oleh Arveent Kathirtchelvan

Pemuda Sosialis memandang situasi rakyat Malaysia yang kini berpecah-belah sebagai satu kesan politik kepartian yang memfokus kepada sentimen perkauman dan diskriminasi kaum. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kita menyaksikan tren yang amat membimbangkan, di mana kejadian 13 Mei, satu titik hitam dalam sejarah Malaysia, diuar-uarkan untuk kembali sebagai suatu respon terhadap kemenangan sesuatu parti politik. Tren ini kelihatan seakan-akan dirancang secara sistematik oleh sesuatu kumpulan supaya menjadi viral dalam media sosial. Insiden sebegini mesti disiasat untuk mengetahui siapa yang merupakan dalangnya.

Dalam pada ini, Pemuda Sosialis sebagai sebuah organisasi yang diwakili oleh ahli pelbagai kaum dan agama, ingin merayu kepada rakyat Malaysia supaya sentiasa memandang satu sama lain sebagai manusia dahulu, bukannya pihak lawan atau musuh. Kita semua berada dalam dunia ini bukan berseorangan atau satu kaum sahaja. Kita semua bersaudara, perlu membantu satu sama lain dalam membina sebuah masa hadapan yang lebih cerah untuk anak-anak kita, bukannya yang penuh keganasan, sangkaan buruk dan perpecahan.

Sebagai sebuah organisasi politik di Malaysia juga, kami ingin mengambil tanggungjawab untuk menjadi sebahagian daripada solusi kemelut ini. Oleh itu, kami menjemput rakan-rakan kami yang sehaluan pandangan supaya bersama-sama fokus dalam mewujudkan situasi yang aman di Malaysia antara kaum dan agama. Segala retorik perpecahan harus kami balas dengan pencerahan yang menyatukan orang ramai. Kita daripada pelbagai kaum, agama dan organisasi harus ketepikan dahulu apa-apa perselisihan faham yang kita ada supaya rakyat dapat bersatu sebagai sebuah keluarga.

Marilah fokus kepada tuntutan rakyat marhaen yang memerlukan solusi ekonomi dan mempopularkan politik kelas, iaitu politik memfokus kepada pemerkasaan golongan pekerja, petani, nelayan dan marhaen dalam menentang penindasan tanpa adanya retorik kaum. Jikalau kita tidak melakukan ini, solusi palsu yang memfokus kepada perpecahan kaum akan dijual dan tular lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah cukuplah kita berpecah, ayuh bersatu!

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *