oleh Wan Zamzahidi bin Wan Zahid

Saya difahamkan bahawa pada 1 Mac yang lalu dalam sidang parlimen, telah diajukan satu soalan berkaitan pekerja kontrak pembersihan sekolah dan hospital yang bertanyakan sama ada perancangan daripada pihak kerajaan untuk menyerapkan mereka semua ke dalam perkhidmatan kerajaan sebagai sebahagian daripada kakitangan awam.

Jawapan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri adalah kerajaan TIDAK MERANCANG untuk menyerap pekerja kontrak kebersihan sekolah dan hospital atas alasan ianya akan menambahkan beban belanjawan kerajaan termasuk dari segi pembayaran pencen.

Sedia maklum, suatu waktu dahulu, pekerja kebersihan sekolah, tukang kebun dan juga pengawal keselamatan adalah merupakan sebahagian daripada kakitangan sekolah, dan kerja mereka diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah itu sendiri, melibatkan guru besar atau pengetua, dan juga guru tugas-tugas khas. Kemudian, perkhidmatan ini telah diswastakan sejak tahun 1984, bertujuan untuk antara lain, membangunkan ekonomi negara, mengurangkan beban kewangan kerajaan dan meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan produktiviti kerja.

Saya telah lama berurusan dalam hal-hal berkaitan permasalahan pekerja kontrak pembersihan dan juga kawalan keselamatan di sekolah dan hospital, ingin menarik perhatian pihak berkenaan berkaitan kenapa kami rasa jawapan daripada pihak kerajaan ini, adalah tidak rasional dan tidak mempedulikan nasib rakyat.

Yang pertama, berdasarkan pengalaman kami, rata-rata syarikat yang mendapat kontrak untuk kerja-kerja ini, adalah syarikat yang tidak berpengalaman dalam bidang ini, dan banyak menimbulkan masalah. Sejak tahun 2014, saya sendiri telah berhadapan dengan pemilik-pemilik syarikat ini yang dari pengamatan saya, tidak mampu menjalankan perniagaan dengan baik, kerana antara lain, gagal menguruskan kewangan dengan baik sehinggakan mereka mencetuskan masalah dengan pekerja yang merupakan aset terpenting syarikat mereka.

Yang kedua, penindasan terhadap pekerja kontrak ini, sangat berleluasa. Masalah-masalah seperti tidak membayar gaji dengan betul, tidak mencarum untuk KWSP dan PERKESO, pengiraan bayaran kerja lebih masa yang tidak betul, kegagalan membayar mengikut kadar gaji minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan banyak lagi kes-kes penindasan yang memangsakan pekerja. Dalam banyak kes, sekiranya pekerja mempersoalkan tentang hak mereka, seperti contohnya tidak dibayar mengikut gaji minimum, pekerja telah diambil tindakan yang menjurus kepada pembuangan kerja terancang (constructive dismissal), iaitu dengan memindahkan mereka ini ke tempat kerja yang jauh. Ada kes di mana, apabila pekerja meminta gaji mereka dibayar dengan betul, pekerja tersebut telah diarahkan berpindah dari Pekan, Pahang, ke Putrajaya atau Perlis, dan ada pekerja dari Temerloh, Pahang, dipindahkan ke Alor Setar di Kedah apabila bertanya tentang perintah gaji minimum. Ini adalah sesuatu yang lebih besar yang perlu dilihat oleh pihak kerajaan, berbanding beban kewangan yang disebut oleh Menteri.

Memburukkan lagi keadaan, kontrak setiap syarikat ini adalah selama dua atau tiga tahun. Apabila pekerja masuk bekerja dengan satu syarikat, mereka akan diberikan gaji pokok pada satu takat tertentu dan selepas setahun, mereka mungkin berpeluang untuk menerima kenaikan gaji. Tetapi apabila kontrak telah tamat, dan syarikat mendapat kontrak baru, pekerja akan ditawarkan kerja semula dengan kadar gaji yang balik pada permulaan. Contohnya, jika sekarang, pekerja ditawarkan mengikut gaji minimum RM1500 sebulan, pada tahun berikutnya, pekerja mendapat kenaikan gaji menjadi RM1550 sebulan, tetapi apabila sampai hujung kontrak, dan syarikat mendapat kontrak yang baharu, pekerja akan ditawarkan gaji asal RM1500 sebulan sepertimana sebelum ini. Dan dalam kebanyakan kes juga, peluang pekerja untuk mendapat semula jawatan itu pun masih samar.

Dalam masa yang sama, saya ingin menyeru kepada pihak kerajaan untuk menilai semula keputusan ini, kerana melihat kepada kos yang terpaksa dikeluarkan untuk sesuatu kontrak itu adalah agak besar, dan sekiranya duit tersebut dibelanjakan secara terus untuk menggajikan pekerja di bawah perkhidmatan awam, akan lebih menjimatkan belanja pihak kerajaan. Bagi setiap seorang pekerja pembersihan yang disediakan, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah hampir RM2800 sebulan, dan pekerja hanya mendapat sekitar RM1800 hingga RM2000, dan selebihnya adalah milik syarikat atas nama belanja pengurusan. Terdapat sesetengah syarikat yang menerima bayaran daripada kerajaan untuk meletakkan lapan orang pekerja tetapi hanya meletakkan enam orang pekerja. Syarikat ini menikmati duit lebihan daripada dua orang pekerja yang tidak wujud, tetapi menindas pekerja untuk mereka bekerja bagi pihak dua orang yang tidak wujud tersebut. Secara ringkasnya, beban kerja untuk lapan orang, terpaksa ditampung oleh enam orang pekerja tersebut. Ini semua jelas merugikan pihak kerajaan dan dalam masa yang sama menafikan hak-hak pekerja.

Pihak Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah lama mengusulkan agar pekerja-pekerja kontrak kebersihan dan kawalan keselamatan di sekolah dan hospital ini untuk diserap semula menjadi sebahagian daripada kakitangan awam, bagi tujuan penjimatan kos dan juga memastikan nasib pekerja terpelihara. Kami telah bertemu dengan YB Dr Maszlee Malik pada 29 Mac 2019, sewaktu beliau adalah Menteri Pendidikan Malaysia, bagi menyatakan usulan ini dan telah disambut baik oleh beliau, bagaimanapun, tidak lama selepas itu, beliau tidak lagi menjadi Menteri Pendidikan dan usaha ini telah senyap begitu sahaja.

Besar harapan kami, agar pentadbiran kerajaan yang bercogankata MADANI ini, untuk menilai semula keputusan ini, dan melakukan yang terbaik dan sepatutnya untuk memastikan nasib rakyat terutama pekerja daripada golongan B40 ini terbela dan bukan berada dalam keadaan ketakutan memikirkan nasib mereka sepanjang masa.

==========

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid ialah Ahli Jawatankuasa Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Ahli Perhubungan Negeri Pahang bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *