AIR KUNING, PERAK – 13 NOVEMBER 2022: Pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital di negeri Perak menyeru kepada pengundi-pengundi di kawasan DUN N48 Ayer Kuning supaya menyokong Bawani KS, seorang calon yang tegas dan komited dalam usaha membela nasib pekerja.

Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini oleh Bawani KS selaku calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak bersama-sama barisan kepimpinan Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS). Turut hadir dalam sidang akhbar ini ialah Roziah Hashim selaku Presiden NUWHSAS, Rosni Montha selaku Bendahari NUWHSAS, Fauziah Ibrahim selaku Ahli Jawatankuasa NUWHSAS dan M. Sarasvathy selaku Setiausaha Eksekutif NUWHSAS.

Roziah Hashim (yang pegang mikrofon) menyatakan sokongannya kepada Bawani (kedua dari kanan).

“Bawani telah terlibat dalam banyak perjuangan menegakkan hak pekerja, termasuk perjuangan yang akhirnya mewujudkan gaji minimum,” kata Roziah Hashim, Presiden NUWHSAS. “Gaji minimum yang kita nikmati hari ini ialah hasil perjuangan rakyat. Namun, kadar gaji minimum RM1,500 sekarang masih tidak mencukupi bagi pekerja-pekerja untuk sara hidup. Kita perlu terus berjuang lagi.”

Mengulas tentang Bawani, Roziah berkata, “Bawani ialah peguam rakyat yang banyak mewakili pekerja dalam kes-kes mahkamah dan membantu kesatuan kami,” kata Roziah Hashim, Presiden NUWHSAS. “Beliau sentiasa memberi masa dan komitmennya kepada perjuangan kesatuan. Apabila kami perlukan bantuannya, beliau akan turun tidak kira apa keadaan pun. Kami berasa bangga bahawa saudari Bawani bertanding dalam pilihan raya ini. Kami menyeru pada pengundi-pengundi kawasan DUN Ayer Kuning supaya menyokong Bawani.”

M. Sarasvathy (kedua dari kanan) menyeru pengundi kawasan DUN Ayer Kuning untuk menyokong Bawani.

“Kesatuan sekerja ialah nadi pekerja, tetapi sekarang ini hanya 6% pekerja di Malaysia menganggotai kesatuan,” kata M. Sarasvathy. “Bawani telah banyak membantu dalam usaha membangunkan kesatuan pekerja. Sekarang kita perlukan suara yang dapat mewakili pekerja ini masuk ke dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang membolehkan rakyat marhaen hidup secara bermaruah.”

“Sekarang ini jurang antara golongan kaya dan golongan miskin semakin melebar, kerana tiadanya undang-undang yang benar-benar menjaga 99% rakyat bawahan,” tambah Sarasvathy. “Oleh itu, kami merayu kepada pengundi-pengundi di kawasan DUN Ayer Kuning untuk mengundi saudari Bawani yang sentiasa bersama rakyat supaya dia dapat membawa suara marhaen ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak.”

“PSM cuba menggunakan platform pilihan raya ini untuk mengetengahkan isu rakyat marhaen, dan hari ini isu yang kami hendak bangkitkan ialah sistem kontrak penyumberan luar di hospital kerajaan yang memangsakan pekerja bawahan,” kata Bawani, calon PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning di Perak. “Sistem kontrak ini sangat bermasalah. Ia tidak harus digunakan untuk pekerja-pekerja tetap seperti pekerja pembersihan di hospital yang diperlukan secara berterusan sepanjang masa.”

“Sebelum ini, pekerja-pekerja pembersihan di hospital ialah pekerja kerajaan. Selepas Bapa Penswastaan, Dr. Mahathir, menswastakan perkhidmatan sokongan di hospital kerajaan pada tahun 1990-an, pekerja-pekerja ini dijadikan pekerja kontrak yang tiada jaminan kerja,” ulas Bawani. “Sistem kontrak memangsakan pekerja. Sistem kontrak harus dimansuhkan. Pekerja-pekerja kontrak harus diserapkan semula sebagai pekerja yang diupah langsung oleh kerajaan. Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri boleh menghapuskan sistem kontrak di semua premis di bawah bidang kuasanya.”

Bawani KS menyokong perjuangan pekerja menghapuskan sistem kontrak.

One thought on “Pekerja pembersihan hospital Perak sokong Bawani di Ayer Kuning

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *