(foto: RMT / Twitter)

Lebih kurang 40,000 orang pekerja kereta api di United Kingdom (UK) mengadakan mogok pada 21 Jun 2022 untuk menuntut kenaikan gaji dan membantah pengurangan tenaga kerja oleh syarikat kereta api yang mengutamakan keuntungan. Mogok ini diteruskan pada 23 Jun 2022. Mogok yang dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT) ini merupakan mogok pekerja kereta api yang terbesar di UK sejak tahun 1989.

Mogok pekerja kereta api UK telah dirancang untuk diadakan selama 3 hari pada 21, 23 dan 25 Jun 2022. Mogok ini diadakan berikutan rundingan antara RMT dengan beberapa buah syarikat kereta api di UK menemui kegagalan. Pekerja-pekerja daripada Network Rail dan 13 buah syarikat operator kereta api terlibat dalam mogok ini. 80% perkhimatan kereta api di seluruh England, Scotland dan Wales terjejas kerana mogok pekerja kereta api. Selain itu, lebih kurang 10,000 orang pekerja sistem transit aliran London Underground juga mengadakan mogok sehari pada 21 Jun 2022, melumpuhkan seluruh rangkaian kereta api bawah tanah di London.

Pertikaian perusahaan yang mencetuskan aksi mogok terbaru di UK ini berpunca daripada keputusan kerajaan Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson yang mengurangkan peruntukan sebanyak £4 bilion (bersamaan lebih kurang RM21 bilion) daripada sistem pengangkutan UK – £2 bilion daripada kereta api seluruh negara dan £2 bilion daripada pengangkutan awam di London. Akibat daripada dasar “penjimatan” dalam pengangkutan awam ini, syarikat-syarikat kereta api telah mengambil keputusan untuk mengurangkan faedah pencen pekerja, memaksa pekerja-pekerja bekerja untuk masa yang lebih panjang, mengurangkan pekerjaan di seluruh rangkaian kereta api, menyerang perlindungan hak di tempat kerja dan mengurangkan gaji sebenar kebanyakan pekerja.

Syarikat kereta api menggunakan alasan “pemodenan” untuk melakukan serangan ke atas pekerja-pekerja kereta api, dengan mengurangkan pekerjaan, sementara memaksa pekerja yang sedia ada untuk bekerja dengan jam kerja yang lebih panjang. Syarikat Network Rail bercadang untuk mengurangkan sebanyak 1,800 orang pekerja penyelenggaraan. Pekerja-pekerja kereta api menuntut peningkatan gaji sebanyak 7% selari dengan inflasi yang semakin meningkat, tetapi pihak majikan hanya menawarkan kenaikan gaji 3%. Berdepan dengan agenda agresif yang mengurangkan pekerjaan, gaji, kebajikan pekerja dan pencen, RMT yang dianggotai oleh pekerja-pekerja kereta api memutuskan untuk mengadakan aksi mogok sebagai usaha mempertahankan hak pekerja daripada terus dihakis oleh amalan perlumbaan ke bawah (race to the bottom) dalam industri perkhidmatan kereta api di UK.

(foto: RMT / Twitter)

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Akhbar RMT pada 18 Jun 2022, RMT menegaskan bahawa setiap pekerja di Britain layak menerima kenaikan gaji yang mencerminkan krisis kenaikan kos hidup. “Semua rakyat pekerja harus mendapat manfaat daripada terma-terma, syarat-syarat, amalan kerja dan pencen pekerjaan yang dirundingkan dengan baik supaya menjamin taraf kehidupan mereka semasa persaraan,” begitu katanya kenyataan RMT.

Mick Lynch, Setiausaha Agung RMT, berkata, “Ahli-ahli RMT sedang mendahului semua pekerja di negara ini yang sakit dan penat kerana gaji dan perlindungan mereka dikurangkan oleh campuran keuntungan perniagaan besar dan dasar kerajaan. Sekarang ini ialah masanya untuk bangkit dan berjuang untuk setiap pekerja kereta api dalam pertikaian yang kita akan menang ini.”

Kerajaan Parti Konservatif di UK masih berdegil untuk meneruskan dasar anti-pekerja dan berpihak kepada syarikat kereta api yang mementingkan keuntungan. Malah, kerajaan Parti Konservatif merancang untuk meminda undang-undang supaya membenarkan pengambilan pekerja sementara daripada agensi pekerjaan untuk menggantikan pekerja tetap yang bermogok. Ini merupakan satu lagi serangan ke atas hak pekerja.

Sebilangan ahli parlimen pembangkang daripada Parti Buruh telah menyatakan sokongan mereka terhadap aksi mogok pekerja kereta api, tetapi kepimpinan Parti Buruh itu sendiri, termasuk pemimpin utamanya Keir Starmer, masih teragak-agak dalam menyatakan sokongan terhadap aksi pekerja ini, malah melarang anggota kabinet bayangannya daripada menyatakan solidariti dan menyertai barisan piket pekerja. Kepimpinan Parti Buruh yang berhaluan kanan lebih berminat untuk memastikan aksi mogok dibatalkan, bukannya menyokong pekerja yang bermogok.

Jeremy Corbyn, bekas Pemimpin Parti Buruh, telah mengambil pendirian yang bertentangan dengan kepimpinan Parti Buruh dengan menyatakan sokongannya terhadap aksi mogok pekerja kereta api. Corbyn berkata, “Kita tidak harus membiarkan keuntungan golongan kaya terus berkembang dengan mengorbankan pekerjaan, gaji, perlindungan tempat kerja, pencen dan keselamatan pekerja.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *