oleh S. Arutchelvan

Saya adalah antara orang yang mahu melihat Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, dan saya melihat beliau mempunyai kewibawaan ini berbanding dengan pilihan lain yang kita ada di atas meja. Saya juga berpendirian bahawa Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang menang paling banyak kerusi harus diberi peluang pertama untuk membentuk Kerajaan Persekutuan; begitu juga di negeri Perak, Perikatan Nasional (PN) sebagai parti yang menang kerusi terbanyak patut diberi peluang pertama untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak.

Namun demikian, cara PH cuba menjustifikasi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) amat menjijikkan dan ia merupakan satu proses pembodohan rakyat Malaysia yang berketerlaluan. Tiba-tiba naratif tentang BN bertukar wajah 180 darjah dan kita harus menerimanya?

Sebelum ini, PSM ingin mengadakan pakatan pilihan raya dengan PH berdasarkan sebab ia adalah gabungan terbaik dan paling progresif berbanding dengan tiga gabungan yang lain, iaitu BN, PN dan Gerakan Tanah Air (GTA). Walaupun kerjasamana pembentukan pakatan pilihanraya dengan PH tidak berjaya, namun PSM mengambil langkah untuk tidak bertanding di kerusi sandaran PH dan mengambil keputusan berdiri di kawasan kubu kuat BN, iaitu di kawasan Parlimen Rembau dan kawasan DUN Ayer Kuning di Perak. Kempen kami pula mendesak rakyat untuk memilih satu alternatif yang inklusif dan meletakkan kepentingan rakyat marhaen di depan.

Pada 19 November 2022, kami dan ramai lagi dikejutkan dengan kemenangan besar PN dan juga parti PAS yang berjaya meningkatkan jumlah kerusi daripada 18 kepada 49. Ini adalah satu keputusan yang luar biasa. Walaupun keputusan ini akan menggerunkan ramai orang terutamanya mereka dari Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan juga golongan yang bukan Melayu, tetapi nampaknya dengan jelas bahawa masyarakat Melayu telah menolak BN dan PH, dan mereka memilih PN sebagai parti yang boleh dipercayai dan mewakili kepentingan mereka. Walaupun keputusan ini bukan sesuatu yang sepadan dengan selera politik saya, tetapi kita harus menerima mandat rakyat dan belajar daripada itu. Ada yang memberikan komen bahwa pengundi adalah bodoh dan ada pula yang mengatakan bahawa pengundi 18 terlalu muda dan terpengaruh dengan video tiktok PN. Namun, kita harus secara matangnya menerima mandat rakyat dan bukan memaparkan keangkuhan kita.

Kemungkinan besar rakyat majoriti Melayu menolak BN kerana ia adalah parti yang korup dan diketuai oleh kleptokrat. Namun, mereka juga melihat parti PN sebagai parti yang dapat mewakili kepentingan mereka. Maka PH kena buat bedah siasat untuk membincangkan mengapa rakyat tidak memilih PH.

Namun, apa yang tidak kena adalah apabila PH cuba menyajikan kita satu naratif baharu bahawa tiba-tiba PN adalah ancaman utama manakala UMNO-BN bukannya masalah utama. Lagu “Hoi hoi ya hoi, siapa sokong penyamun” yang menjadi lagu tema kempen PKR dan PH tidak lagi menjadi isu. Pandangan Rafizi bahawa PH kena membina kekuatan sendiri tidak lagi relevan.

Ini adalah cara yang sama digunakan oleh mereka pada satu masa dahulu untuk menghalalkan Tun Dr. Mahathir. Walaupun pada masa itu, kami menegur PH, mereka mengatakan bahawa Tun Mahathir sudah pun berubah. Kemudiannya apabila kerajaan PH kecundang selepas 22 bulan, mereka menyalahkan Mahathir di mana semuanya adalah salah Mahahtir. Hari ini pula tanpa segan malu, mereka berpelukan dengan BN dan memaksa rakyat Malaysia untuk menerima satu lagi naratif bahawa musuh utama kita adalah PAS dan PN. Tiba-tiba semua kesalahan Zahid dan BN selama ini seperti disucikan atau tidak lagi menjadi isu. Kini mulalah naratif bahawa PH dan BN adalah kombinasi terbaik. Ada juga pemimpin DAP yang menyanjung kerajaan campuran PH dan BN di Perak sebagai demi negara dan rakyat.  Semuanya demi kuasa dan kedudukan.

Kami faham bahawa dalam sandiwara ini, agenda utamanya hanyalah satu, iaitu PH mahu berkuasa dan menjadikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10. Teorinya “the end justifies the means” (matlamat akhir menjustifikasi kaedah yang digunakan).

Namun demikian, dalam proses kita berbuat demikian, undi rakyat biasa langsung tidak dihormati. Kita mengajar ramai rakyat turut melibatkan diri dalam proses pilihan raya tetapi setelah rakyat mengundi, keputusan utama selebihnya diambil dalam hotel-hotel. Kali ini di Hotel Seri Pacific. Langsung tidak ada pendidikan atau keikhlasan untuk menerangkan kepada rakyat dan juga ahli-ahli parti mengapa PH hendak bekerjasama dengan BN. Saudara Rafizi yang setiap hari membuat pendidikan kepada rakyat melalui pelbagai media nampaknya sunyi dan sepi. 

Proses “Kita Boleh” memberikan naratif sesuka hati hanya akan menyebabkan rakyat berasa muak dengan proses demokrasi dan pilihan raya umum. Rakyat biasa sebenarnya hanya menjadi penghias demokrasi dan langsung tiada kuasa dalam menentukan apa-apa.

PH mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka mengambil langkah bekerjasama dengan BN dan apakah bentuk kerajaan yang akan dibentuk nanti. Proses memperbodohkan rakyat perlu berhenti. Sekurang-kurangnya PH seharusnya mempunyai keberanian untuk membentuk kerajaan minoriti atau sekurang-kurangnya menjadi blok pembangkang tegar dan bermaruah. Bertenggek kepada BN hanya memberikan kredit kepada mereka dan menyucikan mereka, dan pada masa yang sama melemahkan agenda pembaharuan.

=========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on ““KITA BOLEH” tukar naratif sesuka hati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *