Aysel Tuğluk, ahli politik daripada Parti Demokratik Rakyat (HDP) dan bekas Ahli Parlimen Turki, sedang mengalami masalah kesihatan yang semakin teruk di dalam penjara. Tuğluk ialah salah seorang daripada ramai aktivis politik HDP yang menjadi tahanan politik di bawah pemerintahan autoritarian Recep Tayyip Erdoğan di Turki.

Aysel Tuğluk yang berketurunan Kurdi, ialah seorang aktivis yang mendedikasikan hidupnya kepada perjuangan demokratik di Turki, dengan usaha gigihnya mempertahankan golongan etnik minoriti daripada penindasan dan memperjuangkan kebebasan wanita. Tuğluk merupakan pengasas kepada Parti Masyarakat Demokratik (DTP) yang diharamkan oleh kerajaan Turki pada tahun 2009. Beliau pernah dipilih menjadi Ahli Parlimen mewakili kawasan mengundi Diyarbakır pada tahun 2007 sebagai calon daripada gabungan pilihanraya “Calon-calon Seribu Harapan” (yang turut disertai DTP) tetapi dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan Turki pada tahun 2009 yang turut mengharamkan DTP pada masa yang sama, dengan pertuduhan bahawa Tuğluk dan DTP mempunyai hubungan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Turki. Tuğluk bertanding lagi dalam Pilihanraya Umum pada tahun 2011 sebagai calon bebas dan dipilih sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan mengundi Van.

Pada 26 Disember 2016, Tuğluk ditangkap oleh pihak berkuasa Turki atas pertuduhan “keganasan” yang tidak berasas. Pada bulan Januari 2018, Tuğluk dijatuhkan hukuman penjara 1 tahun dan 6 bulan atas pertuduhan “melanggar undang-undang perhimpunan dan demonstrasi”. Kemudiannya pada bulan Mac 2018, Tuğluk dijatuhkan satu lagi hukuman penjara untuk tempoh 10 tahun atas pertuduhan “menjadi pemimpin kepada sebuah organisasi keganasan”.

Tuğluk telah mengalami masalah penyakit demensia dan keadaannya menjadi lebih teruk semasa beliau berada di dalam penjara. Pada tahun 2017, ibu kepada Aysel Tuğluk, Hatun Tuğluk, meninggal dunia. Upacara pengebumian ibunya di Ankara diserang oleh sekumpulan perusuh rasis, dan jenazah ibunya terpaksa dibawa ke kampung asalnya, Dêrsim, untuk dikebumikan. Tidak lama selepas kehilangan ibunya dan trauma daripada serangan ini, Tuğluk mula mengalami masalah kesihatan. Walaupun Tuğluk sering memberitahu pada keluarganya dan peguamnya bahawa beliau tidak mahu perkara ini dibincangkan di khalayak umum, tetapi keadaan kesihatannya memang semakin merosot. Oleh sebab masalah kehilangan daya ingatan yang semakin serius, Tuğluk tidak dapat menjaga dirinya tanpa bantuan.

Walaupun pihak hospital yang mendiagnosis penyakitnya menyatakan bahawa masalah demensia yang dialami oleh Tuğluk boleh menjadi lebih teruk dan tidak sesuai untuk terus berada dalam keadaan penjara sekarang, tetapi Majlis Perubatan Forensik (ATK) yang berada di bawah Kementerian Kehakiman pula mengatakan bahawa beliau boleh hidup di dalam penjara. Pejabat pendakwaraya telah menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara Tuğluk.

Peguam Tuğluk memohon untuk satu lagi laporan perubatan mengenai kesihatan Tuğluk pada 21 Disember 2021, dan permohonan tersebut telah diterima. Sebuah jawatankuasa ditubuhkan di hospital kerajaan İzmit untuk memeriksa semula keadaannya dan menyediakan sebuah laporan yang baharu. Pada 24 Disember 2021, Pervin Buldan, Pengerusi Bersama HDP, telah melawat Tuğluk di penjara. Buldan mendapati Tuğluk mengalami kesukaran dalam bertutur dan mengenali orang, di samping mempunyai masalah dalam pergerakannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Januari 2022 oleh Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy selaku Jurucakap Bersama Hal Ehwal Luar Negeri HDP, mereka berkata, “Seperti yang kami tekankan berulang kali dalam kenyataan-kenyataan kami, penjara Turki telah menjadi pusat kepada layanan buruk dan penyeksaan. Masyarakat antarabangsa amat sedar tentang keadaan penjara yang tidak berperikemanusiaan dan pengasingan yang melampau di dalam penjara Pulau İmralı, yang turut ditekankan oleh Majlis Eropah untuk Pencegahan Penyeksaan (CPT) dalam pelbagai laporannya mengenai Turki. Ramai banduan di seluruh Turki hidup di bawah keadaan pengasingan melampau, penyeksaan dan layanan buruk yang serupa, yang semakin teruk lagi semasa pandemik. Keadaan sebegini telah menyebabkan kes bunuh diri di dalam penjara dan kematian banduan yang sakit. Menurut pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, terdapat lebih 1,600 orang banduan yang sakit di Turki pada masa kini. Layanan buruk adalah begitu berleluasa sehingga banduan yang sakit sama ada meninggalkan penjara dalam keranda atau kehilangan nyawa mereka hanya beberapa hari selepas mereka dibebaskan. Ratusan banduan sakit yang lain, seperti Aysel Tuğluk, tidak dibenarkan untuk dibebaskan dan telah ditinggalkan mati di dalam penjara berdasarkan laporan yang bermotifkan politik oleh Majlis Perubatan Forensik.”

Beberapa minggu yang lalu, sudah berlakunya banyak kes kematian di dalam penjara Turki. Vedat Erkmen, seorang banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Tekirdağ, telah ditemui mati di dalam selnya pada 19 Disember 2021. Keluarganya diberitahu bahawa Erkmen membunuh diri. Ilyas Demir, seorang banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Bolu, telah ditemui mati di dalam selnya pada 17 Disember 2021. Demir mengalami masalah kesihatan mental. Halil Gunes, seorang pesakit kanser yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Diyarbakır, telah ditemui mati di dalam selnya pada 15 Disember 2021. Rayuan Gunes untuk dibebaskan kerana keadaan sakitnya telah ditolak. Abdulrezzak Suyur, seorang lagi pesakit kanser, mati di dalam penjara di wilayah İzmir pada hari yang sama.

Garibe Gezer, seorang ahli politik Kurdi berumur 28 tahun yang ditahan di Penjara Kandıra, telah ditemui mati pada 9 Disember 2021 di dalam selnya semasa ditahan secara berasingan. Pihak pengurusan penjara mengatakan bahawa Gezer membunuh diri. Sebelum itu, Gezer telah mengadu bahawa dia telah diganggu secara seksual dan diseksa oleh pengawal penjara. 22 orang Ahli Parlimen wanita daripada HDP telah membawa laporan mengenai penyeksaan dan penganiayaan seks di penjara ini kepada perhatian Parlimen dan Kementerian Kehakiman Turki, tetapi tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa.  

HDP telah menyeru untuk membebaskan Aysel Tuğluk dan semua tahanan yang sakit, di samping menghentikan keadaan yang tidak berperikemanusiaan di dalam penjara Turki sebelum lebih banyak nyawa lagi terkorban.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *