PUTRAJAYA – 10 JANUARI 2022: 12 orang wakil penduduk Kampung Seri Kesinai, Padang Besar, Perlis, menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini dengan seruan supaya pihak kerajaan melakukan sesuatu untuk menghentikan pengusiran paksa dan menyediakan perumahan alternatif kepada mereka.

Turut hadir bersama dengan penduduk Kampung Seri Kesinai semasa penyerahan memorandum hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sebanyak 15 buah keluarga yang tinggal di atas tanah Lot 598, Kampung Seri Kesinai, Padang Besar, Perlis, sedang menghadapi ancaman pengusiran. Mereka bersama dengan penduduk lain di Kampung Seri Kesinai sudah menetap di situ selama 35-40 tahun. Pada ketika penduduk-penduduk asal ini mula membina rumah dan tinggal di situ, tempat tersebut merupakan kawasan hutan dan mereka sendiri yang membersihkan tanah kawasan hutan untuk mewujudkan perkampungan di situ. Mereka pernah beberapa kali memohon secara lisan kepada pihak pentadbir tanah dan wakil rakyat kawasan tersebut untuk geran pemilikan tanah. Pejabat Tanah pada masa itu memberitahu mereka bahawa tanah tersebut ialah tanah kerajaan, dan mereka boleh duduk di situ tetapi tidak boleh menjual tanah kepada orang lain.

Beberapa tahun yang lalu, terdapat seorang dari luar datang ke kampung dan mengatakan bahawa tanah Lot 598 yang diduduki oleh 15 buah keluarga ialah milikannya. Orang itu kemudiannya mendapatkan Perintah Mahkamah untuk pemilikan kosong tanah tersebut.

Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai agak terkejut apabila mendapati bahawa tanah yang diduduki mereka telah dilupuskan kepada individu yang tidak pernah menduduki tanah tersebut. Tanah di Kampung Seri Kesinai yang sedang diduduki lebih 50 buah keluarga telah dipecahkan kepada beberapa lot tanah, dan hak milik tanah diberikan kepada orang luar kampung sejak tahun 1990-an, sedangkan penduduk-penduduk yang sudah lama tinggal di situ langsung tidak diiktiraf hak ekuiti mereka dalam meneroka tanah tersebut. Orang yang mendapat hak milik untuk Lot 598 sedang mengusir keluar 15 buah keluarga yang tinggal di atas lot tanah tersebut dengan cara mendapatkan Perintah Mahkamah untuk mengosongkan tanah.

Mahkamah Tinggi Kangar telah mengeluarkan perintah yang mengarahkan penduduk di atas Lot 598 untuk mengosongkan tanah yang diduduki mereka sebelum 10 Ogos 2021. Penduduk-penduduk telah merayu kepada tuan tanah untuk melanjutkan tempoh kerana masalah penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka telah diberikan tempoh masa sehingga hujung tahun 2021 untuk mengosongkan tanah.

Penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai pernah cuba berjumpa dengan Menteri Besar Perlis untuk meminta pada Kerajaan Negeri Perlis supaya menyediakan satu skim perumahan alternatif kepada mereka, sama ada Program Perumahan Rakyat (PPR) sewa-beli ataupun tawaran lot perumahan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di kawasan berdekatan. Namun, mereka tidak mendapat balasan yang baik daripada Pejabat Menteri Besar Perlis.

Penduduk-penduduk yang sedang menghadapi pengusiran paksa ini merupakan keluarga berpendapatan rendah yang tidak memilik rumah lain di luar kampung. Rumah yang sedang dihuni mereka sekarang ini ialah satu-satunya rumah yang dipunyai mereka. Mereka tidak mampu membeli rumah di luar kampung yang kini berharga RM100,000 ke atas. Mereka juga tidak mampu dipindahkan puluhan kilometer jauh dari Kampung Seri Kesinai kerana punca pendapatan mereka akan terjejas.

Oleh yang demikian, penduduk-penduduk Kampung Seri Kesinai menggesa pada Perdana Menteri untuk mengarahkan Kerajaan Negeri Perlis supaya melaksanakan skim perumahan alternatif yang sewajar kepada penduduk-penduduk kampung yang diusir.

“Ini bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh 15 buah keluarga di atas Lot 598, kerana jiran-jiran mereka di lot tanah yang bersebelahan juga menghadapi masalah tanah dimiliki oleh pihak swasta dari luar. Oleh itu, mereka meminta skim perumahan untuk semua penduduk Kampung Seri Kesinai,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj semasa menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Kami mahu kerajaan mengambil tanggungjawab kerana pihak kerajaan telah memberi satu gambaran kepada penduduk kampung ini bahawa kerajaan mengizinkan mereka untuk membina rumah di situ. Penduduk-penduduk tidak akan membina rumah sekiranya kerajaan tidak membenarkannya pada tahun 1980-an. Penduduk-penduduk telah melaburkan simpanan satu generasi untuk membangunkan kampung mereka. Sekarang ini, tiba-tiba penduduk diberitahu bahawa kawasan ini dimiliki orang lain. Simpanan yang dilaburkan oleh ibu bapa penduduk kampung ini akan hilang begitu sahaja apabila mereka diusir keluar. Jadi, penduduk menuntut pada kerajaan untuk membina rumah bagi mereka,” ulas Dr. Jeyakumar.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *