden (API) dan Gerakan Tindakan Popular Bersatu (MAPU). Allende bertanding untuk kali keempat dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 1970 di bawah panji Perpaduan Popular dan mendapat kemenangan. Allende menjanjikan pelaksanaan dasar-dasar yang progresif seperti pemiliknegaraan perusahaan perlombongan, pengagihan semula tanah serta pendapatan, dan sebagainya. Allende menjadi calon yang meraih undi popular yang terbanyak dalam pertandingan 3-penjuru yang amat sengit pada masa itu, dengan 1,070,334 undi (36.61%).

Mengikut perlembagaan Chile pada masa itu, jika tiadanya calon memperoleh undi majoriti dalam pilihan raya Presiden (iaitu melebihi 50% undian), Kongres Kebangsaan akan menentukan siapa antara dua orang calon yang memperoleh undi terbanyak itu menjadi Presiden. Terdapat duluan dalam tiga pilihan raya sebelum itu sejak tahun 1932 di mana Kongres terus memilih calon yang memperoleh undi popular yang terbanyak. Namun, selepas Pilihan Raya Presiden pada tahun 1970 yang menyaksikan Allende muncul sebagai calon dengan undi popular yang terbanyak, golongan berhaluan kanan yang konservatif di Chile dan kuasa imperialis telah melancarkan kempen besar-besaran untuk menghalang Allende daripada mendapat undi sokongan daripada Kongres.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) dari AS telah meningkatkan usaha penyebaran propaganda untuk menakut-takutkan rakyat tentang masa hadapan di bawah kerajaan pimpinan Allende, di samping mendorong tekanan ekonomi di peringkat antarabangsa terhadap Chile. CIA telah melancarkan operasi rahsia yang dikenali sebagai “Projek FUBELT” untuk menghalang Allende daripada dipilih sebagai Presiden Chile, dan merancang rampasan kuasa tentera untuk menjatuhkan Allende sekiranya beliau berkuasa. René Schneider, Ketua Komander Tentera Darat Chile yang tegas mempertahankan perlembagaan dan membantah rancangan rampasan kuasa tentera, telah dibunuh pada tahun 1970 (sebelum Allende menjadi Presiden) oleh pegawai tentera yang mendapat sokongan daripada CIA.

Selepas menandatangani “Statut Jaminan Perlembagaan” yang menjanjikan bahawa beliau tidak akan mengganggu perlembagaan yang sedia ada, Allende mendapat sokongan daripada senator-senator Parti Demokratik Kristian dan membolehkannya memperoleh 81.38% undian dalam Kongres Kebangsaan untuk dilantik sebagai Presiden Chile yang ke-28. Allende juga dikenali sebagai Presiden Marxis pertama yang dipilih secara demokratik di dunia.

Allende berucap dalam rapat umum di Santiago pada 30 Ogos 1970 semasa berkempen dalam Pilihan Raya Presiden. (foto: Eduardo Di Baia / AP)

“Jalan Chile Menuju Sosialisme”

Selepas Allende dipilih sebagai Presiden Chile, beliau memulakan dasar pembaharuan progresif yang dikenali sebagai “Jalan Chile Menuju Sosialisme” (La vía chilena al socialismo), termasuk pemiliknegaraan perusahaan berskala besar yang tertentu (terutamanya perlombongan tembaga dan perbankan), pengurusan sistem kesihatan di bawah kerajaan, pembaharuan terhadap sistem pendidikan, program susu percuma untuk kanak-kanak sekolah, gaji minimum wajib bagi semua pekerja, perluasan usaha pengagihan semula tanah dan penyediaan pekerjaan melalui perusahaan yang dimiliknegarakan atau projek kerja raya.

Dalam perutusannya kepada Kongres Kebangsaan Chile pada 21 Mei 1972, Allende berkata,

“Kerajaan saya berpendapat bahawa terdapat satu lagi jalan untuk proses revolusioner yang bukannya pemusnahan ganas terhadap rejim institusi dan perlembagaan semasa.

Entiti pentadbiran Negara bertindak hari ini, bukan untuk berkhidmat pada kelas pemerintah, tetapi berkhidmat pada pekerja-pekerja dan kesinambungan proses revolusioner; oleh itu, seseorang itu tidak boleh cuba memusnahkan apa yang kini sudah menjadi instrumen untuk bertindak, berubah dan mencipta demi kebaikan Chile dan massa buruhnya.

Kuasa borjuasi besar bukannya berasaskan rejim Institusi, tetapi berasaskan sumber ekonominya dan rangkaian hubungan sosial yang kompleks yang dikaitkan dengan sistem pemilikan harta kapitalis.

Kita tidak melihat jalan revolusi Chile dalam kebankrapan jentera negara. Apa yang dibina oleh rakyat kita dalam perjuangan untuk selama beberapa generasi membenarkan mereka untuk memanfaatkan keadaan yang dicipta oleh sejarah kita untuk menggantikan asas kapitalis rejim institusi semasa dengan satu lagi yang disesuaikan dengan realiti masyarakat baharu.

Parti-parti politik dan gerakan-gerakan popular sentiasa menegaskan, dan ini terkandung dalam Program Kerajaan, bahawa menamatkan sistem kapitalis memerlukan perubahan pada kandungan kelas dalam Negara dan Piagam Asas itu sendiri. Namun, kita juga dengan bersungguh-sungguh menegaskan kehendak kita untuk melaksanakannya mengikut mekanisme yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Politik untuk diubah suai.”

Salvador Allende bersama Fidel Castro yang mengadakan lawatan bersejarah ke Chile pada bulan November 1971. (foto: EFE)

Kerajaan Chile di bawah kepimpinan Allende telah menjalin semula hubungan diplomatik dengan Kuba pada tahun 1971, sesuatu yang tidak menyenangkan kuasa imperialis AS yang melakukan sekatan terhadap Kuba sejak golongan berhaluan kiri mengambil alih kuasa pemerintahan di negara pulau itu dalam Revolusi Kuba 1959. Walau bagaimanapun, Allende mengambil pendekatan yang berbeza dengan Revolusi Kuba, di mana kerajaan Perpaduan Popular yang dipimpinnya cuba mengambil jalan yang lebih moderat menuju sosialisme.

Projek perubahan sosial yang diterajui gabungan politik kiri “Perpaduan Popular” di bawah kepimpinan Allende, merupakan satu usaha yang bersifat pembebasan dan komprehesif untuk membina sebuah masyarakat sosialis secara aman melalui jalan ekonomi yang demokratik dan berdaulat. Namun, usaha Allende dan Perpaduan Popular yang berhasrat untuk memajukan negara Chile dan memberi jaminan kesejahteraan hidup kepada rakyat jelata ini, walaupun agak sederhana pendekatannya, langsung tidak dapat diterima oleh kuasa imperialis AS.

Malah, kuasa imperialis AS dari awal lagi bersedia untuk menggunakan keganasan melampau dan sanggup menghancurkan demokrasi demi menyekat usaha “Jalan Chile Menuju Sosialisme”. Sekali lagi, seperti yang pernah ditunjukkan dalam sejarah masyarakat dunia, kelas pemerintah hanya bersedia untuk bertolak ansur dengan kewujudan demokrasi dalam had lingkungan yang jelas sempadannya, iaitu demokrasi itu dibenarkan selagi ia tidak mengancam kepentingan kelas kapitalis. Apabila kelas kapitalis dan kuasa imperialis melihat kekuasaan dan keistimewaan mereka dicabar, mereka tidak akan teragak-agak untuk melanggar segala “peraturan permainan” dalam demokrasi borjuis dan memusnahkan hasil pencapaian demokratik yang dimenangi oleh kelas pekerja.

Pihak tentera yang melancarkan rampasan kuasa mengebom Istana Presiden di Santiago pada 11 September 1973. (foto: Reuters)

11 September 1973: Detik hitam sejarah Chile dan dunia

Golongan berhaluan kanan melancarkan pelbagai usaha untuk menyahstabilkan kerajaan pimpinan Allende, termasuk melakukan sabotaj yang merosakkan ekonomi Chile. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi yang hebat, gabungan politik kiri “Perpaduan Popular” yang menyokong kepresidenan Allende berjaya meningkatkan undi yang diraihnya dalam pilihan raya parlimen pada 4 Mac 1973 kepada 43.2%, tetapi masih tidak mencukupi untuk menguasai majoriti kerusi dalam Kongres Kebangsaan. Selain itu, kerjasama tidak rasmi antara Perpaduan Popular dan Parti Demokratik Kristian yang mengundi untuk menyokong kepresidenan Allende telah ditamatkan pada masa itu. Parti Demokratik Kristian bersekutu dengan Parti Nasional yang berhaluan kanan untuk menentang kerajaan pimpinan Allende. Konflik antara badan perundangan yang dikuasai oleh majoriti golongan berhaluan kanan dan badan eksekutif yang dipimpin oleh Presiden Allende telah melumpuhkan kerajaan Chile pada masa itu.

Sebelum rampasan kuasa tentera di Chile, sepanjang tahun 1960-an, sudah berlakunya rampasan kuasa di Brazil (1964), Argentina (1966), Peru (1968) dan Bolivia (1969) yang menjatuhkan kerajaan demokratik dan digantikan dengan kerajaan tentera yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS. Beberapa bulan sebelum kudeta tentera di Chile, satu rampasan kuasa juga berlaku di Uruguay pada 27 Jun 1973 apabila Presiden Juan María Bordaberry membubarkan parlimen dan mewujudkan pemerintahan kediktatoran dengan bantuan daripada pihak tentera.

Pada 29 Jun 1973, satu cubaan rampasan kuasa dilakukan oleh sekumpulan askar daripada rejimen kenderaan berperisai yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Roberto Souper. Cubaan rampasan kuasa itu dipatahkan oleh kumpulan askar yang setia pada kerajaan Perpaduan Popular.

Dengan mendapat sokongan padu daripada CIA, pihak tentera yang dipimpin oleh Jeneral Augusto Pinochet melancarkan kudeta pada 11 September 1973 untuk menjatuhkan kerajaan Allende yang dipilih secara demokratik dan memulakan pemerintahan kediktatoran tentera selama 17 tahun.

Augusto Pinochet baru dilantik sebagai Ketua Komander Tentera Darat Chile pada 23 Ogos 1973, menggantikan Jeneral Carlos Prats yang setia pada kerajaan Allende tetapi dipaksa untuk meletak jawatan kerana tekanan daripada golongan berhaluan kanan. Kurang daripada 3 minggu selepas Pinochet memegang jawatan tertinggi dalam tentera, dia melancarkan rampasan kuasa dengan sokongan daripada CIA yang bertujuan untuk menghancurkan usaha rakyat China membina sosialisme mengikut jalan mereka sendiri.

Allende pada hari berlakunya rampasa kuasa tentera. (foto: Serge Plantureux / Getty Images)

Pada 11 September 1973, Istana Presiden di Santiago, ibu negara Chile, telah dikepung oleh tentera dan dibedil dengan bom. Allende membunuh diri di dalam Istana Presiden yang dikepung tentera. Dalam ucapan terakhirnya yang disiarkan dalam radio, Allende berkata, “Wahai pekerja-pekerja di negaraku, saya mempunyai kepercayaan pada Chile dan takdirnya. Orang-orang lain akan mengatasi detik yang gelap dan pahit ini apabila pengkhiatan sedang berusaha untuk berkuasa. Perlu ingat bahawa, tidak lama lagi, jalan-jalan besar akan dibuka semula dan manusia yang bebas akan melaluinya untuk membina sebuah masyarakat yang lebih baik. Hidup Chile! Hidup rakyat! Hidup pekerja!”

Selepas berkuasa, kerajaan kediktatoran tentera yang diketuai oleh Pinochet menggunakan keganasan yang melampau untuk melenyapkan semua orang yang dianggap sebagai ancaman kepada kekuasaannya. Sejurus selepas rampasan kuasa, pihak tentera mengurung 40,000 orang tahanan politik di Stadium Kebangsaan Chile dan menggunakan keganasan untuk mendera mereka di situ.

Víctor Jara (1932-1973), seorang penyanyi, penulis lagu dan aktivis politik kiri yang terkenal dengan peranannya dalam membangunkan Gerakan “Lagu Chile Baharu” (Nueva canción chilena), telah ditangkap pada 12 September 1973 dan ditahan bersama dengan ribuan orang di Stadium Chile, sebuah lagi stadium di bandar Santiago. Victor Jara telah diseksa dan dibunuh oleh kerajaan tentera. Dalam puisi terakhirnya yang kemudian diberikan tajuk “Estadio Chile” (Stadium Chile), Victor Jara menulis,

“Kami lima ribu orang di sini.

Di bahagian kecil bandar ini.

Kami lima ribu orang.

Berapa ramai kami semua di semua bandar dan di seluruh negara?

Di sini kami ada sepuluh ribu tangan yang bekerja dan menggerakkan kilang

Betapa menakutkan wajahnya fasisme!

Mereka melaksanakan rancangan mereka dengan ketepatan yang penuh licik tanpa peduli pada dunia.

Darah itu adalah pingat bagi mereka.

Pembunuhan itu adalah tindakan kewiraan.

Betapa sukarnya menyanyi

apabila saya perlu menyanyi tentang kengerian.

Kengerian di mana saya hidup

Kengerian di mana saya mati.

Untuk melihat diri saya dalam begitu banyak

detik infiniti

di mana kesunyian dan jeritan

adalah penghujung lagu saya.”

Victor Jara (1932-1973) (grafik: Gisella Stapleton)

Dianggarkan lebih 3,000 orang telah dibunuh selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera di Chile. Dalam tempoh masa 3 tahun selepas rampasan kuasa, kerajaan kediktatoran tentera di Chile telah menangkap lebih kurang 130,000 orang, di mana ramai orang telah diseksa semasa dalam tahanan. Ramai orang hilang dan tidak dapat ditemui langsung. Dianggarkan 200,000 orang terpaksa meninggalkan Chile dan hidup dalam buangan selepas rampasan kuasa tentera 1973.

Chile sebagai makmal eksperimen dasar ekonomi neoliberal

Selain membatalkan kebebasan sivil, membubarkan parlimen, mengharamkan aktiviti-aktiviti kesatuan pekerja, mengharamkan parti-parti politik berhaluan kiri, melarang mogok pekerja dan memadamkan segala pembaharuan sosial yang dibawa oleh kerajaan Allende, kerajaan kediktatoran tentera yang diketuai oleh Pinochet juga memperkenalkan dasar ekonomi neoliberal yang berasaskan liberalisasi, penyahkawalseliaan dan penswastaan untuk memaksimumkan keuntungan golongan korporat, di samping mengurangkan tarif dan program kebajikan kerajaan. 

Pihak tentera menahan mereka yang disyaki penyokong Allende selepas rampasan kuasa. (foto: David Burnett)

Rejim kediktatoran Pinochet yang mendapat sokongan padu daripada kuasa imperialis AS, telah menjadikan Chile sebagai makmal untuk menjalankan eksperimen dasar ekonomi neoliberal yang kemudiannya menular ke seluruh dunia. Dasar ekonomi neoliberal yang bertujuan untuk melindungi kepentingan syarikat-syarikat korporat multinasional dan memperluaskan penguasaan golongan kapitalis global terhadap ekonomi dunia, telah mewujudkan ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial yang semakin teruk di seluruh dunia, di samping mengundang krisis ekonomi antarabangsa yang semakin kerap berlaku dan semakin serius.

Dasar kerajaan Pinochet yang berlandaskan fahaman ekonomi neoliberal mendatangkan “Keajaiban Chile” yang digelar oleh ahli ekonomi pendukung kuat pasaran bebas, di mana ia menyaksikan pembangunan pesat ekonomi kapitalis yang mengkayakan lagi golongan kaya tetapi pada masa yang sama mengundang penderitaan hebat kepada sebahagian besar rakyat Chile. Sepanjang lima dekad yang lalu, rakyat Chile telah menjadi perintis dalam perjuangan menentang dasar ekonomi kapitalis neoliberal yang menekan rakyat biasa, di samping menuntut demokrasi politik.

Rakyat Chile terus berjuang untuk demokrasi dan keadilan sosial

Walaupun di bawah kekuasaan pemerintahan tentera yang zalim, rakyat Chile tidak pernah berputus asa dalam perjuangan mereka, malah terus melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan demokrasi di negara itu. Golongan kiri yang pernah terlibat dalam usaha pembaharuan kerajaan Perpaduan Popular di bawah Allende, telah menyusun semula gerak kerja mereka dalam keadaan yang represif dan memulakan proses penentangan yang berpanjangan terhadap pemerintahan kediktatoran tentera Pinochet yang akhirnya memulihkan demokrasi. Adanya sesetengah golongan kiri melibatkan diri dalam gerakan “bawah tanah” untuk melawan kediktatoran tentera, adanya yang melakukan perjuangan bersenjata melalui kumpulan gerila seperti Fron Patriotik Manuel Rodríguez (FPMT) dan Gerakan Kiri Revolusioner (MIR). Golongan kiri ini sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk memperjuangkan pemulihan demokrasi. Ramai pemimpin gerakan penentangan dibunuh oleh rejim kediktatoran yang zalim.

Masyarakat sivil Chile, yang pernah mempunyai harapan untuk pembaharuan sosial semasa zaman kerajaan Perpaduan Popular tetapi dihancurkan oleh rampasan kuasa tentera 1973, dapat membina semula rangkaian solidariti rakyat melalui organisasi-organisasi popular yang dibentuk selepas rampasan kuasa seperti dapur komuniti, pusat pekerja menganggur, kantin kanak-kanak dan sebagainya, di samping meneruskan usaha pembinaan gerakan sosial dalam memperjuangkan hak pekerja dan hak asasi manusia. Saudara-mara kepada mangsa-mangsa penindasan di bawah rejim kediktatoran Pinochet telah menerajui usaha memperjuangkan hak asasi manusia di Chile pada tahun 1970-an dan 1980-an.

10 tahun selepas rampasan kuasa tentera, rakyat Chile kembali ke jalanan dalam jumlah yang besar dan membawa tuntutan politik yang mencabar kekuasaan pemerintahan kediktatoran Pinochet dalam siri aksi demonstrasi yang dikenali sebagai “Hari Protes Kebangsaan” (Jornadas de Protesta Nacional) pada bulan Mei 1983. Gelombang protes ini dimulakan oleh pekerja-pekerja lombong tembaga di utara Chile, tetapi berkembang menjadi sebuah aksi massa yang merangkumi sektor-sektor masyarakat sivil yang agak luas. “Gerakan Demokratik Rakyat” (MDP) yang dibentuk oleh Parti Komunis yang diharamkan pada masa itu bersama-sama organisasi-organisasi kiri lain, memainkan peranan penting dalam memobilisasi rakyat Chile untuk menentang pemerintahan kediktatoran Pinochet.

Aksi protes menentang rejim pemerintahan kediktatoran Pinochet pada tahun 1983.

Aksi solidariti dengan pekerja dan rakyat Chile turut merebak di seluruh dunia, sehingga mengasingkan rejim pemerintahan daripada masyarakat antarabangsa yang lebih luas di luar lingkungan kuasa imperialis AS.

Pada 5 Oktober 1988, satu plebisit atau pemungutan suara umum diadakan di Chile untuk menentukan sama ada Pinochet patut menjadi Presiden selama 8 tahun di bawah pemerintahan orang awam yang dipulihkan selepas tahun 1990. 3,967,579 orang (55.99%) pengundi yang keluar mengundi dalam plebisit itu mengundi “tidak”, sekali gus memberi pukulan maut kepada pemerintahan Pinochet yang sudah berlarutan satu setengah dekad pada masa itu. Kempen mengundi “tidak” dalam plebisit 1988 digerakkan oleh satu gabungan politik meluas yang kebanyakannya parti-parti politik berhaluan kiri.

Pilihan raya umum yang sudah digantung sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 1973 diadakan semula pada 14 Disember 1989. Parti-parti politik yang mendukung pemulihan demokrasi – Parti Demokratik Kristian (PDC), Parti Sosialis (PS), Parti Untuk Demokrasi (PPD), Kesatuan Sosialis Popular (USOPO), Parti Radikal (PR), Parti Radikal Sosialis Demokratik (PRSD), Parti Demokratik Nasional (PADENA), Gerakan Tindakan Popular Bersatu (MAPU), MAPU Pekerja-Petani, Parti Kiri Kristian (IC), Parti Kemanusiaan (PH), Kesatuan Liberal-Republikan (ULR) dan Parti Hijau (PLV) – menubuhkan satu gabungan politik luas yang dikenali sebagai “Concertación”, dan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1989 untuk menubuhkan kerajaan baharu pada tahun 1990, menandakan pemulihan demokrasi di Chile.

Logo kempen mengundi “TIDAK” dalam pemungutan suara Chile pada tahun 1988.

Namun begitu, proses peralihan ke demokrasi di Chile masih menghadapi pelbagai cabaran, kerana golongan konservatif yang pernah menyokong pemerintahan kediktatoran Pinochet masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam arena politik sehingga dapat menang dalam pilihan raya, dan mereka sentiasa cuba menghalang pembaharuan demokratik. Tambahan pula, dasar ekonomi neoliberal masih bertapak kukuh dan terus mengundang pelbagai krisis kepada masyarakat Chile.

Walau bagaimanapun, golongan kiri dan gerakan sosial yang pernah berani berjuang menentang kezaliman pemerintahan kediktatoran tentera terus bermobilisasi untuk memperjuangkan perluasan demokrasi dan penegakan keadilan sosial. Antara usaha perjuangan rakyat Chile yang hebat pasca kediktatoran Pinochet telah ditunjukkan dalam gelombang protes pelajar yang menuntut pendidikan awam pada tahun 2011 dan gelombang protes rakyat yang menentang dasar ekonomi neoliberal pada tahun 2019. Apa yang pasti, perjuangan tetap berterusan demi pembebasan masyarakat, demokrasi sejati dan keadilan sosial.

Rakyat Chile berprotes di Santiago pada 25 Oktober 2019 untuk membantah dasar ekonomi neoliberal yang dibawa oleh kerajaan Chile pada masa itu. (foto: Susana Hildago)

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *