Kenyataan media oleh Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyampaikan salam takziah ke atas pemergian seorang tokoh pejuang hak asasi manusia, Filep Karma. Mayat Filep Karma ditemui di Pantai Base G, Jayapura, pada 1 November 2022 selepas melakukan hobi menyelam di kawasan berkenaan.
Punca sebenar kematian Filep Karma masih dalam siasatan. Walau bagaimanapun, kematiannya telah mengejutkan rakyat Papua dan komuniti aktivis akar umbi di Indonesia dan sekitar rantau Pasifik.
Selain itu, Filep Karma juga seorang bekas tahanan politik Papua Barat yang terkenal kerana memperjuangkan kemerdekaan Papua daripada cengkaman Indonesia. Pengilhakan wilayah Papua Barat ke dalam Indonesia merupakan hasil daripada percaturan kuasa besar semasa Perang Dingin. Impian warga Papua untuk sebuah negara Papua Barat yang merdeka telah dihancurkan oleh Perjanjian New York 1962.
Ramai warga Papua Barat telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk menentukan nasib sendiri, melalui pelbagai aksi, termasuk mengibarkan bendera Bintang Kejora pada 1 Disember setiap tahun. Sejak pengilhakan Papua Barat oleh Indonesia, penindasan dan sentimen perkauman diapi-apikan secara sistematik oleh pihak tentera dan polis Indonesia. Dianggarkan sebanyak 500,000 orang warga Papua telah dibunuh oleh tentera Indonesia yang menindas usaha mereka untuk menuntut pemerintahan sendiri.
Pada 1 Disember 2004, Filep Karma menyertai upacara menaikkan bendera Bintang Kejora untuk kali keduanya. Pasukan keselamatan Indonesia telah menembak ke arah orang ramai, membunuh aktivis yang pro-kemerdekaan dan Karma sekali lagi ditangkap atas tuduhan pengkhianatan terhadap negara Indonesia dengan hukuman penjara selama 15 tahun. Namun, beliau telah diberikan pembebasan awal pada 19 November 2015, setelah dipenjarakan selama 11 tahun.
Veronica Koman, seorang peguam hak asasi manusia menyifatkan Filep Karma sebagai seorang aktivis yang berbelas kasihan, berani dan penuh kebijaksanaan. Pemergian beliau merupakan satu kerugian besar kepada masyarakat Indonesia, terutamanya rakyat Papua Barat. Mayatnya akan dijalani bedah siasat seperti yang diberitahu oleh Frits Ramandey daripada Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Indonesia.
Memandangkan terdapat sejarah keganasan negara yang menyasarkan aktivis Papua yang gagah bersuara, PSM berharap siasatan ke atas kematian Filep Karma akan diteliti secara adil dan tanpa campur tangan pihak tertentu. Kami juga mencadangkan bahawa pasukan bebas yang melibatkan organisasi antarabangsa yang boleh dipercayai harus dibentuk untuk membantu dalam penyiasatan.
Akhir sekali, sebagai kesinambungan aspirasi Filep Karma dan solidariti dengan rakyat Papua Barat, PSM sekali lagi menyeru kerajaan Indonesia untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat Papua Barat yang tidak henti-henti menyuarakan tuntutan mereka untuk menentukan nasib sendiri serta mengiktiraf dan menghormati tuntutan tersebut.
Salam Perjuangan!