(foto: PTI)

oleh Karthiges Rajamanickam

Rusuhan etnik dan agama yang sedang berlaku adalah sesuatu yang tidak harus berlaku di dalam dunia peradaban masa ini. Video tular yang menunjukkan kejadian dua orang wanita tribal diheret tanpa pakaian dan diperkosa oleh sekumpulan pengganas agama adalah kemuncak kepada kegagalan dan keruntuhan institusi kerajaan negeri Manipur, India. Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku atas nama agama dan etnik ini.

Kegagalan kerajaan India untuk mencampur tangan dan menghalang rusuhan yang berlaku sejak lebih 4 bulan kebelakangan ini jelas menunjukkan bagaimana kuasa pemerintah merestui kejadian sebegini. Kerajaan pusat India yang diterajui oleh parti nasionalis Hindu, iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP), juga sedang memerintah di negeri Manipur. Punca asas rusuhan yang diungkap oleh kebanyakan media adalah penindasan oleh etnik majoriti Meitei terhadap etnik minoriti tribal, iaitu Kuki-Zo and Naga. Tuduhan media ialah kerajaan lebih memberi keutamaan kepada Meitei dan menindas kaum tribal.

Konflik ini meningkat apabila etnik majoriti Meitei menuntut bahawa mereka turut diiktiraf sebagai Puak Berjadual (Scheduled Tribe, ST) di mana pengiktirafan ini akan memberi lebih keistimewaan kepada mereka dari segi memiliki tanah di sekitar kawasan pergunungan hutan dan mendapat perlindungan perlembagaan. Kaum minoriti pula membantah tuntutan ini kerana orang Meitei yang membentuk lebih daripada 50% populasi di Manipur sudah pun mengawal politik dan ekonomi Manipur, manakala kaum tribal Kuki-Zo and Naga adalah kaum terpinggir, tertindas dan sering dilabel sebagai pendatang. Pengiktirafan status Puak Berjadual akan mengakibatkan golongan etnik minoriti lebih diseksa, ditindas dan dipinggirkan.

Situasi menjadi gentar apabila Mahkamah Tinggi Manipur memberi arahan kepada kerajaan pusat India untuk memberi pengiktirafan tersebut kepada kaum majoriti Meitei. Berikutan arahan ini, kerajaan BJP di Manipur yang mana Ketua Menterinya turut berasal daripada kaum majoriti tersebut mengambil langkah-langkah untuk melaksanakannya dan jelas mengancam hak kaum minoriti di situ terutamanya kaum Kuki. Rusuhan meletus selepas protes solidariti menentang arahan mahkamah oleh golongan anak muda daripada kumpulan All Tribal Students’ Union Manipur (ATSUM).

Tuduhan kaum minoriti ini lebih berasas kerana sejak rusuhan ini berlaku pada bulan Mei, kerajaan negeri BJP telah memotong akses internet dan menghalang media untuk membuat liputan di Manipur. Ramai yang menentang dan memaparkan berita rusuhan telah ditahan dan diseksa di penjara. Hanglalmuan Vaiphei, seorang pelajar kolej telah ditahan oleh polis Manipur kerana mengkritik Ketua Menteri dalam media sosial pada 30 April yang lalu. Keluarganya diberitahu bahawa dia terbunuh dalam lokap dan masih tidak melepaskan mayatnya. Walaupun kes ini sudah dilaporkan, namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Siapa yang bertanggungjawab? Siapa yang mahukan rusuhan sebegini?

Setiap kejadian sebegini jelas menunjukkan kegagalan pihak berkuasa dan institusi seperti polis/tentera dan kehakiman. Namun, kejadian ini bukan Baharu, dan punca asas pemecahan perpaduan dan ketenteraman awam yang ekstrim selalunya berlaku di sebalik kepentingan ekonomi segelintir pihak dalam sistem ini.

“Kerajaan negeri (Manipur), bukan sahaja tidak memberi perhatian pada isu-isu komuniti minority, malah telah berjaya mengukir perasaan anti-minoriti dalam kalangan komuniti di dalam negeri, komunuti Meitei/Meetei/Meithei. Kumpulan tribal Kuki-Zomi Chin yang kebanyakannya tinggal di kawasan bukit telah digambarkan sebagai penceroboh, penanam popi dan pendatang haram. Penggambaran ini bukan sahaja ditujukan kepada komuniti tertentu tetapi membawa matlamat yang lebih besar, pengambilan hutan untuk pelbagai manfaat dapat dilihat dan tidak dapat dilihat kepada negara dan golongan kapitalis India.” – North-East Forum for International Solidarity (NEFIS)

Kepentingan ekonomi segelintir kaum pemodal merupakan satu punca utama yang dikaitkan dengan rusuhan di Manipur. Hutan yang meliputi lebih 90% wilayah Manipur merupakan gudang semula jadi untuk sumber mineral asli yang bernilai berbilion-bilion rupee. Namun, hak perlembagaan melalui Artikel 371C yang memberi kuasa autonomi kepada kaum tribal di sini memberi jaminan minimum untuk mempertahankan hutan ini daripada kerakusan kaum kapitalis.

Akan tetapi, kerajaan pusat India dan kerajaan negeri Manipur sedang berusaha untuk mengawal sepenuhnya kawasan perhutanan gunung yang kaya dengan mineral untuk kepentingan korporat dan menggunakan ketidakperpaduan yang lama wujud untuk menyokong usaha mereka. Antaranya, pada bulan Ogos 2022 yang lalu, kerajaan negeri Manipur mengisytiharkan 38 buah kampung di daerah Churachandpur yang majoritinya kaum minoriti Kuki sebagai pendatang haram dan penceroboh ke atas tanah hutan simpanan. Mereka digambarkan sebagai penghakis kepentingan kaum majoriti di Manipur. Tuduhan yang tidak berasas ini juga merupakan punca berlakunya pengusiran paksa dari kampung-kampung mereka pada awal tahun ini. Konsep pecah dan perintah oleh pihak berkuasa jelas meningkatkan perbezaan antara kaum dan dieksploitasi sepenuhnya untuk menjayakan usaha mengawal tanah hutan gunung.

Selain itu, pemberontakan kaum tertindas dalam rusuhan ini adalah satu indikasi kewujudan pengeksploitasian ekonomi oleh kaum kaya di Manipur. Manipur ialah antara negeri paling miskin di India dan paras kemiskinan sudah melampaui 38% dengan pendapatan per kapita adalah antara yang paling teruk di Asia Selatan. Kawasan Lembah Manipur yang tanahnya subur dikuasai oleh kaum majoriti Meitei manakala kawasan perhutanan gunung yang kurang subur diduduki oleh kaum tribal minoriti. Manipur mempunyai 8 buah universiti, 2 buah kolej perubatan dan 3 kolej teknik, yang mana semua institusi pendidikan tinggi ini terletak di kawasan lembah. Satu-satunya universiti yang terletak di kawasan gunung ialah Universiti Kebangsaan Tribal Indira Gandhi. Sehingga baru-baru ini, kawasan-kawasan daerah pergunungan Manipur tidak mempunyai sebarang hospital pelbagai pakar. Ini jelas membuktikan pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan menyebabkan penghijrahan kaum tribal pergunungan ke kawasan lembah atau ke negeri lain. Hujah ini digunakan oleh kebanyakan kaum minority untuk menyatakan bahawa tidak logik untuk kumpulan kaya lembah beria-ria berhijrah ke kawasan pergunungan hutan untuk membeli tanah yang tidak subur dan tiada kemudahan asas yang mencukupi.

Jadi, siapakah di sebalik tabir kerakusan kaum majoriti untuk mendapatkan hak pemilikan tanah di kawasan pergunungan hutan Manipur? Walaupun berselindung di sebalik kuasa politik, permainan kaum pemodal untuk menguasai tanah hutan yang kaya dengan balak, mineral, kelapa sawit dan petrol adalah punca utama perebutan ini dan rusuhan adalah satu lencongan yang amat diperlukan untuk mengaburi mata dunia luar.

Dengan sokongan segelintir golongan chauvunis dalam kaum Meitei dan Kerajaan BJP, kaum korporat merangka usaha untuk merangkul kawasan pergunungan tersebut. Kini, kerajaan pusat India mengeluarkan polisi perlesenan baharu (Open Acreage Licensing Policy, OALP) mulai tahun 2017 yang memberi kaum korporat lebih ruang untuk mengeksploitasi sumber-sumber hutan tersebut tanpa dikawal selia. Tambahan pula, banyak institusi korporat antarabangsa seperti Bank Dunia, Asian Development Bank (ADB), and Japan Bank for International Cooperation (JBIC) sedang melabur di Manipur untuk projek hidro-elektrik, terutamanya membina empangan besar tanpa analisis kos-faedah dan penilaian impak yang betul. Pembinaan empangan mega ini telah mengakibatkan pemindahan habitat komuniti, dan kemusnahan tanah pertanian, hutan dan kepelbagaian biologi yang kaya di rantau ini.

Persoalan penting yang timbul di sini adalah, walaupun Manipur sudah pun menghasilkan bekalan elektrik yang berlebihan, masih kebanyakan kawasan pergunungan ini tiada bekalan elektrik. Jadi, siapakah sebenarnya penerima manfaat untuk projek penjanaan kuasa ini?

Bank dunia telah mengeluarkan pinjaman untuk membinaan talian penghantaran dan pengedaran voltan tinggi yang menghubungikan Manipur dengan negeri-negeri lain di India dan negara-negara ASEAN. Bank ADB pula menyokong penswastaan ​​sektor kuasa di rantau ini, manakala Bank Jepun pula membiayai pembinaan empangan mega. Maka kaum korporat nasional memerlukan tanah di pergunungan hutan untuk menjayakan projek-projek ini dan mengaut keuntungan. Walaupun begitu, laungan ahli politik adalah kononnya projek ini untuk pembangunan negeri, namun adalah amat jelas bahawa prospek projek-projek mega ini adalah untuk kepentingan di luar dan memberi impak negatif kepada masyarakat setempat terutamanya kepada kaum tribal pergunungan.

Pembangunan keterbelakang dan ancaman kepada kehidupan serta mata pencarian, telah menjana perjuangan masyarakat setempat yang kemudiannya diubah arah secara sistemik untuk menjadi lebih berasaskan perkauman. Ini kemudiannya diikuti oleh perkongsian kuasa antara elit semua masyarakat tempatan, dan kaum korporat telah memupuk chauvinisme etnik dan politik yang memecahbelahkan.

Justeru, seruan kemanusian yang sedang dipinta oleh masyarakat dan aktivis di Manipur dan India ialah masyarakat tribal minoriti Manipur harus diberi lebih kuasa autonomi untuk menentukan kehidupan harian mereka, termasuk mengiktiraf hak mereka untuk menduduki dan menggunakan pergunungan hutan untuk rezeki serta merangka model pemerintahan sendiri yang mana orang ramai mempunyai lebih banyak penyertaan dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Kaum majoriti Meitei pula harus sedar bahawa musuh mereka bukanlah kaum tribal pergunungan hutan tetapi kaum pemodal yang sedang mempergunakan segelintir daripada mereka untuk merealisasikan prospek keuntungan mereka melalui projek-projek mega dan menggondol sumber negara.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “India: Kerakusan kaum kapitalis dan kerajaan boneka BJP sedang membakar Manipur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *