oleh S. Arutchelvan

Pada 30 Oktober lalu, iaitu 5 hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung menggagalkan kerjasama pilihan raya (electroral pact) dengan PSM apabila tidak menawarkan sebarang kerusi kepada PSM untuk bertanding dalam PRU ke-15. Pada hari yang sama, PSM memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kerjasama pilihan raya tersebut kerana tidak ada sebarang keperluan lagi.

PSM mengucapkan terima kasih atas sokongan padu daripada pelbagai organisasi, kawasan perjuangan dan rakyat jelata yang memberikan solidariti, dorongan dan sumbangan wang supaya kami meneruskan hasrat kami untuk melibatkan diri dalam PRU-15.

Memandangkan hanya ada dua hari sahaja sebelum hari penamaan calon pada 5 November 2022, PSM telah mengambil beberapa keputusan setelah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Nasional Parti dan ahli-ahli kami.

Isu pokok di hadapan kita adalah sama ada PSM hendak bertanding dalam PRU-15 atau “sit out” (tidak mengambil bahagian) memandangkan kekangan masa dan ruang yang ada. Setelah berbincang dengan komponen dalaman parti, PSM mengambil 3 keputusan seperti di bawah:

1. Walaupun PSM telah gagal dalam pembentukan kerjasama pilihan raya dengan PH, namun kami masih mengambil pendirian yang sejajar dengan Sesi Perbincangan Dalaman (SPD) pada 13 Februari 2022, iaitu PSM tidak akan menyertai sebarang gabungan lain seperti BN dan PN. Untuk PRU ini, kami akan bertanding secara bersendirian tanpa gabungan, dan juga ahli-ahli kami boleh menyokong dan membantu calon parti lain yang mempunyai rekod prestasi yang baik, progresif dan berjiwa rakyat.

2. PSM juga mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRU ini secara minimum berbanding tidak bertanding langsung. Formula yang diambil parti adalah seperti berikut:

i. PSM tidak akan bertanding di kawasan sandangan (incumbent) Pakatan Harapan. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada PH yang cuba mendapat kemenangan, selain daripada menangkis sebarang tafsiran bahawa PSM berniat untuk membalas dendam ekoran kegagalan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Ini bererti juga bahawa Dr Jeyakumar tidak akan bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput buat pertama kalinya sejak tahun 1999. Selain itu, PSM juga tidak akan bertanding dalam kerusi-kerusi sandangan PH yang lain, tetapi mengambil keputusan untuk bertanding di kawasan Parlimen dan DUN yang lebih sukar dan merupakan kubu kuat BN. PSM menganggap ini sebagai satu cabaran kerana ini adalah kawasan-kawasan yang perlu kita buat kerja dan tempat yang perlu kita membina kuasa rakyat pada masa hadapan.

ii. Memandangkan kekangan masa dan faktor strategik, kami hanya akan bertanding di dua tempat baharu yang tidak pernah kami bertanding sebelum ini. Dua tempat ini ialah sebuah kawasan Parlimen di Negeri Sembilan, iaitu P131 Rembau yang agak besar, dan juga satu kawasan DUN di Perak, iaitu N48 Ayer Kuning.

Di dalam dua kawasan ini, PSM akan menetapkan dua orang calon tempatan dan bukannya calon payung terjun.

iii. Salah satu daripada dua kawasan yang dipilih ialah kawasan Parlimen Rembau yang terletak di Negeri Sembilan. Ia merupakan satu kawasan Parlimen yang besar dan mempunyai 4 kawasan DUN di bawahnya. Kawasan Parlimen ini dipilih kerana PSM tidak pernah meletakkan calon di Negeri Sembilan dan ini akan menjadi pembuka tirai untuk PSM di Negeri Sembilan selain daripada memberikan kami latihan lapangan untuk Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung dalam 6 bulan lagi.

Kawasan kedua ialah kawasan DUN Ayer Kuning di bawah kawasan Parlimen Tapah, di mana PSM tidak pernah bertanding di situ lagi tetapi mempunyai hasrat untuk memperluaskan kerja-kerja parti di kawasan sekitar pada masa hadapan. Di dalam kedua-dua kawasan ini, PSM pernah dan masih menjalankan kerja dengan masyarakat B40 tempatan, masyarakat pekerja ladang, petani, penternak dan juga pekerja kontrak kerajaan serta pekerja lain.

3. Walaupun PSM cukup sedar bahawa bertanding secara solo adalah satu cabaran yang cukup besar, dan mungkin kami akan dituduh sebagai membazir wang dan masa. Namun, kami merasakan sebagai sebuah parti perintis di negara ini yang membawa obor politik kiri, maka PSM tidak boleh sit out atau berkecuali dalam PRU ini.  Kami berhasrat mengambil kesempatan dalam kempen 2 minggu ini untuk mengetengahkan perkara berikut:

  • Memperkenalkan Manifesto PSM kepada rakyat Malaysia, kerana kami sebagai parti yang berasaskan idea sosialis, kami mempunyai tawaran kami yang berbeza kepada rakyat Malaysia.
  • Calon-calon kami ialah aktivis rakyat dan kami merasakan adalah penting untuk mereka membawa suara dan keluhan rakyat marhaen ke pentas Parlimen dan DUN yang akan didominasi oleh parti-parti berhaluan kanan dan agenda-agenda neoliberal.
  • Calon-calon PSM juga seperti biasa akan membuat pengisytiharan harta dan Aku Janji Lawan Perkauman yang tidak dilakukan oleh parti-parti lain. Ini juga akan meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk parti-parti lawan kami.

4. Selain itu, kawasan-kawasan perjuangan rakyat dan Jawatankuasa Marhaen akan menggunakan dua minggu tempoh kempen ini untuk mempopularkan tuntutan akar umbi mereka kepada semua calon daripada semua parti yang bertanding. Antara jaringan yang sudah mengatur program setakat ini untuk membina kuasa rakyat dan membuat tuntutan akar umbi ialah Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Jawatankuasa Sokongan Masyakarat Ladang (JSML), Gabungan Pemandu Lori (GPL) dan GAPETA (Gabungan Petani dan Penternak dan Jaminan Makanan).

Akhir kata, pengalaman kami dalam PRU ini telah memberikan kami satu pengajaran penting bahawa kita perlu membina kekuatan kita sendiri di samping meneroka ruang untuk membina satu gabungan baharu dengan parti-parti berhaluan kiri dan kiri tengah berlandaskan program dan kuasa rakyat dari bawah.

Pilih Suara Marhaen!

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengarah Biro Pilihan Raya PSM.

One thought on “Pendirian PSM berkenaan PRU-15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *