KAPAR, SELANGOR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan calon pertamanya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan datang dalam satu sidang media khas yang diadakan pada 13 Julai 2023 di Pusat Khidmat PSM Kapar. Sivaranjani Manickam, seorang aktivis pekerja yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Pekerja PSM, bakal bertanding sebagai calon PSM untuk kawasan DUN N42 Meru dalam PRN Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.

PSM menawarkan Sivaranjani sebagai calonnya untuk kerusi DUN Meru, kerana sebagai seorang aktivis sosial yang berpengalaman luas dan berkomitmen tinggi dalam memperjuangkan hak rakyat, Sivaranjani menyerlah sebagai seorang calon yang berkaliber dan berkemampuan mendukung suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dr. Jeyakumar Devaraj (kiri), Pengerusi Nasional PSM, menyerahkan watikah perlantikan calon kepada Sivaranjani Manickam (kanan).

“Bagi PSM, kami berasa bangga untuk menawarkan Sivaranjani sebagai calon di kawasan Meru,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, semasa mengumumkan secara rasminya Sivaranjani sebagai calon PSM untuk kawasan DUN Meru. “Kita dapat lihat betapa kesungguhan, kerajinan, komitmen dan kebolehan Sivaranjani dalam berkhidmat untuk rakyat. Beliau ialah seorang calon yang berkualiti tinggi!”

Sivaranjani Manickam ialah seorang aktivis sosial yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam perjuangan masyarakat, sejak zaman universitinya sebagai seorang aktivis pelajar sehingga kini sebagai seorang pemimpin PSM yang berwibawa. Sivaranjani pernah menjadi Setiausaha PSM Cawangan Klang dan kini telah membuka sebuah Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan Parlimen Kapar di mana beliau juga merupakan pengundi di kawasan tersebut. Sivaranjani telah terlibat dalam pelbagai usaha memperjuangkan hak pekerja, termasuk kempen menuntut pelaksanaan Gaji Minimum yang direalisasikan sejak tahun 2013 dan kempen yang membawa kepada pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan pada tahun 2018, di samping menjadi pengamal perhubungan perusahaan yang membela hak pekerja di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Perusahaan. Sivaranjani turut menerajui perjuangan pekerja kontrak di premis kerajaan melalui Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

Sivaranjani Manickam, bakal calon PSM untuk DUN Meru di Selangor.

“PSM menawarkan diri kami untuk bertanding di kawasan ini supaya kami dapat memberi perkhidmatan yang secukupnya dalam menyelesaikan isu rakyat,” kata Sivaranjani. “PSM bersedia membawa suara rakyat akar umbi ke dalam dewan perundangan dan membuat dasar yang membela rakyat marhaen.”

“Kita sudah melalui proses pertukaran parti politik dalam kerajaan tetapi masalah rakyat marhaen masih wujud. Adakah kita melihat apa yang ditawarkan oleh parti politik itu untuk menyelesaikan masalah rakyat? Rakyat harus menilai parti politik yang mana satu benar-benar peduli pada isu rakyat dan mengambil usaha untuk membawa penyelesaian berjangka masa panjang,” ulas Sivaranjani. “Kita harus memilih parti politik yang benar-benar dapat menyelesaikan masalah rakyat itu. Jika tidak, kita hanya sekadar tukar warna baju tetapi masalah rakyat itu tetap berterusan.”

S. Arutchelvan, Pengarah Pilihan Raya PSM, berucap semasa mengumumkan calon PSM untuk kawasan DUN Meru.

“Kebanyakan parti politik arus perdana mempermainkan perasaan ketakutan untuk memancing undi dan tidak mempedulikan isu rakyat biasa. Sebaliknya, rakyat perlukan parti politik yang benar-benar memperjuangkan isu mereka,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM, dalam sidang media mengumumkan calon PSM untuk kawasan DUN Meru. “PSM adalah satu-satunya parti politik yang sentiasa mengetengahkan isu pekerja dan rakyat marhaen. PSM memang relevan untuk membela nasib rakyat marhaen. PSM suara marhaen!”

“Kenapa kita sebagai rakyat masih perlu terus mengundi wakil rakyat yang tidak menjaga kepentingan rakyat biasa? Kita harus cerdik dalam memilih wakil rakyat!” kata Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, yang turut hadir dalam sidang media pengumuman calon PSM untuk Meru. “PSM hanya meletakkan calon yang benar-benar tahu tentang masalah rakyat dan berkomitmen untuk menyelesaikan masalah rakyat.”

Sivaranjani juga melafazkan Ikrar Anti-Rasisme dalam sidang media pengumuman calon PSM untuk Meru, di mana beliau menegaskan komitmennya sebagai calon PSM yang tidak akan sama sekali mempermainkan isu perkauman untuk meraih sokongan atau undi.

PRN Selangor akan diadakan serentak dengan 5 buah negeri lain (Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan), dengan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 29 Julai 2023, hari mengundi awal pada 8 Ogos 2023, dan hari mengundi jatuh pada 12 Ogos 2023.

==========

Baca selanjutnya kenyataan media daripada Pasukan Kempen PSM Meru di sini.

2 thoughts on “Aktivis pekerja Sivaranjani calon PSM untuk Meru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *