(foto: BERNAMA)

Kenyataan media oleh Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali dan banjir di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Bencana sedemikian sekali lagi mengingatkan kita betapa pentingnya untuk Kerajaan menyedari tentang realiti alam sekitar yang berada dalam keadaan genting. 

Amat jelas bahawa kesan krisis iklim di Malaysia semakin serius setiap tahun. Tragedi Batang Kali membuktikan bahawa jika aktiviti pembalakan dan pembangunan tidak mampan diteruskan di lokasi-lokasi persekitaran, maka kejadian tanah runtuh akan berlaku apabila kekurangan liputan tumbuh-tumbuhan di lereng bukit dan tempat takungan air dimusnahkan.

PSM menyeru kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk mengisytihar Darurat Iklim dengan segera agar kemerosotan keadaan persekitaran hutan, tebing bukit, sungai dan perairan kita diutamakan. Hanya dengan deklarasi sedemikian, maka Kerajaan akan mengadakan tindakan segera dan bukannya mengendalikan urusan Jabatan dan Kementerian berkenaan seperti biasa sahaja (“business as usual”).

Selain itu, beberapa kawasan di Pantai Timur juga memerlukan lebih banyak perhatian daripada pihak kerajaan. Di Terengganu, keadaan banjir semakin serius kerana jumlah mangsa banjir meningkat secara mendadak dari 11,415 orang sehingga 19,601 orang dalam tempoh masa hanya sehari, dan usaha penyelamatan juga susah dilakukan akibat cuaca yang buruk dan jalan juga telah ditenggelami air. Banyak mangsa masih terperangkap di rumah mereka, dan mereka terpaksa meminta bantuan daripada orang awam melalui media sosial.

Oleh itu, amat penting untuk kerajaan menggubal dasar yang mengutamakan kelestarian alam sekitar supaya mengelakkan tragedi sebegini. Kita perlukan sistem yang lebih telus dan demokratik untuk melibatkan organisasi masyarakat sivil, orang awam dan juga komuniti Orang Asli dalam proses pembangunan negeri. Usaha ini bertujuan untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang supaya kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek pembangunan yang memusnahkan alam sekitar.

Kami berharap tragedi tanah runtuh dan banjir besar menjadi amaran kepada kerajaan dan juga rakyat Malaysia bahawa sistem kapitalis yang hanya berlandaskan keuntungan tanpa menjaga alam sekitar dan kesejahteraan rakyat hanya akan menyebabkan rakyat marhaen merana. Oleh itu, amat penting untuk kita menggubal dasar negara dan dasar ekonomi yang lebih mampan dan manusiawi demi kebaikan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *