Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) DUN Kajang pada 20 Julai 2023 semasa mengumumkan calon PSM yang akan bertanding di kawasan DUN N25 Kajang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

**********

Pada hari ini, kami dengan bangganya memperkenalkan Saudara Arutchelvan, yang juga dikenali sebagai Arul, sebagai calon keempat kami di kawasan DUN Kajang. Arul ialah seorang aktivis akar umbi dan pembela hak asasi manusia yang sangat dihormati di Malaysia, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam memperjuangkan hak masyarakat terpinggir.

Komitmen Arul yang berkhidmat sekian lama untuk penduduk Kajang menjadikan beliau seorang tokoh yang terkenal dan berdedikasi kepada masyarakat. Beliau telah terlibat secara aktif dalam kerja-kerja akar umbi dan hak asasi manusia sejak zaman pra-siswazahnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tiga dekad lalu. Advokasinya meluas kepada memerangi pengusiran paksa, memperjuangkan gaji yang lebih baik, mempersoalkan dasar kerajaan, dan bersuara menentang penahanan yang menyalahi undang-undang. Kekuatan Arul terletak pada dedikasinya berkhidmat kepada golongan miskin bandar, pekerja industri, pekerja ladang, dan petani.

Dulu PSM memilih untuk tidak bertanding di Kajang kerana menghormati mendiang Cikgu Lee yang pernah menjadi calon pada pada tahun 2008-2013. Namun, selepas digalakkan oleh ahli dan penyokong PSM, kini kami berhasrat untuk mewakili penduduk Kajang di mana kami telah bertapak selama lebih 35 tahun dan mengendalikan Pusat Khidmat serta pelbagai inisiatif lain.

Sebagai pengasas bersama PSM dan bekas Setiausaha Agung, Arul membawa pelbagai ilmu dan pengalaman kepada parti. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang dari tahun 2008 hingga 2013. Arul yang tidak terhenti-henti mengejar keadilan turut memberi impak yang besar kepada gerakan hak asasi manusia di Malaysia, termasuk penglibatannya dalam Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan pengasas bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada tahun 2001. Beliau juga telah ditangkap dan didakwa beberapa kali. Namun, usahanya untuk mendapatkan keadilan bagi mereka yang tertindas tetap konsisten dan utuh.

PSM berbangga mempunyai Arul sebagai calon kita untuk DUN Kajang. Jika diberi peluang memimpin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Arul dan PSM komited untuk memahami keperluan rakyat di lapangan dan menawarkan kepimpinan yang bersih dan telus. Sebagai suara marhaen yang tulen, kami akan meneruskan misi memperjuangkan kepentingan asas rakyat di Dewan Undangan Negeri Selangor.

One thought on “PSM tawarkan Arul sebagai calon di Kajang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *