KANGKAR PULAI, JOHOR – 4 MAC 2022: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Arangkannal Rajoo @ Ara, mengetengahkan 3 isu kritikal yang dihadapi oleh pekerja-pekerja Malaysia, termasuk pekerja-pekerja Johor, dan mengemukakan cadangan untuk menangani masalah-masalah tersebut, dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini.

Turut hadir bersama dalam sidang akhbar hari ini ialah M. Sivaranjani, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Pekerja PSM.

Menurut Sivaranjani, PSM telah mengenal pasti 3 masalah besar yang dihadapi oleh golongan pekerja di Johor, iaitu gaji rendah, ketidakjaminan kerja dan kemelut pekerja dalam bidang ekonomi gig.

“Disebabkan oleh gaji rendah, kita boleh nampak ramai pekerja yang tinggal di Johor tidak bekerja di sini. Kebanyakan mereka bekerja di Singapura,” kata Sivaranjani. “Adakah gaji minimum RM1,200 sekarang ini mencukupi? Terdapat analisis yang menunjukkan bahawa kadar gaji minimum Malaysia berbanding dengan keluaran kasar dalam negara adalah yang paling rendah di Asia Tenggara. Dengan pendapatan negara kita sekarang, sepatutnya kita dapat memberikan gaji yang lebih bermaruah kepada semua pekerja.”

Mengenai isu jaminan kerja, Sivaranjani berkata, “Banyak kerja yang bersifat tetap, tetapi diberi kontrak tempoh terhad. Isu ini turut wujud dalam premis kerajaan itu sendiri, seperti hospital kerajaan, sekolah kerajaan, mahkamah dan sebagainya. Pengawal-pengawal keselamatan dan pekerja-pekerja pembersihan di situ walaupun bekerja di dalam bangunan kerajaan, tetapi perkhidmatan mereka telah disumberkan luar kepada syarikat kontraktor swasta dengan kontrak bertempoh satu atau dua tahun. Kenapa kerja-kerja yang tetap ini hanya diberi kontrak yang sementara kepada pekerja-pekerjanya? Semua pekerja ini ialah pekerja yang berpendapatan rendah. Ini satu masalah yang besar.”

“Masalah besar yang dihadapi oleh pekerja-pekerja gig yang bekerja untuk platform atas talian, seperti Grab dan Foodpanda, adalah mereka tidak dilayan sebagai pekerja. Malah, mereka dianggap sebagai ‘kontraktor bebas’. Jika kita teliti lebih mendalam, pekerja-pekerja ini tidak mengambil keuntungan yang diperoleh oleh syarikat dan tidak memiliki apa-apa syer pun, tetapi hanya diberi sedikit komisen sahaja untuk perkhidmatan yang diberikan oleh mereka. Mereka memang pekerja biasa,” kata Sivaranjani ketika mengulas isu pekerja gig. “Mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig ini tiada perlindungan sebagai pekerja. Kami mahu mereka diiktiraf sebagai pekerja dan diberi perlindungan hak pekerja yang sepatutnya.”

Ara, calon PSM untuk Kota Iskandar, berkata, “PSM sangat komited dalam memperjuangkan isu-isu pekerja sekian lama. Oleh itu, kami juga mengutamakan isu-isu pekerja dalam Manifesto Pilihan Raya kami.”

Ara menegaskan pendirian PSM bahawa gaji minimum negara kita harus ditingkatkan kepada RM1,500 segera. Ara berkata, “PSM menggesa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Johor, seperti Perbadanan Johor, KPJ dan sebagainya, supaya menjadi teladan dengan melaksanakan gaji minimum RM1,500 untuk semua pekerja yang diupah mereka. Ini akan mengurangkan beban pekerja-pekerja di Johor. Pekerja-pekerja ialah nadi penggerak ekonomi negara kita. Kita harus mengutamakan kebajikan pekerja.”

Ara mengkritik amalan penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan sokongan di premis kerajaan kepada syarikat kontraktor swasta, kerana ini mewujudkan ketidakjaminan kerja dan membebankan pekerja-pekerja berkenaan. “Sebelum tahun 1996, semua pekerja bawahan ini diupah secara langsung di bawah kerajaan, tetapi dasar penswastaan membawa padah kepada pekerja-pekerja ini,” ulas Ara. “Bukan sahaja golongan pekerja di bangunan kerajaan, malah semua kerja dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan pembuatan turut dilanda fenomena kontrak sementara walaupun kerjanya adalah bersifat jangkamasa panjang. Trend ini merisaukan kerana tiada jaminan kerja kepada pekerja, dan ini berlaku secara berleluasa di Johor. PSM akan terus berjuang untuk menghapuskan sistem kontrak dan mengembalikan pekerjaan tetap bagi golongan pekerja ini.”

Ara juga mengetengahkan tuntutan PSM untuk menggesa pengiktirafan pekerja-pekerja yang bekerja dalam sektor ekonomi gig sebagai pekerja yang mendapat perlindungan hak di bawah Akta Kerja 1955. PSM telah memulakan satu usaha pembentukan Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) untuk membawa pekerja-pekerja ini di bawah satu payung untuk mengendalikan aduan-aduan pekerja gig, di samping berkempen untuk hak mereka.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *