oleh Sharan Raj

Buku Mengharungi Titik Noktah ditulis oleh komrad Nasir Hashim.

Seminggu lepas, saya telah mengajak komrad Nasir Hashim untuk bersarapan pagi. Nasir telah menghadiahkan buku “Mengharungi Titik Noktah”. Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya telah membaca bukunya pada tahun 2016 selepas beberapa bulan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM). Namun demikian, sebagai penghargaan, saya berjanji untuk membaca buat kali kedua.

Pembacaan kali kedua selepas hampir 7 tahun memberi perspektif baru kerana konteks dan pengalaman baru berbanding bacaan kali pertama. Maka, saya membuat rencana tentang pedoman daripada buku ini. Rencana ini akan mengetengahkan 2 pedoman yang penting mengikut pandangan saya meskipun terdapat banyak pedoman buku yang tidak dapat dihuraikan dalam satu rencana.

Pengalaman mencorakkan perspektif

Pada tahun 2016, saya menyertai Parti Sosialis Malaysia selepas kecewa dengan politik parti besar, iaitu Barisan Nasional. Namun, saya bukan ahli rasmi mana-mana parti sebelum menyertai Parti Sosialis Malaysia kerana berpendapat bahawa politik kepartian bukanlah untuk anak daripada lapisan sosioekonomi menengah rendah yang tiada keluarga berpengaruh politik seperti saya.

Ketika itu, perspektif politik saya berpaksi kepada melobi kertas kerja polisi kepada ahli politik yang berkuasa untuk mempertimbangkan cadangan kami. Walaupun berniat baik, tetapi saya tidak bersifat pejuang seperti komrad sosialis. Pada tahun 2016, semasa membaca buku “Mengharungi Titik Noktah” untuk kali pertama, saya masih memiliki pemikiran ala reformasi dengan mentaliti pelobi.

Maka, buku tersebut hanya sekadar novel khayalan Nasir untuk mengisi masa lapang saya pada waktu itu. Walaupun pedih dan berat untuk taip pengakuan tersebut, tetapi ia ialah realiti diri yang perlu saya akui. Kini, pemikiran dan perspektif saya telah jauh berubah dalam tempoh 7 tahun kerana pengalaman perjuangan.

Apabila membaca buku “Mengharungi Titik Noktah” untuk kali kedua, saya dapat mencedok banyak pedoman, pengajaran, strategi, idea, ragam penindasan dan politik pecah-perintah. Pengalaman baru bersama aliran sosialis telah mengubah perspektif untuk perkara sama.

Pentingnya pedoman ini kerana dua individu berbeza akan memiliki dua perspektif yang berlainan kerana pengalaman yang berpunca daripada usia, pendekatan, persekitaran dan sebagainya. Selain itu, tidak mustahil individu yang sama akan memiliki perspektif yang berbeza dalam kehidupannya.

Pejuang sosialis tidak seharusnya berputus asa terhadap rakyat marhaen yang enggan meninggalkan hegemoni politik perkauman. Pejuang sosialis perlu berusaha mewujudkan pengalaman baru kepada warga marhaen untuk mengikis hegemoni politik perkauman kerana rakyat mampu berubah.

Kepercayaan karut lahir daripada kemiskinan

Dalam tempoh 15 tahun lepas, kepercayaan karut semakin berleluasa dalam kalangan B80 rakyat Malaysia, khususnya golongan bukan Islam, yang telah berjaya dikikis kerana pendidikan umum yang diuruskan yang dibiayai oleh dana awam. Persoalannya, kenapa kepercayaan sebegini telah berkembang semula dengan drastiknya?

Buku “Mengharungi Titik Noktah” mendalami kehidupan warga peneroka bandar yang diasak pemaju dengan restu ahli politik perkauman. Ahli politik enggan menyediakan kemudahan asas sebagai langkah menghalau peneroka bandar dari kampung mereka. Maka, warga peneroka bandar menghadapi pelbagai penyakit kerana diabaikan oleh parti politik perkauman. 

Warga peneroka bandar miskin membawa anak-anak mereka kepada bomoh untuk “dirawat”. Bomoh tersebut memberi “diagnosis” bahawa anaknya diganggu hantu dan perlu “dibersihkan”. Selain itu, kebanyakan anak-anak di kampung peneroka bandar menghadapi penyakit yang sama. Maka, setiap orang bertukar kepada pandangan karut sehingga menjadi sebuah pemikiran umum.

Perkara tersebut masih relevan dengan situasi semasa. Polisi ekonomi berasaskan fahaman neo-liberal yang diperkembangkan melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Barisan Nasional yang dipimpin oleh Najib Razak telah menjadikan yang kaya terus kaya, yang miskin menjadi papa kedana.

ETP mewujudkan sistem ekonomi di mana tarif elektrik dinaikkan setiap 3 tahun, penyumberan luar kerja oleh syarikat kerajaan dipergiatkan, sektor awam dilemahkan kerana dasar pengurangan cukai untuk maha kaya, kolej swasta diperluaskan berserta hutang PTPTN, membenarkan import murah sehingga kilang tempatan ditutup dan pengenalan cukai GST.

Ramai pekerja berpendapatan rendah hilang hala tuju kerana dihimpit kemiskinan keluarga. Selain itu, warga kelas menengah mula menjadi gelisah kerana sedang beransur-ansur ditolak ke dalam kancah kemiskinan. Institusi keagamaan dan industri “pawang/bomoh/dukun” telah cepat memperkuda kepercayaan karut untuk memeras serba sedikit wang daripada kaum pekerja.

Dalam agama Hindu, wujudnya tukang tilik yang meramal nasib baik buruk berdasarkan planet yang dikenali sebagai jadagam. Mereka mula mereka mencipta pelbagai cara untuk membuang nasib buruk, seperti meletak lampu minyak sapi, lampu minyak sapi dengan kulit limau, lampu minyak sapi dengan kelapa, lampu kacang, lampu kacang hitam, lampu kacang hijau dan seribu satu jenis lampu. Ini belum termasuk kalungan pelbagai kacang dan bunga.

Malah, kuil Hindu mengambil peluang untuk mengenakan “tiket” kepada penganut untuk meletak lampu. Segelintir kuil mula mengenakan peraturan di mana lampu tersebut tidak boleh dibawa sendiri dan perlu dibeli di kuil. Malah ada kuil meletakkan pengawal untuk menguatkuasakan peraturan tersebut.

Mungkin kuil ini belajar daripada panggung wayang TGV dan GSC di mana  pelanggan perlu ada tiket sah untuk menonton wayang serta tidak boleh membawa makanan dari luar.

Terdapat pelbagai contoh dalam agama lain termasuk mandi bunga, menghalau jin, Feng Shui, bomoh teka nombor loteri, rumah meditasi dan sebagainya. Selain itu, rakyat berkongsi cerita tentang kepercayaan karut sehingga diterima umum.

Ahli Jawatankuasa (AJK) rumah agama bukan Islam membayar diri mereka gaji sebagai pentadbir NGO agama. Banyak institusi keagamaan yang telah menjadi kaya raya sehingga mula terlibat dalam dunia perniagaan serta melantik diri mereka menjadi Lembaga Pengarah untuk entiti perniagaan.

Namun, rakyat yang “membayar” untuk perkhidmatan karut hanya menjadi lebih miskin kerana mengikut nasihat golongan lintah darat dalam keadaan kegelisahan kemiskinan. Kepercayaan karut tidak dapat dihapuskan dengan pendidikan umum sahaja kerana kegelisahan kemiskinan akan menghumban rakyat ke dalam kancah kepercayaan karut.

Kesimpulan

Sosialis perlu memberi fokus untuk menghancurkan hegemoni perkauman yang diperap dalam minda rakyat untuk memecah-belahkan rakyat. Perpecahan rakyat telah membenarkan kapitalis untuk menekan rakyat ke dalam kemiskinan sehingga kepercayaan karut telah mula berleluasa.

Pejuang sosialis perlu sentiasa mempelajari dan mendalami strategi baru dalam memperjuangkan kebebasan rakyat. Strategi baru tersebut boleh dicedok daripada membaca buku seperti “Mengharungi Titik Noktah” yang boleh diperolehi (pinjam ataupun beli) daripada Kedai Buku Tinta Merah.

==========

Sharan Raj ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *