RANTAU, NEGERI SEMBILAN – 6 NOVEMBER 2022: S. Tinagaran, atau dikenali sebagai Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan Parlimen P131 Rembau dalam Pilihan Raya Umum ke-15, melancarkan Manifesto Tempatan Rembau sebagai tawarannya kepada pengundi-pengundi kawasan Parlimen Rembau.

Pelancaran Manifesto Tempatan PSM Rembau oleh Cikgu Tina diadakan di Pasar Rantau pada hari ini. Turut hadir dalam sidang akhbar pelancaran Manifesto Tempatan PSM Rembau ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM. Sivarajan membentangkan Manifesto PSM untuk PRU-15 bagi peringkat nasional yang merangkumi 6 teras utama, iaitu Skim Jaminan Kerja, jaminan makanan, pemerkasaan perlindungan sosial, perumahan untuk rakyat, penanganan krisis iklim dan reformasi institusi pentadbiran negara.

“Kami berharap pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Rembau boleh memberi peluang kepada PSM yang lama berkhidmat untuk rakyat supaya masuk ke Parlimen untuk membawa perubahan yang tulen,” kata Sivarajan.

Cikgu Tina memberi ucapan semasa pelancaran Manifesto Tempatan PSM Rembau di Pasar Rantau.

Semasa membentangkan Manifesto Tempatan PSM Rembau, Cikgu Tina berkata, “Ini merupakan kali pertama PSM bertanding dalam pilihan raya di Negeri Sembilan. PSM memilih untuk bertanding di kawasan Parlimen Rembau kerana kawasan ini merupakan satu kawasan Parlimen yang besar dengan 4 kawasan DUN di mana kami pernah membuat kerja akar umbi di banyak tempat di dalamnya. Begitu juga banyak kerja akar umbi dilakukan di Negeri Sembilan, misalnya isu-isu kawasan di Ladang Kirby, GATCO, Kampung Hakka di Mantin dan sebagainya di samping isu-isu pekerja, kebajikan, rumah dan banyak lagi. Kami sering membawa isu-isu ini dengan cara turun ke jalanan. Namun, apabila hendak membawa isu-isu ini ke dalam dewan perundangan sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, ia agak susah kerana tiada wakil suara rakyat marhaen dalam dewan perundangan.”

“Hanya orang yang membuat kerja-kerja akar umbi mempunyai pengalaman yang lebih luas untuk membentangkan isu-isu rakyat marhaen di dalam Parlimen supaya mendapatkan penyelesaian yang sebenar,” ulas Cikgu Tina. “Oleh itu, PSM berhasrat untuk membawa suara rakyat marhaen ke dalam Parlimen dengan bertanding di kawasan Parlimen Rembau.”

“PSM memahami masalah tempatan warga Rembau dan ingin menanganinya secara holistik. Atas sebab ini, kami tawarkan juga Manifesto Tempatan Rembau sebagai akujanji tambahan kami untuk warga Rembau (selain tawaran dalam Manifesto PSM untuk PRU-15),” tegas kata Cikgu Tina.

Manifesto Tempatan PSM Rembau menggariskan tawaran-tawaran berikut:

Jaminan kerja

Anak muda Rembau, terutamanya dari DUN Rantau dan Kota, kini perlu keluar Rembau mencari peluang pekerjaan. Cikgu Tina akan berusaha mengembangkan sektor pertanian dan teknologi hijau terutamanya di kawasan luar bandar bagi meningkatkan peluang pekerjaan.

Jaminan makanan

Kedudukan Negeri Sembilan di tengah Pantai Barat Semenanjung Malaysia adalah strategik untuk menjadi pembekal utama makanan. Cikgu Tina ingin membangunkan tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian, menghentikan pengusiran penternak dan meluaskan sektor ternakan lembu serta kambing tempatan.

Banjir dan mitigasi perubahan iklim

Kawasan Rembau sekitar Sungai Rembau, kawasan DUN Chembong dan Kota sering terdedah kepada banjir. Cikgu Tina akan berusaha membuat persiapan awal banjir dan meningkatkan kualiti sistem perparitan.

Bekalan air

Beberapa kampung pedalaman sekitar Rembau masih kekurangan bekalan air bersih. Cikgu Tina akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Bandar menyediakan prasarana air yang lengkap.

Kesihatan

Sebuah hospital tambahan selain Hospital Rembau diperlukan untuk menangani jumlah penduduk yang mencecah 200 ribu orang. Klinik Kesihatan Rantau juga terlalu kecil. Cikgu Tina akan berusaha mewujudkan hospital baharu, menaiktaraf Hospital Rembau supaya tidak terlalu bergantung kepada Hospital Tuanku Jaafar dan Hospital Tampin serta mengembangkan Klinik Kesihatan Rantau.

Perumahan

Hanya 1/3 daripada rumah mampu milik berharga kurang daripada RM80,000, harga mampu dibeli majoriti masyarakat. Cikgu Tina akan pastikan lebih banyak rumah dibina dalam julat harga ini dan juga menyediakan rumah PPR secukupnya untuk memenuhi kekurangan di DUN Rantau, Chembong dan Kota.

Kemudahan bank

Taman Tuanku Jaafar juga kekurangan kemudahan bank, dengan hanya 2 mesin ATM. Cikgu Tina akan berusaha membawa lebih ramai bank membuka ATM dan cawangan mereka berdekatan untuk penduduk lebih kurang 20 ribu orang.

Pengangkutan awam

Kekerapan bas di sekitar Rantau kurang memuaskan. Cikgu Tina akan memperincikan jadual dan laluan bas bersama pihak berkenaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas.

Pusat Sukan kawasan DUN

Perlunya ada suatu kemudahan Pusat Sukan di setiap kawasan DUN untuk aktiviti anak muda sekitar Rembau. Cikgu Tina akan berusaha mewujudkan Pusat Sukan ini bermula daripada DUN Rantau dan Chembong.

One thought on “Cikgu Tina kemukakan Manifesto PSM untuk Rembau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *