Berikut ialah surat yang disediakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Buntong dan ditandatangani oleh penduduk-penduduk Ipoh yang diserahkan kepada semasa Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam mengenai Draf Rancangan Tempatan Ipoh 2035 (Penggantian) pada 26 Julai 2022.

==========

Kami, penduduk Ipoh yang menandatangani surat ini, ingin membantah pelan pembinaan LRT (Light Rail Transport) seperti yang dinyatakan dalam muka surat 247-258 Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Penggantian) Jilid 1.

Antara sebab kami membantah adalah:

1. Kami risau bahawa kos pembinaan LRT adalah terlalu tinggi. Kami difahamkan bahawa anggaran kos pada masa ini ialah RM250 juta sekilometer laluan LRT. Ini bererti kos membina sistem LRT akan menelan belanjawan sebesar RM14.5 bilion, jika tidak ada kos “over-run” yang sering berlaku dalam projek mega. Adakah kos pengambilan tanah swasta untuk melasanakan projek LRT diambil kira dalam anggaran kos pembinaan LRT ini?

Pendapatan Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) adalah lebih kurang RM250 juta setahun sahaja, dan ianya kena digunakan untuk pelbagai tugasan DBI. Perbelanjaan DBI biasanya berjumlah lebih daripada 90% pendapatan DBI setiap tahun. Apakah rancangan fiskal DBI dan Kerajaan Negeri Perak untuk membayar balik hutang sebanyak RM14.5 bilion? Bunga untuk hutang sebesar ini adalah RM435 juta setahun (jika kadar bunga 3% setahun)! Adakah DBI berjaya dapat pinjaman tanpa bunga? Ataupun adakah DBI mengharapkan kutipan daripada pengguna LRT akan menampung kos capex (perbelanjaan modal)? Adakah Kerajaan Persekutuan berjanji untuk mengendalikan hutang ini?

Adakah laporan berkaitan rancangan DBI dan Kerajaan Negeri Perak untuk mengendalikan kos projek mega ini? Jika ya, bolehkah memanjangkan satu salinan kepada kami yang merupakan rakyat Ipoh yang membayar cukai pintu. Kami takut bahawa kami akan dibebani dengan satu hutang yang besar.

2. Proses pembinaan akan mengambil masa yang lama – mungkin lebih daripada 10 tahun. Masyarakat Ipoh memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisien secepat mungkin supaya kita dapat beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam. Memandangkan masalah pemanasan dunia semakin runcing, maka adalah kritikal untuk kita beralih kepada pengangkutan awam secepat mungkin bukan sahaja di Bandaraya Ipoh tetapi di seluruh Negeri Perak. Rancangan LRT ini akan mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan serta hanya tertumpu di Bandaraya Ipoh. Ianya tidak begitu sesuai pada masa ini.

3. Kami berpendapat bahawa sistem transit massa bas (Bus Mass Transit, BMT) patut dijadikan sistem pengangkutan awam utama di Bandaraya Ipoh. Ini adalah kerana sistem BMT jauh lebih kos efektif kerana ia boleh menggunakan jalan raya yang sedia ada. Sistem BMT boleh dilancarkan dengan lebih cepat dan adalah jauh lebih murah berbanding dengan sistem LRT. Kos 100 buah bas elektrik dianggar berjumlah RM60 juta. Jika dicampur kos depot-depot untuk mencaj bas dan kos membina perhentian-perhentian bas yang sesuai di tepi jalan, jumlah kos melaksanakn BMT di Ipoh adalah kurang daripada RM100 juta (berbanding dengan RM14,500 juta bagi projek LRT).   

Kami ingin tahu sama ada Dewan Bandaraya Ipoh ataupun Kerajaan Negeri Perak pernah melakukan suatu kajian terhadap sistem BMT dan membandingkannya dengan sistem LRT. Jika ya, bolehkah Tuan memanjang satu salinan laporan kajian itu kepada kami?

Rayuan kami

Rancangan LRT ini akan membebankan Dewan Bandaraya Ipoh dengan satu hutang yang amat besar – 60 kali ganda pendapatan tahunan DBI! Ada kemungkinan besar hutang berat ini akan menjejaskan fungsi-fungsi DBI yang lain. Oleh itu, kami berharap pihak DBI akan mempertimbangkan bantahan ini dan menangguhkan keputusan terhadap projek LRT sehingga isu-isu yang dibangkitkan di atas dapat diperjelaskan kepada kami penduduk dan pembayar cukai (“rate-payers”) di Bandaraya Ipoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *