oleh Gandipan Nantha Gopalan

1. Pemuda Sosialis memandang serius ketidakcekapan dan ketidaksediaan Rapid KL dalam menangani krisis operasi LRT. Reaksi Rapid KL selepas LRT mengalami gangguan teknikal sangat mengejutkan dan menyedarkan kita bahawa Rapid KL telah kehilangan kapasiti untuk menangani krisis.

2. Pemuda Sosialis menggesa Amir Hamdan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail di bawah Prasarana Malaysia Berhad untuk meletak jawatan. Tidak wajar untuk Amir Hamdan meneruskan posisinya sebagai CEO selepas lebih sejuta orang pekerja dan penumpang mengalami kesusahan dan gangguan rutin harian, terutamanya pada musim hujan ini. Kerajaan yang akan datang harus melabur lebih banyak wang dalam meningkatkan kapasiti bas Rapid dan kecekapan LRT supaya ia tidak mengalami gangguan teknikal secara kerap.

3. Dasar pengangkutan awam adalah sesuatu yang sangat penting, namun tidak banyak dibincangkan dalam arena politik. Pemuda Sosialis memahami bahawa hampir semua parti politik di luar sana memang tidak ada dasar yang komprehensif untuk mengendali sistem pengangkutan di negara kita. Pilihan raya inilah masa yang tepat untuk rakyat menggesa parti-parti politik untuk mengambil posisi berkenaan sistem pengangkutam awam ini.

4. Ketidakcekapan syarikat Prasarana ini adalah hasil pendekatan ekonomi kapitalis neoliberal di mana kerajaan hanya memandang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai gedung politik dan tempat memberi jawatan dengan gaji beribu-ribu ringgit selepas menawan Putrajaya tetapi bukan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat biasa dan meningkatkan kecekapan dengan melabur lebih. Pendekatan ini harus ditukar dan pelaburan harus ditingkatkan untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam.

5. Sehubungan dengan ini, Malaysia harus secara serius mendukung pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama, dan patut menyediakan sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang dalam rancangan pengangkutan untuk mengurangkan kebergantungan pada pengangkutan sendiri seperti kereta, motosikal dan sebagainya. Kerajaan Malaysia harus menganggap pengangkutan awam yang berkos rendah dan berkualiti tinggi sebagai hak asasi penduduk Malaysia.

6. Satu penilaian bebas harus dilakukan untuk semua projek Prasarana untuk mendapat tahu tentang kekurangannya dan laporan ini harus dibentangkan kepada orang ramai. Segala kekurangan yang dikenalpasti harus dibaiki dalam tempoh 6 bulan selepas laporan penyiasatan ini.

7. Darurat Iklim harus diisytihar serta-merta memandangkan betapa terkesannya sistem pengangkutan awam terhadap kesan perubahan iklim. Kelemahan ini harus dikenal pasti dan segala keperluan menanganinya patut diwujudkan segera.

8. Sistem kereta api LRT, MRT dan Komuter harus diperkukuhkan dengan pembangunan sistem bas (BRT) yang mencukupi untuk memastikan setiap warga Malaysia yang ingin mengambil pengangkutan awam tidak terkekang dengan kekurangan “sambungan batu terakhir” (last-mile transit).

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *