Salam perjuangan dan selamat menyambut Hari Habitat.

Tahun ini, kita menyambut Hari Habitat pada hari Isnin 3 Oktober 2020. Tahun 2022 ini jugalah satu tahun yang kritikal untuk rakyat, terutamanya pada ketika kita sedang melangkaui era pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan kenaikan harga barang pula menghimpit rakyat. Dunia sedang sembuh daripada serangan pandemik tetapi malangnya, kenaikan gaji minimum tidak begitu membantu dalam mengurangkan kesan kenaikan harga barangan yang ternyata gagal dikawal oleh kerajaan.

Pada masa yang sama juga, masalah perumahan negara tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian. Pertukaran pucuk kepimpinan negara yang berulang kali jelas tidak mendapat solusi, malah menjadi lebih teruk terutamanya kepada para peminjam bank yang mana kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara jelas menggandakan beban perumahan rakyat. Jelasnya bahawa kerajaan lebih peka dan bersimpati terhadap pihak bank berbanding rakyat marhaen.

Kerajaan masih tidak menganggap perumahan sebagai satu keperluan asasi rakyat dan selama ini rakyat tidak menikmati tawaran perumahan mampu milik/sewa yang selesa kerana ia telah dijadikan alat perniagaan yang menguntungkan kaum pemodal.

Persoalan yang kerap kali wujud ialah:

  • Pembinaan rumah mampu milik atau mampu sewa untuk golongan B40/M40. Pada ketika ini, paras gaji kemiskinan dinaikan kepada RM2208, wujud keperluan untuk membina rumah dengan kos rendah kepada rakyat Malaysia.
  • Mengapakah kerajaan menaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada ketika rakyat dibebani dengan kenaikan harga barangan yang teruk?
  • Dalam isu kenaikan harga rumah, adakah kerajaan masih mengikut rentak pemaju yang menganggap rumah sebagai komoditi untuk dijual ataupun melihat perumahan itu sebagai suatu hak rakyat?
  • Mengapakah Skim Perumahan Sewa Beli yang semakin dituntut oleh rakyat tidak diberi perhatian serius? Pada ketika kegawatan ekonomi dan rakyat kehilangan punca pendapatan, skim perumahan ini mampu menyelamatkan keperluan rumah mereka.
  • Apakah polisi Kerajaan Negeri berkenaan peneroka bandar/pekerja ladang? Mengapa sehingga hari ini, masih wujud pengusiran paksa terhadap peneroka bandar/pekerja ladang? Adakah mereka harus menerima nasib pengusiran ini padahal kerajaan yang gagal dalam menyediakan rumah untuk mereka sebelum tanah mereka dibangunkan?
  • Bagaimana Kerajaan akan membantu penyelenggaraan rumah flat kos rendah?

Pada tahun ini, Hari Habitat Sedunia diraikan dengan tema “Kurangkan Jurang. Jangan Tinggalkan Sesiapa dan Mana-mana Tempat di Belakang” (Mind the Gap. Leave No One and No Place Behind). Kami mahu tuntutan-tuntutan berikut diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah perumahan rakyat Malaysia.

(A) Kurangkan kadar dasar semalaman (OPR)

Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat akan memberi kesan kepada peminjam perumahan terutamanya golongan B40. Kenaikan sebanyak tiga kali pada tahun ini akan menyebabkan peminjam perumahan terutamanya golongan B40 mengalami peningkatan bayaran bulanan. Pinjaman perumahan lebih RM200,000 akan menyebabkan peningkatan bayaran perumahan hampir RM150 sebulan. Ini jelas satu tekanan yang tinggi kepada rakyat marhaen (kenaikan 10% daripada gaji minimum). Mengapakah kerajaan membenarkan tindakan sebegini dan tidak mencampurtangan dan mengurangkan OPR ini? Menteri Kewangan kita yang juga merupakan bekas elit perbankan jelas sedang menjaga kaum korporatnya dan mengorbankan rakyat biasa.

(B) Kurangkan harga rumah – Keluarkan rumah pertama rakyat daripada pasaran swasta

Peningkatan harga rumah tidak dapat dikawal kerana kerajaan yang tidak mempunyai polisi bahawa perumahan adalah hak dan mereka bertanggungjawab untuk mengambil alih fungsi penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran (baca: untuk keuntungan). Rakyat biasa dengan gaji minimum tidak mampu untuk membeli rumah biasa yang baru dibina. Harga biasa untuk rumah teres sudah melangkaui RM250,000 di bandar-bandar kecil dan melebihi RM500,000 di bandar-bandar besar. Seorang pekerja biasa dengan gaji minimum RM1,500 tidak mampu melepasi had kelayakan bank untuk pinjaman perumahan ini.

(C) Hentikan lelong rumah marhaen – Tawarkan penstrukturan semula pembayaran

Saban hari, kita melihat bagaimana rumah marhaen dilelong kerana ketidakmampuan mereka untuk membayar balik pinjaman perumahan. Pihak bank tidak memikul tanggungjawab sosial untuk melihat kesan sosio-ekonomi masa kini terhadap rakyat biasa yang dihimpit dengan pandemik ini. Seruan untuk moratorium tidak diendahkan dan walaupun semua pihak, baik ahli politik daripada pelbagai parti melaungkan perlanjutan morotarium, jelas pihak bank hanya mengakui untuk moratorium tersasar. Kami di PSM menerima moratorium tersasar ini, tetapi pihak bank tidak harus menggunakan taktik ini untuk membantu rakyat biasa. Kerajaan melalui Bank Negara harus tegas dalam menetapkan regulasi secukupnya untuk menekan pihak bank supaya menyelesaikan krisis peminjam termasuk menawarkan skim penstrukturan semula dan skim pembayaran statik minimum untuk tempoh tertentu.

(D) Hentikan pengusiran paksa peneroka bandar dan pekerja ladang – Iktiraf peneroka bandar dan gubal Akta Skim Perumahan Ladang

Baru-baru ini, penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur, berada di ambang pengusiran paksa manakala beberapa orang pekerja di Ladang Windsor diusir dari rumah ladang mereka kerana menuntut Skim Perumahan Ladang. Kanun Tanah Negara kita adalah berdasarkan sistem Torrens yang tidak mengenal hak ekuiti. Maksudnya, barang sesiapa pemilik geran hak milik, maka dia adalah pemilik mutlak tanah dan bukannya penghuni kawasan tersebut walaupun sudah menduduki tanah tersebut sejak bergenerasi dahulu. Manakala tiada satu akta parlimen digubal untuk Skim Perumahan Ladang walaupun polisi ini dilancarkan oleh Tun Razak, bekas Perdana Menteri negara kita, pada tahun 1973. Kerajaan pusat / negeri harus menyahut seruan supaya mewujudkan satu enakmen yang mewajibkan peneroka bandar yang diusir keluar secara automatik ditawarkan perumahan atau lot tanah alternatif, dan menggubal Akta Perumahan Pekerja Ladang untuk menyelesaikan pengusiran paksa sebegini.

(E) Majlis Perbandaran Tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

Badan Pengurusan Bersama (JMB) di rumah pangsa kos rendah terpaksa menghadapi pelbagai kerumitan, terutamanya dalam mengutip wang penyelenggaran daripada penghuni flat. Ini menyebabkan keadaan flat yang tidak terjaga dan uzur. Penyelesaian yang senang ialah majlis perbandaran mengambilalih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah. Penghuni flat kos rendah hanya perlu membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu (6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah. Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihankoridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalan raya dalam kawasan flat.

(F) Hentikan penindasan terhadap pekerja migran, pelarian dan pemohon suaka

Perumahan untuk pekerja migran dan pelarian adalah tanggungjawab kita dalam erti kata kemanusiaan. Pekerja migran dihimpit beramai-ramai di dalam rumah kedai dan kini pula ada usaha untuk menghalau mereka dari rumah sewaan PPR. Kita harus sedar bahawa pekerja migran turut membantu dalam membangunkan negara ini, sementara masyarakat pelarian pula ditindas di negara asal dan memerlukan sokongan kita. Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian. Jangan melakukan pengusiran paksa terhadap pekerja migran / pelarian yang tinggal di PPR dan sediakan perumahan alternatif untuk mereka. Penempatan sementara harus disediakan di perumahan majlis (council housing) sehingga penyelesaian untuk perumahan mereka tercapai.

Kita harus sedar bahawa pihak kapitalis dan kerajaan yang menjadi “pak turut” pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Adalah hak rakyat untuk ditawarkan skim perumahan selesa mampu milik/sewa yang BUKAN berlandaskan keuntungan. Kerajaan harus mengambil alih penyediaan perumahan pertama rakyat dan keluarkannya daripada pasaran swasta. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal.

==========

(Deklarasi ini disediakan oleh Karthiges Rajamanickam)

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Deklarasi Hari Habitat 2022: Perumahan bukan untuk keuntungan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *