REMBAU, NEGERI SEMBILAN – 11 NOVEMBER 2022: Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan Buku Panduan Kepada Dasar-dasar PSM pada hari ini dalam satu sidang media yang diadakan di Rembau. Sidang media ini dihadiri oleh Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM dan S. Tinagaran @ Cikgu Tina yang merupakan calon PSM untuk kawasan Parlimen P131 Rembau.

Buku Panduan Kepada Dasar-dasar PSM (A Guide to PSM Policies) dengan lebih 100 muka surat ini ialah koleksi pendirian dan cadangan yang diambil oleh PSM dalam pelbagai isu meliputi 27 topik penting, seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, keterjaminan makanan, hubungan etnik, perjanjian perdagangan antarabangsa, perubahan iklim, pengangkutan awam, pendanaan awam untuk parti politik dan sebagainya. Buku panduan ini disediakan oleh Biro Kajian Dasar PSM.

“Terdapat beberapa sumber kepada posisi-posisi yang diambil oleh PSM ini,” kata Dr. Jeyakumar ketika melancarkan Buku Panduan Kepada Dasar-dasar PSM. “Salah satunya ialah kerja-kerja yang pernah dilakukan oleh PSM dalam pelbagai sektor. Misalnya berkenaan isu perumahan, kami pernah bekerja dengan komuniti seperti masyarakat peneroka bandar, penghuni rumah pangsa, penduduk ladang yang menghadapi pengusiran dan sebagainya. Berasaskan tuntutan-tuntutan daripada komuniti ini, kami membangunkan posisi kami berkenaan perumahan. Satu lagi sumber posisi kami datang daripada perbincangan meja bulat yang diadakan bersama dengan kumpulan masyarakat madani dan individu yang prihatin, untuk membincangkan isu-isu seperti perjanjian perdagangan antarabangsa, perubahan iklim dan sebagainya.”

“Dokumen ini bukannya sesuatu yang terpahat di atas batu nisan. Ia ialah sebuah program tentatif yang diperjuangkan oleh PSM pada masa ini, tetapi kami mengharapkan cadangan idea yang lebih lanjut dan perbincangan yang lebih mendalam lagi, supaya kami boleh mengubahsuainya mengikut keadaan,” ulas Dr. Jeyakumar. “Ia ialah sebuah dokumen yang hidup.”

“PSM mempunyai wawasan jangka panjang untuk membawa dasar-dasar yang progresif dan mesra alam,” kata Dr. Jeyakumar. “Namun, untuk berbuat demikian, kita harus mampu menangani ekonomi moden yang kompleks yang saling berkait dengan ekonomi global. Kita perlu memahami banyak perkara. Panduan ini ialah satu langkah menuju ke arah ini.”

PSM ialah sebuah parti yang mempunyai misi untuk mentransformasi Malaysia – untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, saksama, harmoni dan mampan secara ekonomi. Untuk mencapai matlamat ini, PSM terus berusaha merangka dan memperhalusi rancangan dan dasar untuk menangani semua isu yang berkaitan dengan pengurusan masyarakat dalam abad ke-21.

“Jika kita tidak mempunyai rakyat yang mempunyai kecelikan yang cukup dalam isu-isu masyarakat, sukar untuk demokrasi berkembang. Demokrasi begitu hanya orang membuat keputusan mengikut emosi dan demokrasi akan menemui kegagalan,” tambah Dr. Jeyakumar. “Dokumen ini bukan hanya untuk ahli-ahli PSM, tetapi juga untuk masyarakat awam supaya semua dapat membincangkan topik-topik dalamnya dan membina kecelikan politik kita. Kami berpandangan bahawa ia akan menambah nilai kepada proses politik di negara kita. Kami berharap adanya lebih banyak perbincangan tentang dasar-dasar ini, bukan hanya pada ketika pilihan raya sahaja, tetapi selepasnya juga.”

Panduan Kepada Dasar-dasar PSM boleh dimuat turun di sini: (buku panduan ini sedang dalam proses diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu)

One thought on “PSM lancar buku panduan menuju masyarakat progresif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *