(foto: Reuters)

Gelombang protes rakyat yang hebat tercetus di Sri Lanka pada ketika negara itu terperangkap dalam krisis ekonomi yang dikatakan paling teruk dalam sejarahnya. Rakyat Sri Lanka yang berprotes di jalanan di bandar-bandar utama seperti Colombo dan Kandy, menyuarakan kemarahan mereka terhadap kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara itu dan mendesak pengunduran kerajaan yang dikuasai oleh keluarga Rajapaksa.

Protes besar-besaran mula tercetus pada 16 Mac 2022 dengan puluhan ribu orang demonstran berprotes di Colombo untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kegawatan ekonomi yang semakin serius dan menuntut perletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa. Gelombang protes menjadi lebih hebat lagi pada penghujung bulan April 2022. Presiden Gotabaya Rajapaksa mengisytihar darurat seluruh negara pada 1 April 2022 sebagai cubaan untuk mematahkan protes massa. Kerajaan Sri Lanka mengenakan perintah kurung dan sekatan terhadap media sosial, tetapi gagal membendung rakyat yang marah dengan keadaan hidup sekarang daripada terus keluar berprotes. Pihak polis menggunakan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan demonstrasi. Ramai orang ditangkap, tetapi protes berterusan. Kerajaan Sri Lanka mengugut bahawa akan menggunakan Akta Pencegahan Keganasan yang pernah digunakan oleh kerajaan autoritarian sebelum ini sebagai alat menindas pengkritik untuk mendakwa mereka yang ditangkap kerana menyertai protes terbaru ini.

Rakyat Sri Lanka yang berprotes melaungkan slogan “Gota balik rumah” untuk mendesak perletakan jawatan Gotabaya Rajapaksa sebagai Presiden Sri Lanka. Demonstran turut melakukan sekatan jalan untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan yang gagal menangani krisis ekonomi dan tindakan kerajaan yang ganas terhadap protes rakyat.  

Pada 3 April 2022, seluruh kabinet, kecuali Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa (yang merupakan abang kepada Presiden Gotabaya Rajapaksa), meletak jawatan sebagai cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat. Antara mereka yang meletak jawatan sebagai Menteri kabinet ialah Basil Rajapaksa (adik kepada Mahinda dan Gotabaya Rajapaksa yang memegang jawatan Menteri Kewangan) dan Nawal Rajapaksa (anak Mahinda Rajapaksa yang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan). Gotabaya Rajapaksa kemudiannya menubuhkan sebuah kabinet 4-anggota (yang terdiri daripada Menteri dalam kabinet sebelum itu) pada 4 April 2022, maka kemarahan rakyat bukan sahaja tidak reda langsung, malah lebih hebat lagi. Namun, Ali Sabry yang dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk menggantikan adik Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan pula pada 5 April 2022, iaitu sehari selepas perlantikannya. Presiden Gotabaya Rajapaksa cuba menjemput parti-parti pembangkang untuk membentuk kerajaan perpaduan dan menyertai kabinetnya, tetapi dua buah parti pembangkang yang utama menolak tawarannya.

Presiden Gotabaya Rajapaksa membatalkan darurat pada 5 April 2022 selepas lebih 40 orang ahli parlimen mengisytihar untuk meninggalkan gabungan parti pemerintah. Gotabaya Rajapaksa dan abangnya Mahinda Rajapaksa sedang bergelut untuk mengekalkan kekuasaan keluarga mereka yang sedang dicabar oleh kebangkitan rakyat yang hebat terbaru ini.

(foto: EPA)

Sri Lanka, negara Asia Selatan di Lautan Hindi dengan jumlah penduduk 22 juta orang, sedang mengalami krisis ekonomi yang amat serius, sehingga mendatangkan impak teruk ke atas bekalan makanan, bahan api, perubatan dan air kepada rakyat jelata.

Rakyat Sri Lanka menghadapi masalah kekurangan bekalan barangan keperluan asas, inflasi dan gangguan bekalan elektrik yang berterusan. Kadar inflasi di Sri Lanka ialah 17.8% pada bulan Mac 2022, sementara kadar inflasi makanan mencecah 30.2% pada bulan Mac 2022. Kekurangan bekalan bahan api menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang di stesen minyak. Orang ramai juga beratur berjam-jam lamanya di bawah keterikan matahari untuk membeli barangan keperluan asas seperti tangka gas memasak. Pernah berlakunya orang tua mati semasa beratur untuk membeli barangan keperluan asas.

Pada 31 Mac 2022, seluruh Sri Lanka mengalami gangguan bekalan elektrik selama 13 jam apabila negara itu kehabisan diesel. Kekurangan bekalan bahan api bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan elektrik, tetapi menjejaskan semua sektor ekonomi dan perkhidmatan, termasuk perubatan, pengangkutan, percetakan dan sebagainya.

Sri Lanka telah terjerumus dalam krisis hutang yang mendalam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hutang luar negara Sri Lanka telah berlipat ganda dalam tempoh satu dekad antara tahun 2010 dan 2020, dan meningkat lebih hebat lagi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Kegawatan ekonomi dunia kerana pandemik COVID-19 merupakan salah satu faktor yang memburukkan lagi keadaan ekonomi Sri Lanka. Hutang luar negara Sri Lanka ialah lebih kurang 42.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019, tetapi meningkat ke 119% daripada KDNK pada tahun 2022. Kerajaan Sri Lanka perlu membayar sebanyak USD4 bilion kepada pemiutangnya pada penghujung tahun 2022, tetapi simpanan kerajaan pada takat ini hanya USD2.3 bilion. Kebanyakan hutang wujud berikutan pinjaman daripada institusi kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Ekonomi Sri Lanka menjadi lebih teruk lagi apabila dipaksa untuk melakukan “pembaharuan” demi membayar balik hutang ini, seperti meningkatkan kadar cukai tambah nilai (VAT) yang menjejaskan semua rakyat.

Kerajaan Sri Lanka yang kesempitan wang sedang meminta bantuan daripada negara lain seperti India, Pakistan, malah Bangladesh, untuk mendapatkan pinjaman. Sri Lanka cuba mendapatkan pinjaman USD250 juta daripada Bangladesh baru-baru ini, tetapi masih menghadapi masalah untuk membayar balik hutang USD200 juta daripada Bangladesh yang dipinjam pada tahun 2021.

Keluarga Rajapaksa muncul sebagai keluarga yang paling berkuasa di Sri Lanka selepas Mahinda Rajapaksa menjadi Presiden pada tahun 2005, dengan banyak anggota keluarga itu memegang jawatan kanan dalam kerajaan Sri Lanka. Semasa Mahinda Rajapaksa berkuasa sebagai Presiden, dia telah memperluaskan kuasa presiden dan memusatkan kuasa dalam tangannya untuk mewujudkan pemerintahan yang semakin autoritarian sementara terus mendorong nepotisme yang memanfaatkan ahli keluarganya. Mahinda Rajapaksa ditewaskan dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2015. Perlantikan Mahinda Rajapaksa sebagai Perdana Menteri secara tiba-tiba pada bulan Oktober 2018 mencetuskan krisis perlembagaan yang berlarutan selama 7 minggu, sehingga Mahinda Rajapaksa terpaksa melepaskan usahanya menjadi Perdana Menteri pada masa itu. Namun, selepas Gotabaya Rajapaksa, adik kepada Mahinda Rajapaksa, menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2019, Mahinda Rajapaksa dilantik semula sebagai Perdana Menteri dan terus memperkukuhkan kekuasaan keluarga Rajapaksa. Mahinda Rajapaksa dan ahli keluarganya telah dituduh terlibat dalam pelbagai amalan korupsi, tetapi tidak pernah disabit kesalahan kerana kekuasaan dipegang kuat dalam tangan keluarga Rajapaksa.

Gelombang protes terbaru di Sri Lanka sedang mencabar dan menggugat kekuasaan keluarga Rajapaksa. Namun, parti pembangkang utama di negara itu gagal menawarkan alternatif sebenar yang mampu membawa masyarakat Sri Lanka keluar daripada belenggu krisis ekonomi. Ini menimbulkan persoalan bahawa ke mana hala tujunya jika rakyat Sri Lanka dapat menggulingkan pemerintahan keluarga Rajapaksa. Walau bagaimanapun, selagi masalah rakyat masih berterusan, perjuangan masyarakat tidak akan berhenti… Masa hadapan masyarakat Sri Lanka terletak dalam tangan gerakan kelas pekerja dan rakyat bawahan yang mampu membangunkan alternatif kiri yang sebenar untuk negara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *