(Dari kiri) Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM), Dr. Darren Ong (calon PSM untuk kawasan DUN N55 Dengkil di Selangor), Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM) dan Sivarajan Arumugam (Setiausaha Agung PSM).

DENGKIL, SELANGOR – 14 JULAI 2023: Selepas mengumumkan calon untuk kerusi DUN N42 Meru semalam, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan pada hari ini seorang lagi calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan datang ini. Darren Ong Chung Lee, Pengerusi PSM Cawangan Dengkil, bakal bertanding sebagai calon PSM di kawasan DUN N55 Dengkil dalam PRN Selangor 2023.

Profesor Dr. Darren Ong ialah seorang pensyarah matematik di Universiti Xiamen Malaysia. Beliau mendapat ijazah doktor falsasah dalam bidang matematik di Rice University, Amerika Syarikat. Darren lahir di Kuching, Sarawak, dan menetap di Kota Warisan (yang terletak di dalam kawasan DUN Dengkil) sejak tahun 2016.

Darren telah bergiat dalam pelbagai aktivisme PSM sejak beliau menyertai parti ini. Darren terlibat dalam pelbagai usaha perjuangan PSM yang berkaitan isu alam sekitar, seperti menyertai kempen menyelamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan pernah menyandang jawatan Ketua Biro Alam Sekitar PSM. Darren juga merupakan pengarang kepada Thinkleft.net, portal penerbitan PSM dalam Bahasa Inggeris.

PSM Dengkil yang diketuai oleh Darren sekarang ini pula pernah terlibat dalam beberapa perjuangan masyarakat akar umbi, antaranya perjuangan penduduk Taman Permata Dengkin untuk mendapatkan rumah teres sejak tahun 2000 dan perjuangan peneroka Kampung Sri Tanjung untuk hak tanah sejak tahun 2000, di samping mengendalikan pelbagai kes kebajikan, kes tanah dan kes yang melibatkan pekerja kontrak di sekitar kawasan Dengkil.

“Walaupun Selangor sebuah negeri yang kaya, tetapi masih terdapat lagi rakyat yang dipinggirkan dan hidup susah,” kata Darren Ong dalam sidang media khas pengumuman calon PSM untuk kawasan DUN Dengkil. “Ini persoalan yang perlu kita bangkitkan dan dapatkan penyelesaian. Saya berharap pengundi Dengkil boleh memilih wakil rakyat yang terbaik untuk menangani masalah rakyat.”

“Walaupun PSM bukannya sebuah parti yang besar, tetapi yang penting ia berprinsip. Dan prinsip PSM itu adalah mengutamakan rakyat tertindas,” tambah Darren Ong “Bagi PSM, kuasa sebenar bukannya datang daripada tokoh pemimpin atau orang atasan, sebaliknya datang dari bawah daripada orang biasa. Inilah sebabnya saya berjuang bersama dengan PSM.”

“Dalam PRN Selangor kali ini, penting untuk kita pilih wakil rakyat yang boleh bersuara dalam Dewan Undangan Negeri untuk mewujudkan dasar yang membela rakyat biasa,” kata Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, semasa mengumumkan calon PSM untuk kawasan DUN Dengkil. “Jika kita ada suara marhaen dalam dewan perundangan, masalah rakyat marhaen boleh diluahkan dan banyak perundangan yang memanfaatkan rakyat biasa boleh dibuat.”

“PSM bukannya baharu di kawasan Dengkil ini. PSM menawarkan seorang calon di Dengkil kerana PSM sudah lama membuat kerja di sini dan tiba masanya untuk PSM bertanding dalam pilihan raya di sini,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM. “Kami hendak memberi peluang kepada pengundi di Dengkil untuk memilih wakil rakyat yang lebih baik. Selalunya dalam pilihan raya, pengundi hanya diberikan pilihan lesser of two evils (pilih mana satu yang kurang jahat antara dua yang jahat). Rakyat mengundi kerana takut, bukan kerana suka dan yakin pada seseorang calon. Oleh itu, kami menawarkan pilihan ketiga yang berprinsip. Pengundi-pengundi di kawasan Dengkil tidak perlu lagi pilih lesser of two evils. Anda ada PSM sebagai pilihan anda! Jika nak undi protes, undilah PSM!”

“Apabila PSM meletakkan calon di mana-mana pun, kami boleh memberi jaminan bahawa jika calon kami menang, dia akan menggunakan posisinya untuk kebaikan masyarakat,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM. “Jika PSM dapat menang kerusi DUN, kita adanya satu lagi senjata untuk berjuang demi kepentingan rakyat. Di luar DUN kita boleh buat demonstrasi dan petisyen, di dalam DUN pula kita adanya wakil rakyat yang boleh suarakan isu rakyat dan kemukakan usul yang berpihak pada rakyat.”

Darren Ong melafazkan Ikrar Anti-Rasisme dan mengisytihar hartanya dalam sidang akhbar pengumuman calon PSM untuk kawasan DUN Dengkil. Ikrar Anti-Rasisme dan Pengisytiharan harta ialah perkara yang harus dilakukan oleh semua calon PSM yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya. PSM merupakan parti politik pertama di Malaysia di mana semua calonnya mengisytihar harta sejak calon PSM mula bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1999, dan semua wakil rakyat daripada PSM mengisytihar harta setiap tahun selepas menang (seperti yang pernah dilakukan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj semasa memegang posisi Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput dan Dr. Nasir Hashim semasa menjadi ADUN Kota Damansara di Selangor).

Darren Ong ialah calon pertama dalam PRN Selangor 2023 yang mengisytihar harta. S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, mencabar semua calon lain daripada semua parti turut mengisytihar harta.

==========

Salinan Ikrar Anti-Rasisme dan akuan berkanun pengisytiharan harta Darren Ong boleh dimuat turun di sini.

3 thoughts on “Aktivis alam sekitar dan profesor matematik Darren Ong calon PSM untuk Dengkil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *