Gaji sebenar pekerja dan kuasa beli isi rumah pekerja telah mengalami kemerosotan yang ketara dalam tempoh 3 tahun yang lalu, pada awalnya oleh kerana pandemik COVID-19, dan kemudiannya apabila ekonomi dunia mula pulih daripada krisis, inflasi pula meningkat di seluruh dunia. Perkara ini telah diketengahkan dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) baru-baru ini.
Menurut “Laporan Gaji Global 2022-2023: Impak inflasi dan COVID-19 ke atas gaji dan kuasa beli” yang diterbitkan oleh ILO pada 30 November 2022, data dari lebih kurang 30 buah negara yang merangkumi semua rantau dan kumpulan pendapatan menunjukkan bahawa, secara puratanya, pekerja-pekerja yang menerima gaji telah kehilangan bayaran gaji kira-kira 6 minggu pada tahun 2020-2021. Kehilangan gaji ini adalah lebih besar dalam kalangan pekerja wanita, pekerja dalam sektor ekonomi tidak formal, pekerja bergaji rendah serta pekerja di negara berpendapatan rendah dan menengah.
Laporan ILO ini menunjukkan bahawa pada separuh pertama tahun 2022, inflasi meningkat lebih cepat di negara-negara berpendapatan tinggi berbanding negara-negara berpendapatan rendah dan menengah, maka membawa kepada trend perubahan gaji sebenar yang berbeza mengikut rantau. Di Amerika Utara, purata pertumbuhan gaji sebenar menurun kepada sifar pada tahun 2021 dan menjunam lagi kepada -3.2% pada separuh pertama tahun 2022. Di Kesatuan Eropah di mana wujudnya skim pengekalan pekerjaan dan subsidi gaji yang sebahagian besarnya dapat melindungi pekerjaan dan paras gaji semasa pandemik, pertumbuhan gaji sebenar meningkat kepada 1.3% pada tahun 2021, tetapi menurun kepada -2.4% pada separuh pertama tahun 2022. Di rantau Asia dan Pasifik (yang termasuk Malaysia), pertumbuhan gaji sebenar meningkat kepada 3.5% pada tahun 2021, tetapi merosot pada separuh pertama tahun 2022 kepada 1.3%. Apabila China dikecualikan daripada pengiraan – memandangkan saiz ekonominya yang agak besar di rantau Asia dan Pasifik – pertumbuhan gaji sebenar adalah jauh lebih rendah, menjadikannya 0.3% pada tahun 2021 dan 0.7% pada separuh pertama tahun 2022.
Krisis inflasi teruk yang digabungkan dengan kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi sedunia, yang disebabkan sebahagiannya oleh perang di Ukraine dan krisis tenaga sedunia, telah menyebabkan penurunan gaji sebenar pekerja di banyak negara. Krisis ini telah mengurangkan kuasa beli golongan kelas menengah dan menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah dengan teruknya. Laporan ILO menganggarkan pertumbuhan gaji bulanan sedunia yang sebenar telah menurun kepada -0.9% pada separuh pertama tahun 2022. Ini ialah kali pertamanya dalam abad ke-21 di mana pertumbuhan gaji global sebenar ialah negatif!
Dalam kalangan negara-negara maju G20, gaji sebenar pada separuh pertama tahun 2022 dianggarkan telah menurun kepada -2.2%, sementara gaji sebenar di negara-negara pesat membangun G20 hanya meningkat sebanyak 0.8%, iaitu 2.6% kurang berbanding tahun 2019 (sebelum berlakunya pandemik COVID-19).
“Pelbagai krisis global yang kita sedang hadapi telah membawa kepada penurunan dalam gaji sebenar. Ia menyebabkan puluhan juta orang pekerja berada dalam keadaan yang teruk kerana mereka berhadapan dengan ketidaktentuan yang semakin meningkat,” kata Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah ILO. “Ketidaksamarataan pendapatan dan kemiskinan akan meningkat sekiranya kuasa beli golongan yang bergaji paling rendah tidak dikekalkan. Tambahan pula, pemulihan pasca pandemik yang amat diperlukan mungkin akan menghadapi risiko. Ini boleh mecetuskan kekacauan sosial selanjutnya di seluruh dunia dan menjejaskan matlamat untuk mencapai kemakmuran dan keamanan bagi semua.”
Krisis kos sara hidup melanda bersampingan dengan kehilangan gaji pekerja yang signifikan semasa krisis pandemik COVID-19, di mana golongan berpendapatan rendah menerima kesan yang terbesar. Peningkatan kos sara hidup menjejaskan kehidupan pekerja-pekerja bergaji rendah dan keluarga mereka, kerana mereka membelanjakan sebahagian besar pendapatan boleh guna mereka dalam pembelian barangan dan perkhidmatan penting yang mengalami peningkatan harga yang lebih besar berbanding barangan yang tidak penting.
Inflasi juga menjejaskan kuasa beli golongan pekerja yang menerima gaji minimum. Menurut anggaran Laporan Gaji Global 2022-2023, walaupun pelarasan nominal telah dibuat, tetapi inflasi harga barangan yang hebat sedang menghakis nilai sebenar gaji minimum dengan cepatnya di banyak negara. Dalam erti kata lain, pelarasan gaji minimum itu tidak mencukupi untuk pekerja-pekerja berpendapatan rendah yang dibebani dengan kos sara hidup yang meningkat.
Analisis ILO menunjukkan bahawa wujudnya keperluan yang terdesak untuk mengaplikasikan langkah-langkah dasar yang direka bentuk dengan baik untuk membantu dalam mengekalkan kuasa beli dan taraf hidup pekerja-pekerja yang bergaji dan keluarga mereka.
Pelarasan kadar gaji minimum yang mencukupi boleh menjadi alat yang berkesan, memandangkan 90% daripada negara-negara anggota ILO mempunyai sistem gaji minimum. Dialog sosial tiga triparti dan rundingan bersama yang mantap juga boleh membantu dalam mencapai pelarasan gaji yang sesuai dan mencukupi pada ketika berlakunya krisis.
Dasar-dasar lain yang boleh mengurangkan kesan krisis kos sara hidup ke atas isi rumah pekerja berpendapatan rendah termasuk langkah-langkah yang mensasarkan kumpulan tertentu, seperti memberi baucar kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk membantu mereka dalam membeli barangan keperluan penting, atau mengurangkan kadar cukai tambah nilai (VAT) ke atas barangan penting ini untuk mengurangkan beban inflasi yang ditanggung oleh isi rumah berpendapatan rendah sementara juga membantu dalam menurunkan inflasi.
“Kita harus memberi perhatian kepada pekerja-pekerja yang berada di bahagian menengah dan rendah dalam tangga gaji. Melawan kemerosotan gaji sebenar boleh membantu dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya dapat membantu dalam memulihkan tahap pekerjaan yang wujud sebelum pandemik. Ini boleh menjadi cara yang berkesan untuk mengurangkan kebarangkalian atau kedalaman kemelesetan di semua negara dan rantau,” kata Rosalia Vazquez-Alvarez, salah seorang penulis laporan ILO terbaru ini.
Di Malaysia, walaupun kerajaan telah melaraskan gaji minimum kepada RM1,500 mulai bulan Mei 2022, namun masih terdapat ramai pekerja yang belum dibayar mengikut kadar gaji minimum baharu ini, termasuklah pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (seperti kawalan keselamatan dan kebersihan bangunan) yang bekerja di premis-premis kerajaan sendiri seperti sekolah dan hospital. Jika pihak kerajaan serius dalam menangani krisis kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat, maka harus meningkatkan gaji pekerja-pekerja ini kepada kadar gaji minimum baharu dan membayar semua tunggakan gaji minimum yang belum dibayar sejak bulan Mei 2022.