PEKAN PEDAS, NEGERI SEMBILAN – 9 NOVEMBER 2022: Kawasan Parlimen Rembau yang berada di bawah Menteri Kesihatan sebelum ini sedang dihantui dengan masalah gangguan lalat yang membimbangkan. Isu ini telah didedahkan oleh S. Tinagaran @ Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan Parlimen P131 Rembau, dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Medan Selera Pekan Pedas pada hari ini dalam keadaan yang dikelilingi lalat.

Tiada satu isu adalah remeh untuk Cikgu Tina. Sejak minggu lalu, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan, terutamanya kawasan Pekan Pedas, Chembong dan Pekan Rembau mengenai isu serangan lalat yang teruk.

“Isu lalat ini telah menjadi semakin serius dalam setahun yang lalu,” kata Cikgu Tina. “Dalam tinjauan kami dengan penjaja-penjaja di kawasan ini, adalah didapati bahawa perniagaan mereka semakin hari semakin merosot kerana masalah lalat yang serius. Periuk nasi peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja sedang terancam.”

Cikgu Tina dan anggota pasukannya sendiri dapat merasai gangguan lalat ini di Bilik Gerakan PSM Rembau.

Cikgu Tina mempamerkan lalat yang dikutip di Bilik Gerakan PSM Rembau dari pukul 8.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari ini (9 November 2022).

Oleh itu, Cikgu Tina melancarkan kempen mengutip tandatangan bagi petisyen yang ditujukan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau untuk menyelesaikan masalah lalat yang teruk di Daerah Rembau. Cikgu Tina dan PSM Rembau akan berusaha untuk mengutip tandatangan daripada penduduk-penduduk di kawasan Parlimen Rembau yang diganggu oleh masalah lalat. Petisyen ini akan diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau pada 15 November 2022.

Cikgu Tina mengesyaki bahawa serangan lalat ini berpunca daripada beberapa reban ayam yang berdekatan. Beberapa syarikat mempunyai reban ayam yang menternak lebih 10 ribu ekor ayam di kawasan ini. Walau bagaimanapun, Cikgu Tina menggesa pada Pejabat Kesihatan untuk melakukan kajian yang teliti untuk mengenal pasti punca sebenar lalat yang banyak ini dan mengambil tindakan yang sesuai untuk mengatasinya.

“Kami amat berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya rezeki peniaga-peniaga kecil tempatan dapat dilindungi dan kesihatan penduduk-penduduk tempatan dapat terjamin,” kata Cikgu Tina. “Kami berharap pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan, mengambil tindakan yang sewajar secepat mungkin untuk membela nasib penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga di sini.”

Petisyen yang dilancarkan oleh Cikgu Tina ini juga boleh ditandatangani secara atas talian di sini.

Peniaga kecil tempatan memberi sokongan kepada petisyen untuk menangani masalah gangguan lalat.

2 thoughts on “Lalat hantui Rembau – Cikgu Tina lancar kempen kutip tandatangan gangguan lalat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *