PUTRAJAYA – 8 SEPTEMBER 2022: Satu rombongan perwakilan dari 5 buah ladang yang terletak di kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor, telah mengunjungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri pada hari ini untuk mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya memasukkan peruntukan kewangan bagi pembinaan rumah pekerja ladang di situ ke dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober 2022 akan datang.

Turut hadir bersolidariti dengan Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity semasa penyerahan surat kepada tiga buah agensi kerajaan di Putrajaya pada hari ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan M. Sivaranjani selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity yang disertai oleh pekerja-pekerja dari 5 buah ladang – Ladang Sungai Tinggi, Ladang Mary, Ladang Minyak, Ladang Nigel Garner dan Ladang Bukit Tagar – telah menantikan pembinaan rumah milik mereka sendiri selama 24 tahun tetapi masih belum dilaksanakan oleh pihak berwajib, walaupun kerajaan telah bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN). Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menggesa pihak kerajaan supaya memperuntukkan dana dalam Bajet 2023 untuk membina perumahan bagi 245 buah keluarga pekerja ladang di 5 buah ladang tersebut.

Menurut Arutchelvan, hasil daripada perjuangan pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini yang penuh gigih dan konsisten, syarikat Berjaya Corporation Berhad yang merupakan bekas majikan mereka telah memberikan tanah untuk projek perumahan pekerja ladang, namun mereka memerlukan peruntukan dana daripada pihak kerajaan untuk pelaksanaan projek perumahan. Pekerja-pekerja ladang ini pernah dimaklumkan oleh Jabatan Perumahan Negara di bawah KPKT bahawa pernah ada rancangan untuk memasukkan peruntukan bagi pembinaan rumah ke dalam belajawan kerajaan tetapi tidak dimasukkan semasa belanjawan dibentangkan, maka menyebabkan KPKT tidak dapat membina rumah tersebut. Oleh yang demikian, pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini berharap bahawa dana untuk pembinaan rumah mereka ini dapat dimasukkan ke dalam Bajet 2023 supaya menamatkan penantian mereka selama 24 tahun ini.

Latar belakang isu

Ladang-ladang di sekitar kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor telah wujud sejak awal abad ke-20. Pada asalnya, tanah ladang di situ dimiliki oleh syarikat Socfin dari Eropah. Socfin menjual tanah perladangan seluas 11,500 ekar dengan harga RM650 juta kepada syarikat Berjaya pada tahun 1998. Pekerja-pekerja ladang di situ telah diberhentikan kerja selepas milikan tanah perladangan bertukar tangan. Sejak itu, pekerja-pekerja di 5 buah ladang berkenaan berjuang untuk mendapatkan hak perumahan mereka.

Syarikat Berjaya berjanji pada tahun 2008 bahawa ia akan membina rumah untuk semua pekerja ladang di situ. Selepas itu, syarikat Berjaya telah menjual tanah ladangnya kepada syarikat yang lain. Walau bagaimanapun, atas kesungguhan dan kegigihan pekerja-pekerja ladang dalam perjuangan yang berpanjangan, dengan pelbagai tekanan diberikan kepada syarikat Berjaya, akhirnya pada tahun 2019, pekerja-pekerja ladang ini mendapat tanah seluas 20 ekar daripada syarikat Berjaya untuk tujuan membina rumah bagi pekerja-pekerja ladang. Pada masa itu, pekerja-pekerja ladang ini telah diberitahu oleh KPKT bahawa pihak kerajaan boleh mengusahakan perumahan bagi pekerja-pekerja ladang di 5 buah ladang berkenaan jika syarikat Berjaya boleh memperuntukkan tanah untuk tapak perumahan.

Namun, pekerja-pekerja dari 5 buah ladang ini sekarang dimaklumkan bahawa KPKT tidak dapat melaksanakan pembinaan rumah bagi mereka kerana tiada peruntukan dana. Memang terdapat peruntukan dalam belanjawan sebelum ini tetapi tidak dipanjangkan lagi pada masa ini.

Dengan isu perumahan yang masih belum lagi selesai walaupun tanah untuk tapak pembinaan rumah sudah ada, Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menulis surat kepada agensi-agensi kerajaan yang relevan, iaitu KPKT, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk meminta supaya memasukkan peruntukan pembinaan rumah bagi pekerja-pekerja ladang dari 5 buah ladang ini ke dalam Bajet 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *