Manifesto Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihan Raya Umum ke-15
Mukadimah
Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersedia menawarkan nafas segar kepada usaha pembaharuan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia dengan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada ketika ini, negara kita sedang dilanda pelbagai krisis: krisis ekonomi global, krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19 yang telah membawa kesan mendalam kepada masyarakat umum, krisis iklim dunia yang mengancam umat manusia, ketidakjaminan kehidupan rakyat biasa, jurang kekayaan yang semakin melebar, krisis kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara yang sedia ada, ancaman politik pelampau yang memecah-belahkan rakyat dan sebagainya. Rakyat marhaen, iaitu rakyat biasa yang terdiri daripada pekerja, petani, nelayan, penganggur, pelajar, penjaja jalanan, peniaga kecil, warga B40 serta M40 dan sebagainya, merupakan golongan yang terpaksa menanggung segala kesan krisis yang sedang melanda ini.
Namun, kerajaan sehingga kini masih tidak dapat menangani segala masalah ini dengan berkesan dan menawarkan jalan keluar yang mampan. Perkara ini terjadi kerana mana-mana kerajaan yang memerintah sehingga kini masih gagal melaksanakan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial yang bermakna supaya dapat mewujudkan asas kepada penyelesaian segala masalah rakyat ini.
Oleh yang demikian, negara kita memerlukan kuasa politik baharu yang mampu menawarkan solusi kepada permasalahan yang membelenggu rakyat marhaen. Kita perlukan suara yang benar-benar dapat mewakili rakyat marhaen dalam Parlimen Persekutuan dan Dewan-dewan Undangan Negeri.
PSM yang lahir daripada perjuangan rakyat marhaen dan sentiasa menegakkan suara marhaen selama ini, berazam untuk membawa suara marhaen ke dalam dewan perundangan di negara kita. Kehadiran suara marhaen yang lantang memperjuangkan pembaharuan di dalam Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri akan berfungsi sebagai kuasa yang mendesak mana-mana kerajaan yang berkuasa supaya melaksanakan pembaharuan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dan menjamin kesejahteraan masyarakat dengan lebih berkesan. Pilih Suara Marhaen!
6 Teras
- Skim Jaminan Kerja
- Jaminan Makanan
- Perkasakan Perlindungan Sosial
- Perumahan untuk Rakyat
- Tangani Krisis Iklim
- Reformasi Institusi Pentadbiran Negara
6 Teras ini akan menjadi asas perjuangan kami untuk diusahakan pelaksanaannya jika kami berjaya dipilih sebagai wakil rakyat anda di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
1. Skim Jaminan Kerja
1. Kerajaan menggalas tanggungjawab dalam menyediakan dan menjamin pekerjaan untuk setiap warga Malaysia.
2. Meningkatkan pengambilan kerja untuk penjagaan warga emas dan pengasuhan kanak-kanak pra-sekolah. Juga meningkatkan bilangan pekerja sosial untuk mengenal pasti dan menyampaikan bantuan kepada golongan miskin dan OKU secara langsung.
3. Tingkatkan bilangan pengambilan tenaga kerja kesihatan, jururawat, doktor, ahli teknologi makmal dan sebagainya.
4. Jana kerja untuk graduan sains dan teknikal dalam industri baharu pembinaan bas elektrik dan bas hidrogen, sekali gus meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam negara.
5. Labur dalam pendidikan bidang tenaga bersih, dan wujudkan kerja dalam industri yang bersepadanan. Wujudkan kerja dalam bidang pemulihan hutan simpanan dan sungai tercemar, serta teknologi pemprosesan sisa domestik dan penggunaan semula.
2. Jaminan Makanan
1. Stok tanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digunakan secara agresif untuk pertanian bahan makanan harian, dan meningkatkan keluasan tanah pertanian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.
2. Kekalkan pengeluar produk makanan yang sedia ada:
- pekebun sayur di atas tanah kerajaan;
- nelayan yang diancam oleh projek penambakan laut;
- penternak lembu di ladang-ladang kelapa sawit.
Hentikan pengusiran / perampasan tanah dan kawasan laut mereka dengan segera!
3. Siling harga untuk kawal harga makanan. Subsidi kepada petani dan pesawah untuk mengurangkan kos input pertanian.
4. Menyokong usaha pendamaian dan mengelakkan peperangan di peringkat antarabangsa yang akan meningkatkan kos makanan import (misalnya, Perang Ukraine-Rusia).
3. Perkasakan Perlindungan Sosial
1. Pencen bulanan RM500 kepada semua warga emas (> 65 tahun) yang bukan penerima pencen kerajaan atau faedah lain seperti PERKESO.
2. Faedah Skim PERKESO kepada semua pekerja informal, termasuk pekerja kontrak, pekebun getah, pesawah padi, nelayan, peniaga kecil, pekerja gig dan suri rumah tangga. Caruman ini ditanggung 100% oleh kerajaan.
3. Bantuan wang tunai RM200 sebulan kepada semua keluarga B40 sehingga kenaikan barangan makanan dikawal.
4. Menghentikan segala polisi, amalan, urusan yang tidak adil terhadap golongan Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) dan minoriti seksual melalui pendekatan yang memberi perhatian khusus kepada keperluan setiap kumpulan. Gubal Akta Anti-Diskriminasi demi mengelakkan apa-apa bentuk diskriminasi yang berdasarkan kaum, agama, identiti seksual dan keupayaan fizikal atau mental.
4. Perumahan untuk Rakyat
1. Misi membina 100,000 buah rumah PPR setahun untuk disewa oleh warga B40. Tubuhkan sebuah Lembaga Perumahan khas (perbadanan bukan bermotifkan keuntungan) untuk membina dan menjual rumah mampu milik yang berharga kurang daripada RM100,000 seunit khas kepada rakyat B40 dan M40.
2. Majlis Perbandaran/Bandaraya harus mengambil alih penyelenggaraan Rumah Pangsa Kos Rendah. Memperuntukkan dana RM2 bilion setahun untuk membantu Majlis Perbandaran/Bandaraya dalam usaha ini.
3. Hak milik tanah dengan premium munasabah kepada penghuni asal kampung peneroka bandar.
4. Gunakan Akta Pengambilan Tanah terhadap pemilik ladang jika mereka gagal mewujudkan perumahan sendiri bagi pekerja ladang. Pekerja ladang yang berkhidmat lebih 10 tahun harus diberikan rumah.
5. Penalti terhadap pemilik rumah/pangsapuri yang sudah lama tidak diduduki. Laksanakan langkah-langkah yang mengurangkan aktiviti spekulasi perumahan dengan mengenakan cukai ke atas mereka yang memiliki lebih daripada 2 buah rumah/pangsapuri.
5. Tangani Krisis Iklim
1. Isytihar Darurat Iklim untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan juga kerajaan bahawa kita harus bertindak segera.
2. Hentikan serta-merta pembalakan dan perlombongan di Hutan Simpanan Kekal. Lancarkan program pemulihan hutan dengan kerjasama pihak NGO.
3. Percepatkan program untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk panel suria, penjanaan elekrik daripada sisa kilang kelapa sawit dan loji pembentungan.
4. Perkenalkan bayaran permit ke atas pembeli kereta baharu yang mewah. Hasil kutipan permit ini digunakan untuk membiayai kos operasi bas elektrik/hidrogen yang digunakan dalam pengangkutan awam di seluruh Malaysia.
5. Pindahkan terus subsidi sebanyak RM300 setiap bulan kepada pengguna kenderaan B40, supaya menjayakan subsidi petrol/diesel yang bersasar.
6. Tetapkan sasaran untuk menghentikan penggunaan arang batu sebagai bahan api penjanaan kuasa elektrik sebelum tahun 2028.
7. Meningkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau dan gelombang panas dan lain-lain lagi.
6. Reformasi Institusi Pentadbiran Negara
1. Ketelusan dan akauntabiliti demi mengelakkan campur tangan eksekutif pentadbiran negara dalam perlantikan Ketua Hakim Negara, Ketua Badan Pencegah Rasuah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Bentuk sebuah Jemaah Perlantikan khas yang dianggotai oleh Ahli Parlimen secara dwipartian dengan libat urus dan input daripada organisasi-organisasi masyarakat madani.
2. Akta Pembiayaan Awam untuk Parti Politik dengan suntikan dana RM200 juta setahun untuk digagihkan kepada parti-parti politik berdasarkan undi popular yang diperolehi oleh setiap parti.
3. Mansuhkan akta-akta yang menjadi instrumen penindasan politik oleh pemerintah seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dan sebagainya. Tolak Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan luluskan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dengan segera.
4. Perkasakan Ketua Audit Negara supaya dapat bertindak tegas dalam menghentikan ketirisan dana awam sebanyak RM40 bilion setahun.
5. Hadkan tempoh sandangan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar kepada 2 penggal (10 tahun).
6. Kembalikan Pilihan Raya Tempatan untuk memperkukuhkan demokrasi setempat dan menjaminkan kebertanggungjawaban kerajaan tempatan terhadap rakyat setempat.
Ikrar Calon PSM
1. Saya tidak akan mempermainkan sentimen etnik pada bila-bila masa dalam apa-apa kempen pilihan raya.
2. Jika saya dipilih sebagai wakil rakyat anda, saya berikrar bahawa saya tidak akan menyalahgunakan jawatan ini untuk mengumpul kekayaan persendirian.
3. Jika saya menang, saya akan mengisytihar harta saya secara umum setiap tahun.
4. Saya sentiasa akan turun padang untuk memahami isu-isu rakyat dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya dan menyuarakannya di dalam Parlimen/DUN.
5. Saya berpegang pada prinsip bahawa jawatan Wakil Rakyat adalah satu amanah suci daripada rakyat yang harus digunakan untuk kebaikan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi.
4 thoughts on “Pilih Suara Marhaen: Manifesto PSM untuk PRU-15”