Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) menyatakan kebimbangan terhadap gelombang haba yang melanda Malaysia baru-baru ini, di mana secara tragiknya telah meragut nyawa dua orang kanak-kanak dalam tempoh seminggu. GDIMY menyeru kepada kerajaan supaya mengambil tindakan segera untuk menangani ancaman krisis iklim yang semakin teruk.

“Ketika gelombang haba yang terik melanda seluruh Asia dan dengan suhu panas yang memecah rekod, mengakibatkan banyak kematian, ramai orang menyedari ini sebagai tanda jelas untuk darurat iklim,” begitu katanya kenyataan GDIMY yang dikeluarkan pada 12 Mei 2023. “Dengan Monsun Barat Daya dan El Nino berlaku secara berbetulan dalam beberapa bulan akan datang ini, situasi dijangka akan bertambah buruk.”

GDIMY menuntut pada pihak berkuasa tentang penjelasan mengenai kes-kes ini:

  • Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun meninggal dunia akibat strok haba dan penyahhidratan di Kelantan;
  • Seorang perempuan berumur 19 tahun di Kelatan meninggal dunia akibat strok haba.

“Peristiwa-peristiwa yang dahsyat ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menghadapi dan menangani krisis iklim di negara kita,” tegas kata kenyataan GDIMY.

GDYMY menyeru pada pihak berkuasa untuk mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Memastikan bahawa pelan tindakan gelombang haba ialah satu usaha kerjasama nasional yang merangkumkan sepenuhnya pelan respon gelombang haba berjangka panjang, pengurangan dan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti, dan juga mekanisme yang mengutamakan hak asasi manusia dan kesejahteraan rakyat.
  2. Menginstitusikan dan mengembangkan Pendidikan Ketahanan Bencana (DRE) di seluruh negara.
  3. Penilaian kerentanan gelombang haba harus diutamakan dan dilayan dengan segera sama seperti risiko banjir. Ia adalah penting untuk melakukan yang lebih banyak daripada hanya menutup sekolah; perancangan daya tahan berjangka panjang berasaskan hak asasi manusia adalah penting.
  4. Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan Pangkalan Data Statistik Kebangsaan rasmi yang mendedahkan secara komprehensif impak berkaitan perubahan iklim dalam jangka pendek dan panjang kepada kesihatan, seperti kematian, kecederaan, kesihatan mental, dan juga kehilangan harta benda serta tanah kebun, kegagalan tanaman, dan kemerosotan sumber alam semula jadi antara lain. Pangkalan data ini harus boleh diakses secara bebas, menggabungkan titik data yang dibahagikan mengikut gender dan merangkumi rekod sejak tahun 2018.
  5. Mempercepatkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) untuk menangani impak iklim dengan berkesan supaya melindungi dan memperkasakan kumpulan-kumpulan mudah terkesan, sementara membangunkan pelan tindakan dan peta jalan untuk mitigasi yang mengelakkan penyelesaian palsu, seperti yang digariskan dalam Surat Perisytiharan Darurat Iklim.
  6. Mempercepatkan kelulusan Akta Perubahan Iklim dan Akta Bencana sebagai alat perundungan untuk mekanisme berasaskan hak di Malaysia.
  7. Mengembangkan mekanisme pembetulan untuk mangsa-mangsa gelombang haba merentasi saluran kehakiman dan bukan kehakiman.

“Kerajaan harus menganggap ini sebagai impak yang ketara daripada darurat iklim dan mengakui implikasi hak asasi manusianya,” begitu kata GDIMY dalam kenyataannya. “Kami menuntut satu kenyataan daripada pihak berkuasa untuk menjelaskan situasi dan menggariskan langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak kita dan populasi kita yang paling terkesan dalam iklim yang semakin memanas ini. Masa untuk bertindak ialah sekarang.”

Kenyataan daripada GDIMY ini disokong oleh 12 buah organisasi, termasuk Klima Action Malaysia (KAMY), Greenpeace Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *