oleh M. Sivaranjani

Pada 27 Januari 2022, perbicaraan kes syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd melawan dua orang pemandu lori, Vasudevan dan Gunaseelan, telah berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secara atas talian. Dua orang pemandu lori ini diwakili oleh peguam hak asasi manusia New Sin Yew dan Beatrice Chin daripada AmerBon Advocates. Peguam Gavin Jayapal dan K. Thavanesan daripada Messrs Zaa & Bill mewakili syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd.

Majikan Perwakilan Cekap Sdn Bhd telah membawa kes dua pemandu lori ini ke Mahkamah Tinggi kerana tidak berpuas hati tentang kes ini didengar di Pejabat Tenaga Kerja dengan alasan bahawa mereka ini bukan pekerja sebaliknya hanya kontraktor bebas. Walaupun Mahkamah Buruh sedia mendengar kes ini kerana berpendapat bahawa perkara ini memang di bawah bidang kuasanya, tetapi pihak syarikat tidak bersetuju. 

Peguam New Sin Yew yang mewakili dua orang pekerja ini telah mengutarakan fakta bahawa dua orang pemandu lori ini ialah pekerja yang bergaji RM5,000 ke bawah di mana mereka mempunyai kelayakan untuk memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja. Dengan ini, Jabatan Tenaga Kerja juga mempunyai kuasa untuk menentukan status pekerjaan mereka setelah satu siasatan melalui perbicaraan. Maka, kes yang dibawa oleh pihak syarikat ini sepatutnya ditolak di Mahkamah Tinggi dan kembali kepada proses perbicaraan di Mahakamah Buruh. Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Hakim Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyatakan bahawa keputusan akan diberikan pada 28 Mac 2022.

Latar belakang kes

Vasudevan dan Gunaseelan merupakan bekas pemandu lori yang bekerja dengan syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd. Mereka diambil kerja sebagai pemandu lori pada bulan Januari 2020 dengan perjanjian kerja secara lisan, diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Lori yang dipandu oleh kedua-kedua pekerja ini adalah milik syarikat. Kedua-dua pekerja ini juga harus hadir kerja setiap hari dan menerima arahan daripada majikan setiap hari untuk penghantaran barang di dalam dan luar kawasan West Port, Klang, Selangor. Mereka mengangkut barangan bijirin seperti gandum, jagung dan kacang soya. Dua orang pemandu lori ini bekerja setiap hari, termasuk pada hari rehat. Kadang kala majikan akan meminta mereka tunggu sedia (stand by) untuk mengangkut barangan. Setiap hari selepas habis kerja, mereka akan memulangkan lori kepada syarikat dan balik ke rumah dengan kenderaan sendiri. Inilah rutin mereka setiap hari semasa bekerja sebagai pemandu lori dengan syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd.

Selepas beberapa bulan bekerja, kedua-dua orang pekerja ini berasa tidak berpuas hati dengan pihak majikan Perwakilan Cekap Sdn Bhd, kerana majikan membuat potongan gaji yang tidak sah dalam gaji pokok dan tidak membayar elaun telefon yang dijanjikan. Sementara itu, Gunaseelan pula diberhentikan kerja oleh majikan melalui mesej WhatsApp. Kedua-dua pekerja ini memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga kerja Pelabuhan Klang pada bulan September 2020 untuk isu bayaran gaji yang tidak mengikut kadar gaji minimum, dan menuntut bayaran kerja lebih masa, elaun telefon serta cuti tahunan. Gunaseelan juga memfailkan kes pembuangan kerja tidak sah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Pekerja-pekerja ini telah mengunjungi Pusat Khidmat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Klang untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman.

PSM menguruskan Pegawai Perhubungan Perusahaan bagi kedua-dua pemandu lori ini untuk mewakili mereka di Mahkamah Buruh. Pihak majikan tidak hadir untuk sesi sebutan di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang sebanyak dua kali. Semasa sesi perbicaraan pula, majikan diwakili oleh peguam yang dilantiknya dan membawa satu bantahan kepada Pejabat Tenaga Kerja yang menyatakan bahawa kedua-dua pemandu lori ini bukan pekerja, sebaliknya mereka hanya merupakan kontraktor bebas, maka kes tuntutan pekerja ini tidak layak untuk didengar di Jabatan Tenaga Kerja. Walaupun pegawai Jabatan Tenaga Kerja tidak bersetuju dengan kenyataan pihak majikan dan mengarahkan untuk meneruskan perbicaraan pada tarikh yang seterusnya, tetapi majikan pula membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar pihak Pejabat Tenaga Kerja dan kedua-dua orang pekerja pemandu lori ini.

Baru-baru ini, salah seorang pekerja, Gunaseelan, menjadi lumpuh akibat strok tetapi masih bersemangat untuk meneruskan kesnya supaya mendapatkan keadilan.

Bukan hanya dua orang pekerja ini, Vasudevan dan Gunaseelan, yang mengalami nasib sebegini. Ramai pemandu lori kini menghadapi cabaran yang serupa. Pemandu-pemandu lori ini bekerja di bawah satu majikan, tetapi mereka digelar sebagai kontraktor bebas walaupun ciri-ciri kerja menunjukkan mereka lebih menyerupai pekerja dan bukan kontraktor bebas. Ini satu lagi taktik majikan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab mereka sebagai majikan. Ketidakadilan sebegini harus ditentang.

Jika terdapat mana-mana pemandu lori yang menghadapi nasib yang sama, sila hubungi Gabungan Pemandu Lori di talian 019-5638464 / 012-2414351 untuk mempertahankan hak pekerja.

==========

M. Sivaranjani ialah Setiausaha PSM Cawangan Klang.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

One thought on “Majikan enggan iktiraf pemandu lori sebagai pekerja – Mahkamah Tinggi KL akan putuskan pada 28 Mac 2022

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s