oleh Karthiges Rajamanickam

Bailif daripada Mahkamah Taiping bersama dengan lebih 10 orang anggota polis datang ke Ladang Windsor, yang terletak di Ulu Sepetang, Kamunting, Perak, pada hari ini (7 April 2022) untuk mengunci tiga buah rumah bekas pekerja di situ kerana pihak majikan berjaya mendapat perintah mahkamah untuk mengusir mereka.

Pekerja-pekerja Ladang Windsor telah berbincang dengan pihak bailif yang datang pada hari ini, untuk meminta supaya pelaksanaan pengusiran ini ditangguhkan sementara supaya pihak pekerja dapat mengadakan rundingan dengan Kementerian Sumber Manusia dan pihak tuan tanah.

Pihak bailif mahkamah bersetuju untuk tidak melaksanakan pengusiran pada masa ini dengan alasan rumah masih diduduki dan pekerja telah memberi kerjasama. Namun, pihak bailif memberi peringatan bahawa pihak peguam majikan boleh mendapatkan notis kedua untuk pengosongan rumah dan pada ketika itu pihak mahkamah melalui polis boleh mengunci rumah kuarters pekerja itu.

Pekerja-pekerja Ladang Windsor sedang berjuang untuk menuntut Skim Perumahan Pekerja Ladang daripada pihak tuan tanah, Malakoff Corporation Berhad, tetapi malangnya sehingga hari ini, tiada maklum balas daripada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang terbesar di Malaysia itu. Sebaliknya, bekas pekerja ladang yang masih tinggal di situ telah diheret ke mahkamah oleh pihak pengurusan ladang. Pekerja-pekerja ini kalah di mahkamah dan notis mahkamah diberikan pada 31 Mac 2022 yang lalu.

Satu memorandum sudah dihantar melalui tangan kepada Kementerian Sumber Manusia pada hari ini (7 April 2022) untuk memohon pada pihak Kementerian supaya mengadakan mesyuarat tiga pihak (tripartite) antara Malakoff, Kementerian Sumber Manusia dan wakil pekerja untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu ini. Pekerja-pekerja Ladang Windsor sedang kesuntukan masa untuk melakukan rundingan ini sebelum menjadi mangsa pengusiran.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Nasional Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) di bawah Gabungan Marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.